SULTAN KEDAH BERANGKAT KE MAJLIS KURNIAAN JUADAH BERBUKA PUASA DAN AGIHAN ZAKAT SERTA PERASMIAN KLINIK BERGERAK

ALOR SETAR (29.04.2021)– Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman telah berkenan untuk menyempurnakan majlis kurniaan juadah berbuka puasa dan agihan zakat serta perasmian klinik bergerak di Istana Anak Bukit di sini, hari ini.


Hadir sama Tunku Laksamana Kedah, YTM Dato’ Seri DiRaja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim dan Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang.Sempena sambutan Hari Keputeraan Sebenar Sultan Kedah yang akan disambut pada 30 April 2021, Baginda dan keluarga DiRaja telah berkenan untuk mengagihkan juadah berbuka puasa kepada masjid terpilih di sekitar Kedah. Agihan tersebut akan diserahkan melalui Majlis Agama Islam Negeri Kedah.Pada majlis tersebut simbolik kurniaan disampaikan oleh Baginda kepada 8 wakil masjid antaranya Masjid Sultan Badlishah, Kulim, Masjid Sultan Sallehuddin, Pendang dan Masjid Tengku Sarafudin, Padang Terap.


Dalam pada itu, Baginda turut berkenan untuk menyampaikan kurniaan agihan zakat kepada asnaf. Seramai tiga orang wakil asnaf telah dijemput hadir untuk menerima kurniaan agihan zakat tersebut.Baginda juga berkenan untuk menyempurnakan pelancaran logo baharu Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sekaligus menjenamakan semula imej LZNK supaya lebih bercirikan korporat dan menyerlah sebagai institusi kewangan Islam yang berwibawa. Mengakhiri majlis pada hari ini, Baginda sempat menyempurnakan pelancaran Klinik Bergerak LZNK yang dibangunkan dengan kerjasama Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPNB) dan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Healthcare Bhd.


SUMBER : WARTA KEDAH