pertanyaan majlis mesyuarat kerajaan hubungi majlis mesyuarat kerajaan maklumbalas majlis mesyuarat kerajaan peta laman majlis mesyuarat kerajaan
utube majlis mesyuarat kerajaan facebook majlis mesyuarat kerajaan

    KERAJAAN NEGERI KOMITED TANGANI MASALAH KECICIRAN PEMBELAJARAN PELAJAR SEKOLAH

    SELASA (05.03.2024)
    ALOR SETAR- Kerajaan Negeri Kedah akan memastikan anak-anak keluarga miskin tidak tercicir melalui tiga aspek iaitu ekosistem sekolah, jenis bantuan kewangan dan juga bimbingan keluarga selain tidak dilupakan bimbingan dan sokongan moral pihak keluarga. Kerjasama PIBG bersama para guru sentiasa dititikberatkan supaya sokongan keluarga berterusan bagi memastikan para pelajar terus berminat untuk menyambung pelajaran.
     
    Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Mohd Azam Abd Samat berkata kerajaan telah mengarahkan semua sekolah rendah dan menengah dengan kerjasama guru Bimbingan dan Kaunseling untuk menjalankan aktiviti “Ziarah Cakna” kepada semua murid yang tercicir dalam pelajaran. Melalui lawatan yang dibuat, diharap guru dapat mengumpul maklumat berkenaan keluarga murid dan mengenalpasti punca murid tercicir dalam pelajaran. Ziarah Cakna ini perlu dijalankan secara berkala dan berterusan sepanjang tahun.
     
    “Kerajaan telah mengambil inisiatif dengan memberi pendedahan kepada semua guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah rendah dan menengah dalam bengkel Training of Trainers  Modul Risiko Cicir. Modul ini boleh menjadi salah satu panduan dan rujukan oleh pihak pengurusan sekolah serta guru-guru dalam mengendalikan isu keciciran murid di sekolah mereka. Pelaksanaan  ini juga dapat merealisasikan hasrat untuk melihat isu keciciran murid dapat ditangani dengan kerjasama oleh semua pihak.
     
    “Membentuk kumpulan kaunseling berfokus risiko cicir untuk sekolah-sekolah terpilih yang telah dikenal pasti. Tujuannya ialah untuk memudahkan interaksi dan menyampaikan segala maklumat yang berkaitan.
     
    “Selain itu, Kerajaan Negeri juga bekerjasama dengan pihak Universiti Utara Malaysia melalui program Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPas). Program ini diwujudkan bagi memenuhi keperluan untuk membangunkan satu model dan sistem pengesanan awal pelajar berisiko tercicir dan intervensi yang bersesuaian. Program ini yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) telah membantu sekurang-kurangnya 180 orang pelajar dari pelbagai aspek supaya mereka tidak tercicir atau bakal tercicir dari ekosistem pembelajaran formal," katanya.
     
    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dibangkitkan oleh ADUN Pantai Merdeka, Shahrir Long dalam Persidangan Dewan Negeri Kedah, Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
     
    Dalam sesi pertanyaan mulut, Shahrir minta dinyatakan apakah tindakan kerajaan Negeri Kedah bagi memastikan anak-anak keluarga yang miskin menerima bantuan beras sejahtera tidak tercicir dalam bidang pembelajaran.
     
    Dalam perkembangan sama, Mohd Azam berkata tiga projek telah dijalankan di bawah KOMPas bagi mengukuhkan program ini. Projek School Disengagement Model (SDM) dan School Disengagement Warning Index (SDI) bertujuan untuk mengurangkan masalah keciciran murid. Seterusnya, Penilaian Modul Integrated Communication Intervention (I-Move) untuk meningkatkan keberkesanan menangani masalah keciciran pelajar. Ketiga, Sistem Pengesanan Pintar Intelligent Prediction-Intervention-Support-Model (MyBuddy) bertujuan untuk pengesanan awal pelajar berisiko tinggi untuk tercicir.
     
    “Selain itu, para guru turut membantu para pelajar untuk tidak terus tercicir. Sebagai contoh, Maahad Dini di Belantik, Sik yang mempunyai pelajar-pelajar dari kaum orang asli. Guru-guru mereka mengambil inisiatif tambahan untuk menjemput pelajar-pelajar dari kediaman mereka di perkampungan orang asli di Ulu Legong, Baling dengan niat untuk memastikan mereka pulang kembali ke asrama selepas bercuti bersama-sama keluarga.
     
    “Kerajaan turut menguatkuasakan surat peringatan ponteng sekolah melalui arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) bagi memastikan ibu bapa sedar akan perbuatan ponteng sekolah yang berlaku dalam kalangan anak jagaan mereka. Surat peringatan ponteng sekolah akan dikeluarkan sebanyak tiga kali sebelum tindakan hukuman mengikut Akta Pendidikan 1957 dikuatkuasakan," tambahnya.
    © 2024 Hak Cipta Pejabat Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

    Please publish modules in offcanvas position.

    Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.

    | Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman | Portal MyGOVERMENT