RM1,000 BANTUAN KHAS AIDILFITRI KEPADA PENJAWAT AWAM NEGERI KEDAH

 

ALOR SETAR (28.04.2021) – Kerajaan Negeri Kedah telah bersetuju memberi Bantuan Khas Aidilfitri kepada penjawat awam negeri sebanyak RM1,000 setiap seorang. Bantuan yang diberikan ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam negeri Kedah yang telah memberikan perkhidmatan yang terbaik sehingga melonjakkan sumber pendapatan negeri ke peringkat yang lebih baik.Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata sebanyak RM5.3 juta diperuntukan bagi penyediaan bantuan khas tersebut melibatkan kakitangan penjawat awam di Kedah seramai 5300 orang.


“Kita mengambil kira kutipan hasil-hasil kerajaan negeri agak baik tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas dari Januari hingga April 2020. Tahun ini kutipan telah meningkat kepada RM105 juta berbanding tahun lepas.“Oleh itu, bagi menghargai kerja keras yang dibuat oleh kakitangan Kerajaan Negeri maka pihak Kerajaan memberi Bantuan Khas Aidilfitri dan akan dibayar sebelum menjelangnya Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.Hadir sama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.


Sementara itu, beliau juga memaklumkan bahawa wang elaun Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) telah pun dihantar ke Pejabat Daerah masing-masing dan pihak Pejabat Daerah akan mula membuat bayaran kepada mereka sebelum 5 Mei 2021 ini.“Tarikh akhir yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada Pejabat Daerah untuk membuat pembayaran elaun-elaun ini ialah pada 5 Mei nanti di mana kerajaan mendahulukan kewangan dari Kerajaan Negeri sebelum bayaran sebenar dari Kerajaan Persekutuaan sampai.


“Diharap dengan Bantuan Khas Aidilfitri kepada kakitangan kerajaan dan bayaran elaun JPKK akan dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung oleh mereka sempena menyambut Hari Raya yang bakal tiba nanti,” ujarnya.


SUMBER : WARTA KEDAH