English Arabic Chinese (Simplified) Indonesian Malay

 

  • Daerah_Tanah_1.png
  • Aidiladha_2018.jpg
  • KedahApps.png
  • kedahmail.jpg
  • waktubekerja.png

BEKALAN DAGING MENCUKUPI UNTUK AIDILADHA

 

KUBANG PASU 29 Julai - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menganggap isu-isu lain termasuk kemungkinan berlakunya peningkatan harga daging menjelang Aidiladha tidak sepatutnya timbul ketika pihaknya sudah pun memberi keyakinan yang bekalan daging sememangnya mencukupi.

Menurutnya, soal harga bukanlah peranan hakiki kementerian tersebut namun pihaknya akan turut memantau perkembangan mutakhir berhubung perkara itu.

“Tugas kementerian pastikan cukup kerana apabila bekalan mencukupi, takkan ada isu manipulasi. Begitu pun, perlu ada usaha serius di tahap akhir bagi pastikan setiap individu, masjid serta surau memperoleh bekalan cukup dengan kadar harga munasabah.

“Bila kita yakinkan bekalan cukup, maka tak timbul isu lain. Itu bukan peranan hakiki kementerian namun kami akan lihat perkembangannya dan perlu ada usaha sama dengan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi (COE) Buah-Buahan Tropika dan Pengisytiharan Klon Baharu Rambutan di Stesen Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI) dekat Sintok di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Pembangunan Insan negeri, Azman Nasrudin, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Mohd. Sallehuddin Hassan, serta Ketua Pengarah MARDI, Datuk. Dr. Mohamad Roff Mohd. Noor.

Tambahnya, sebuah jawatankuasa melibatkan kedua-dua kementerian sememangnya ada dan jika wujud keperluan, mereka akan menyelaraskan usaha bagi mengatasi masalah berbangkit.

Khamis lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan yang daging bukanlah barangan kawalan dengan harganya ditentukan oleh faktor permintaan dan penawaran.

Menurut Saifuddin, penyusutan bekalan daging di pasaran ketika ini secara tidak langsung menyebabkan peningkatan harga bahan mentah itu, khususnya menjelang musim perayaan dengan inisiatif untuk memastikan bekalan daging yang mencukupi perlu diambil agar tidak membebankan pengguna.

Oleh : Mohd Rafie Azimi

Sumber : Utusan

UP

| Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman |

Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.