3.2 JUTA PELANCONG DIJANGKA LAWAT LANGKAWI TAHUN INI

 

LANGKAWI (2 JANUARI 2023) : Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mensasar kira-kira 3.2 juta pelancong akan mengunjungi Langkawi sepanjang 2023, selepas mencatat seramai 2.57 juta pengunjung pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, sasaran itu diyakini dapat dicapai susulan penganjuran acara berprestij iaitu Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23) pada Mei ini.

“Sepanjang tahun lalu, seramai 2.57 juta pelancong mengunjung pulau ini, sekali gus mengatasi sasaran awal yang ditetapkan LADA pada awal tahun iaitu 2.5 juta.

“Memandangkan Langkawi masih dalam fasa pemulihan pasca Covid-19, kita sasarkan 3.2 juta pelancong pada akhir tahun ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Nasaruddin berkata, data kemasukan pelancong dikeluarkan LADA adalah sah dan diguna pakai pelbagai pihak kerana pengumpulan maklumat berkaitannya dibuat secara harian.

“Data pelancong dikumpul secara harian membabitkan tiga pintu masuk utama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Jeti Kuah dan Dermaga Tanjung Lembung.

“Pulau ini sudah mencatat 30 penerbangan masuk sehari iaitu hampir mencapai kapasiti penuh dan 50 kapal pelayaran bakal singgah di pulau ini tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, pada suku pertama tahun ini, pihaknya memfokuskan kemasukan pelancong domestik, khususnya pada sambutan Tahun Baharu Cina dan Thaipusam.

“Difahamkan, pengerukan (pengorekan) alur pelayaran feri di Kuala Kedah juga sudah siap pertengahan Disember lalu, manakala di Kuala Perlis dijangka siap akhir Februari ini.

“LADA juga akan mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Laut Malaysia, pengusaha feri dan pemain industri pada Ahad ini dalam usaha menyelesaikan isu logistik ke pulau ini,” katanya.