pertanyaan majlis mesyuarat kerajaan hubungi majlis mesyuarat kerajaan maklumbalas majlis mesyuarat kerajaan peta laman majlis mesyuarat kerajaan
utube majlis mesyuarat kerajaan facebook majlis mesyuarat kerajaan

    KUK 2023 BANTU PEMAIN INDUSTRI PMKS MENINGKATKAN KEBOLEHPASARAN PRODUK

    ALOR SETAR (21 DISEMBER 2023) -Kerajaan Negeri Kedah peka dan komited dalam usaha membangunkan usahawan yang berdaya maju dan berdaya tahan yang mampu bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata penganjuran program Karnival Usahawan Negeri Kedah (KUK) 2023 adalah bagi menyediakan ruang dan peluang kepada usahawan Kedah yang terlibat dalam industri halal untuk memperagakan dan memasarkan produk serta perkhidmatan mereka dimana ia dilihat mampu untuk menarik lebih ramai pengusaha dan pemain industri keusahawanan negeri Kedah untuk meningkatkan kebolehpasaran produk ke peringkat lebih tinggi dan mendapat permintaan yang tinggi.

    “Karnival ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan pertumbuhan dan pembangunan industri perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri ini selain memperkenalkan barangan keluaran PMKS kepada masyarakat setempat, pengguna produk dan perkhidmatan negeri Kedah.

    “Penganjuran KUK 2023 ini akan dapat meningkatkan akses pasaran untuk produk serta perkhidmatan halal negeri Kedah melalui promosi dan jualan. Dengan itu, para usahawan akan dapat memperluaskan jaringan perniagaan mereka melalui sesi pemadanan perniagaan antara syarikat yang berpotensi dan berdaya saing.

    “Kerajaan Negeri Kedah menyediakan 70 buah gerai pameran dan jualan barangan kering, 60 buah gerai makanan dan minuman serta sepuluh buah tapak ‘food truck’ dimana melibatkan penglibatan dari pelbagai agensi keusahawanan negeri Kedah, usahawan di bawah jabatan agensi dan usahawan daripada team Jelajah Makan by KakNAB yang dijangka seramai 30 ribu pengunjung akan hadir memeriahkan karnival yang berlangsung ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Perasmian Karnival Usahawan Negeri Kedah 2023 di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini, hari ini.

    Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Mat Din; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Wong Chia Zhen; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dr Nadzman Mustaffa.

    Dalam perkembangan sama, Dato’ Fauzi berkata karnival sebegini menyediakan platform kepada para usahawan tempatan untuk meningkatkan akses pasaran mereka selain membantu memperluaskan jaringan perniagaan melalui sesi pemadanan perniagaan yang diuruskan oleh SME-Corporation Kedah-Perlis.

    “Kerajaan Negeri Kedah melalui Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK) dibawah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) sentiasa berusaha membantu para usahawan membangunkan keupayaan syarikat mereka dan turut memainkan peranan penting dalam melaksanakan beberapa aktiviti dan program keusahawanan termasuk program bimbingan dan kursus sepanjang tahun disamping menyediakan bantuan dana pinjaman mikro kredit dan geran Sejahtera Negeri Kedah.

    “Selain itu, UPUK juga telah merancang pelbagai aktiviti sampingan sepanjang karnival ini berlangsung seperti sesi Pemadanan Perniagaan, sesi bicara usahawan, taklimat dan “pocket talk” bersama agensi, hiburan artis tempatan, demonstrasi masakan, pertanian dan kraftangan.

    “Menjadi harapan Kerajaan Negeri agar penganjuran program Karnival Usahawan Negeri Kedah 2023 ini sedikit sebanyak menjadi titik tolak atau batu loncatan kepada usahawan tempatan dalam mengorak langkah ke peringkat seterusnya,” ujarnya.

    Sumber : Facebook – Warta Kedah

    © 2024 Hak Cipta Pejabat Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

    Please publish modules in offcanvas position.

    Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.

    | Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman | Portal MyGOVERMENT