English Arabic Chinese (Simplified) Indonesian Malay

 

faq hubungi maklumbalas peta
  • KedahApps.png
  • kedahmail.jpg
  • Daerah_Tanah_1.png
  • waktubekerja.png

PERTUMBUHAN EKONOMI KEDAH BERKEMBANG PESAT,POSITIF : MUKHRIZ

 

Mukhriz ketika ucapan sembah tahniah dan taat setia sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-77 di Istana Anak Bukit hari ini.

ALOR SETAR 26 OGOS - Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir memaklumkan pertumbuhan ekonomi Kedah sedang berkembang dengan pesat dan positif.Menurutnya, ini berdasarkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kedah daripada RM43 bilion kepada RM45 bilion iaitu kenaikan sebanyak 4.4 peratus, bagi tempoh 2017-2018.

"Sektor yang memberi sumbangan besar terhadap KDNK ialah sektor perkhidmatan pada kadar 56 peratus, sektor pembuatan (28.6 peratus) dan sektor pertanian sebanyak 12.2 peratus," katanya ketika ucapan sembah tahniah dan taat setia sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-77 di Istana Anak Bukit hari ini.Mukhriz berkata, peningkatan itu menguatkan lagi usaha kerajaan negeri untuk menggembleng tenaga dan mencambah idea bagi memantapkan pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negeri sehingga mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2035."Bahagian Perancang Ekonomi Negeri sedang merangka Pelan Pembangunan Kedah 2035 merangkumi tiga Rancangan Malaysia, iaitu RMK12, RMK13 dan RMK14.

Pelan ini menekankan pembangunan menyeluruh, dengan enam teras utama," katanya.Menurutnya, ia meliputi kemakmuran ekonomi, kecemerlangan infra dan utiliti, keterangkuman sosial dan budaya, kemampanan alam sekitar, keseimbangan modal insan dan bakat, serta kompetensi tadbir urus."Pelan ini dirangka berdasarkan kekuatan dan potensi yang ada di setiap daerah untuk seimbangkan pembangunan setiap daerah," katanya.Mukhriz berkata, projek berimpak tinggi yang dicadangkan seperti Kedah Rubber City di Padang Terap, Zon Ekonomi Sempadan Khas di Bukit Kayu Hitam, Lapangan terbang Antarabangsa Kulim di Kuala Muda dan pembesaran Taman Industri Teknologi Tinggi Kulim Fasa 5 adalah pemangkin kepada pembangunan ekonomi di setiap daerah.

"Kesemua projek ini dalam tindakan kerajaan negeri dan Persekutuan serta penglibatan syarikat kepunyaan kedua-dua kerajaan selain swasta. Dianggarkan impak positif akan dirasai rakyat dalam tempoh dua tahun lagi," katanya.Menurutnya, kerajaan negeri juga memberi penekanan untuk meringankan beban kehidupan rakyat dan tidak akan membiarkan rakyat hidup dalam kepayahan dan serba kekurangan."Usaha menyelesaikan permasalahan rakyat telah dan sedang dilaksana, terutama bagi membantu golongan B40. Antaranya, Program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) meringankan beban sara hidup 5,482 keluarga miskin untuk membeli keperluan asas serta kos rawatan di klinik swasta," katanya.

Mukhriz berkata, pihaknya mahu mengeluarkan golongan itu daripada belenggu kemiskinan bukannya membiarkan mereka terus bergantung kepada sumbangan kebajikan untuk menyara hidup."Program peduli rakyat turut dilaksanakan antaranya, Tabung Penyakit Kronik dan Skim Khairat Kematian, projek perumahan rakyat, peluang pekerjaan, bantuan kepada peniaga kecil dan pembangunan usahawan," katanya.Menurutnya, pihaknya juga memberi tumpuan kepada pemuliharaan khazanah alam semula jadi bagi memastikan setiap pembangunan tidak memberikan impak negatif kepada kelestarian alam sekitar.

"Pematuhan kepada undang-undang, pemantauan dan penguatkuasaan dititikberatkan. Kedah dianugerahkan alam semula jadi yang indah selain warisan tamadun silam yang gemilang, flora dan fauna, hutan paya bakau, bukit dan gunung, serta warisan seni budaya dan sejarah sebagai aset bernilai tinggi. Usaha sedang dilakukan bagi menggilap potensi ini sebagai sumber hasil baharu pelancongan," katanya.

UP

| Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman |

Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.