PKPD : KEDAH PERUNTUK RM 1 JUTA BANTUAN BEKALAN MAKANAN

Muhammad Sanusi Md Nor

 

ALOR SETAR 15 SEPTEMBER - [DIKEMASKINI] Kerajaan Kedah menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk bantuan bekalan makanan kepada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara Pentadbiran di Kota Setar.Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sehingga hari ini seramai 20 keluarga di kawasan terlibat membuat aduan bahawa mereka terputus bekalan makanan.

Menurutnya, penghantaran bekalan makanan diuruskan petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)."Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan atau individu yang berhasrat untuk turut menyumbang boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pejabat Daerah Kota Setar.

"Agihan sendiri bantuan tidak dibenarkan kerana bimbang akan menyebabkan penularan virus Covid-19 menerusi pergerakan keluar masuk ke kawasan PKPD," katanya dalam satu kenyataan hari ini.Katanya, penduduk yang terputus bekalan makanan sepanjang PKPD Pentadbiran boleh menghubungi talian hotline PKOB Pejabat Daerah Kota Setar di talian 04-7028070."Selain itu, kenderaan saji atau 'food truck' Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang terdapat di semua masjid di seluruh negeri ini termasuk di kawasan PKPD boleh dimanfaatkan untuk membantu mereka terputus bekalan makanan."Penduduk yang terbabit boleh menghubungi Penolong Amil LZNK atau jawatankuasa masjid yang berhampiran untuk mendapatkan bekalan," katanya.

Menurutnya, sehingga kini kira-kira 6,000 penerima bantuan tetap bulanan daripada JKM, LZNK dan Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) di Kota Setar telah menerima bantuan terus ke akaun masing-masing."Untuk rekod, penduduk daerah Kota Setar yang berjumlah 366,787 diletakkan di bawah PKPD Pentadbiran sejak 11 sehingga 25 September lalu berikutan penularan Covid-19 daripada Kluster Telaga dan Kluster Sungai.

"Saya ingin mengingatkan semua penduduk di 28 mukim dalam Kota Setar dan penduduk Zon Melor, Ambangan Heights di Kuala Muda untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan penularan wabak ini dapat dihentikan sepenuhnya," katanya.Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri membelanjakan RM500,000 untuk penduduk yang terputus bekalan makanan berikutan PKPD Pentadbiran dilaksanakan di Amanjaya sebelum ini.

SUMBER : SINAR