KULIM 22 April – Ribuan pengunjung membanjiri Dataran Kulim untuk mendapat pendedahan tentang teknologi komunikasi selain menambah pengetahuan dan merebut peluang ekonomi digital melalui program Menghubung dan Menyatu @Malaysia Inklusif Negara Digital (MINDA).
Program selama tiga hari anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) itu bermatlamatkan menghubung rakyat dan membina masyarakat bermaklumat.
Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KKMM, Datuk Dr. Mohd. Ali Mohamad Nor berkata, program berkenaan adalah usaha pihaknya untuk membantu merapatkan jurang jaringan telekomunikasi antara masyarakat bandar dan luar bandar.
"Program berjiwa rakyat melalui pendekatan 'menghubung dan menyatu' ini mengandungi dua elemen penting iaitu mendigitalkan dan merakyatkan penyampaian perkhidmatan komunikasi.
"Di bawah konsep mendigitalkan ini, kerajaan akan membangunkan infrastruktur yang akan memanfaatkan rakyat seperti menara telekomunikasi dan capaian Internet lebih tinggi melalui kolaborasi bersama pihak seperti Telekom Malaysia (TM)," katanya di sini kelmarin.
Tambahnya, melalui kemudahan ini rakyat akan mendapat manfaat daripada penyampaian perkhidmatan dalam talian di samping dapat memperluas penggunaan aplikasi merangkumi e-Kerajaan, e-Usahawan, e-Rezeki, e-Kesihatan dan e-Pendidikan.
"Melalui pendekatan merakyatkan pula, gabungan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak swasta yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar diyakini mampu menjadikan rakyat celik teknologi maklumat (IT).
"Ini juga akan membolehkan rakyat menganalisa, memproses permasalahan serta pantas memperoleh dan menyebar maklumat melalui perkongsian media sosial," katanya.
Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Teknologi Tinggi negeri, Datuk Norsabrina Mohd. Noor.
Menurut Mohd. Ali, orang ramai boleh mendapat maklumat segera kerana program itu disertai oleh 26 pempamer terdiri daripada penyedia perkhidmatan jalur lebar, pengeluar dan pengedar perkakasan dan perisian digital serta agensi kerajaan terbabit.
Katanya, selain aktiviti pameran turut diadakan sepanjang program berlangsung ialah bengkel, latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), permainan dan pertandingan dalam talian ke arah membentuk masyarakat celik ICT.