English Arabic Chinese (Simplified) Indonesian Malay

 

faq hubungi maklumbalas peta
  • KedahApps.png
  • waktubekerja.png
  • kedahmail.jpg
  • Daerah_Tanah_1.png

KEBUN SAWIT TERTANAM RAHSIA

MERBOK 27 Ogos - "Saya diminta melengkap­kan data bagi kawasan Lembah Bujang yang masih lopong. Setelah melihat gam­bar dari satelit, saya perasan bahawa Sungai Batu pada tahun 0001 berada di tepi laut dan hanya berjarak 8 kilometer dari Tanjung Dawai.

"Kalau nak dibandingkan den­gan sekarang, kawasan ini dipenuhi kebun kelapa sawit, namun siapa sangka, di bawahnya tertanam rahsia ketamadunan awal Asia Tenggara."

Demikian jelas Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPGA) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin.

Beliau berkata, ketika meninjau lokasi berkenaan pada 2007, alangkah terkejutnya beliau setelah menemui kesan artifak timbul di permukaan tanah.

"Selepas dipetakan, saya jumpa 97 tapak yang mana di sini dahulunya kemungkinan wujud sebuah kompleks pentadbiran yang cekap bagi kegiatan perdagangan memandangkan Gunung Jerai dijadikan petunjuk arah pelayar dan pedagang ketika itu dan menjadi lokasi persinggahan di rantau ini.

"Pada 2009, ekskavasi dimulakan dan data dikumpul. Lebih teruja apabila laporan kajian yang dihantar semula menunjukkan Sungai Batu sebenarnya wujud sekitar abad ke-5 se­belum Masihi (SM) iaitu 582 SM yang mengejutkan pengkaji sejarah dunia," katanya.

Melalui fakta berkenaan, dapat dibuktikan bahawa Sungai Batu wujud jauh lebih awal dari monumen candi Borobudur, Indonesia (abad ke-8) dan Angkor Wat, Kemboja (abad ke-12) yang kedua-duanya menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia saban tahun.

Sungai Batu ubah sejarah

Beliau menjelaskan, penemuan terbaharu itu telah mengubah sejarah ketamadunan Asia Tenggara, membolehkan ia menarik minat pakar sejarah untuk membuat kajian lebih mendalam.

Jelasnya, ia bukanlah memberi kelebihan kepada USM, kerajaan Kedah dan penduduk setempat semata-mata, malah sudah tentu berpotensi memberi pulangan bernilai buat Malaysia untuk dimartabatkan sebagai arkeopelancongan baharu negara.

Menceritakan lebih mendalam, katanya, sehingga kini sebanyak 54 tapak telah diekskavasi daripada keseluruhan 97 tapak yang telah dipetakan membabitkan keluasan 1 kilometer persegi.

Lebih menarik, katanya, kajian juga membuktikan, penemuan tapak peleburan besi 535 SM, monumen ritual keagamaan ani­misme 110 SM, sebuah jeti pelabuhan perdagangan 582 SM dan pusat pentadbiran pelabuhan 487 SM menjadikan tamadun Sungai Batu antara yang paling pesat membangun suatu ketika dahulu.

"Tiada siapa yang dapat mem­bayangkan bahawa kami telah menemui kapal dagang yang telah karam di mana logiknya dahulu di sini adalah laluan persinggahan, dan sehingga kini tapak sungai yang menjadi perhubungan terpenting ketika itu yang tertimbus, masih belum diekskavasi," katanya.

Segera bangun prasarana

Sementara itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) menyasarkan per­mohonan dana sejumlah RM13.5 juta bagi fasa pertama Kompleks Tamadun Awal Sungai Batu diluluskan Unit Perancang Ekonomi (EPU) sekurang-kurangnya tahun hadapan.

Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, dana itu bertujuan men­yediakan kemudahan dan melengkapkan prasarana fasa pertama bagi memperkenalkan Sungai Batu se-bagai Tapak Tamadun Awal Asia Tenggara.

Menurutnya, prasarana fasa pertama itu meliputi galeri, tandas, surau, kafe, pusat informasi, tempat letak kereta dan auditorium yang dijangka dibangunkan selewat-lewatnya 2019.

Beliau yang turun padang melawat tapak ikonik tersebut bagai­mana­pun optimis membangunkan Sungai Batu sebagai tumpuan utama pelancong ke Kedah.

Muhammad Bakhtiar juga menegaskan bahawa Sungai Batu kini sedang memenuhi kriteria yang diperlukan Unesco sebelum diberi pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia.

Katanya, Jerai Geopark yang kaya dengan khazanah alam semula jadi, Arkeologi Lembah Bujang dan Kota Kuala Muda yang terkenal dengan sejarah tersendiri mampu menjadikan Kedah sebagai hub pelancongan Malaysia.

UP

| Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman |

Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.