PAVILION KEDAH MENANGI TEMPAT KETIGA PAVILION TERBAIK MAHA 2022.

SERDANG - Pavilion Kedah memenangi tempat ketiga dalam kategori Pavilion Terbaik di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia Tahun 2022 (MAHA 2022) yang telah disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee manakala tempat kedua dimenangi oleh Pavilion Selangor dan Pavilion Perak masih mengekalkan tempat pertama seperti tahun 2018 apabila menjuarai Pavilion Terbaik MAHA 2022.

Penolong Pengarah BPEN Seksyen Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan, Peladangan dan Komuniti, Mohd Juwaidi Mahmood berkata kepelbagaian keunikan produk yang ditonjolkan oleh Pavilion Kedah dan keistimewaan makanan yang dibawa pada MAHA 2022 pada kali ini membawa kepada kemenangan Pavilion Kedah.

"Selain itu, sambutan pengunjung ke Pavilion Kedah amat memberangsangkan memandangkan terdapat pelbagai produk yang diketengahkan dan mampu dipromosikan ke peringkat antarabangsa.

"Layanan dan keramahan orang Kedah bagaikan satu keluarga juga menjadikan Pavilion Kedah mempunyai daya tarikan yang mampu menarik para pengunjung untuk mengunjungi Pavilion Kedah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Warta Kedah di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia Tahun 2022 (MAHA 2022), Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.

Penyertaaan Negeri Kedah pada MAHA 2024 akan datang, pihak Kerajaan Negeri Kedah sedia membawa lebih ramai usahawan tempatan dari pelbagai latar belakang dalam mempromosikan keunikan produk tempatan hasil negeri pada harga yang lebih murah.