mszh-CNen

    1.4 juta kenderaan dijangka masuk Kedah Aidilfitri ini

     
     
     
    ALOR SETAR: Polis menjangkakan lebih 1.4 juta kenderaan akan memasuki Kedah pada sambutan Aidilfitri tahun ini. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah Supt Mohd Mahiri Hussin berkata peningkatan kenderaan itu adalah kerana tahun ini masyarakat dapat pulang menyambut Aidilfitri di kampung selepas dua tahun tidak dapat beraya akibat pandemik COVID-19.
     
    "Kita jangka tahun ini lebih 1.4 juta kenderaan akan masuk ke Kedah berbanding dua tahun lepas iaitu sekitar 500,000 kenderaan. Ini kerana sudah dua tahun kita tidak dapat pulang ke kampung untuk beraya, jadi apabila sudah dibenarkan tahun ini memang akan ramai yang masuk ke negeri ini.
     
    "Kita juga telah menubuhkan pasukan khas yang akan mengawal dan memantau kesalahan lalu lintas terutamanya di daerah Kota Setar, Kuala Muda, Kulim dan Kubang Pasu yang lebih sibuk dan mempunyai kadar kemalangan yang lebih tinggi berbanding daerah lain," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
    Terdahulu, beliau telah melancarkan Program Jelajah Pra Op Selamat 18 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Petronas di Petronas Anak Bukit, dekat sini sempena sambutan Aidilfitri.
     
    Mohd Mahiri berkata bagi memastikan kelancaran lalu lintas di Kedah, lebih 400 anggota bahagian trafik akan bertugas menjaga dan mengawal lalu lintas sepanjang Op Selamat 18 sempena Aidilfitri yang bermula 29 April hingga 8 Mei ini.
     
    "Polis juga akan mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap samseng jalan raya terutamanya penunggang motosikal yang menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk berlumba dan menjalankan aktiviti merempit.
     
    "Lokasi mat-mat rempit ini kita sudah kenal pasti antaranya di Alor Setar, Pokok Sena, Gurun dan Sungai Petani. Jadi, polis ingat menasihati penunggang motosikal terutamanya golongan muda supaya sentiasa mematuhi peraturan dan tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain," katanya.
     
    Beliau berkata ibu bapa juga diminta untuk memantau keberadaan anak-anak mereka terutamanya golongan remaja yang suka keluar pada waktu malam kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini.
    © 2020 Hak Cipta Pejabat Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

    Please publish modules in offcanvas position.

    Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.

    | Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman |