English Arabic Chinese (Simplified) Indonesian Malay

 

  • pelepasanAM2017.png
  • Nuzul-AlQuran_2017.jpg
  • KedahApps.png
  • Salam-Aidilfitri_2017.jpg

PERLU KIRA KOS SELENGGARA

Kerajaan negeri perlu mengambil kira pelbagai pertimbangan termasuk kos penyelenggaraan sebelum menyiapkan litar lumba motosikal yang dijanjikan di Sungai Petani, persidangan Dun Kedah diberitahu hari ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, ini kerana kos untuk menyelenggara sesebuah litar lumba menelan belanja yang agak besar dan kerajaan negeri tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan.

"Kita tidak boleh bina litar lumba bertaraf antarabangsa seperti di Sepang yang memakan belanja sehingga RM70 juta seperti yang dicadangkan oleh pemimpin sebelum ini kerana kos selenggaranya nanti tinggi.

"Mengambil kira perkara tersebut, kerajaan negeri telah berbincang, mengubah suai dan membuat perancangan baharu bagi memastikan kelak kos penyelenggaran mampu untuk ditampung," katanya ketika menjawab soalan tambahan Nor Saidin Nanyan (BN-Kuah) tentang kelewatan pembinaan litar lumba itu.

Pada 12 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meluluskan peruntukan sejumlah RM30 juta kepada kerajaan Kedah bagi pembinaan litar lumba motosikal untuk golongan belia di negeri ini.

Projek itu merupakan antara tersenarai dalam AkuJanji BN pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu.

Ahmad Bashah berkata, peruntukan berjumlah RM30 juta yang diterima itu hanya untuk pembinaan litar tersebut dan tidak termasuk kos penyelenggaraan.

"Kalau buat litar besar, nanti kos selenggara kerajaan negeri tidak mampu untuk menampung sepenuhnya, jadi bayaran minimum akan dikenakan kepada belia-belia yang ingin menggunakan litar tersebut," katanya.

Berhubung persoalan bila litar lumba tersebut akan dibina yang diajukan oleh Azman Nasrudin (PKR-Lunas), Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Pembangunan Insan negeri Datuk Aminuddin Omar berkata kerja-kerja pembinaan litar lumba tersebut telahpun bermula pada tahun ini.

"Litar lumba sepanjang 1.8 kilometer yang mempunyai sembilan pusingan itu memenuhi spesifikasi litar lumba yang berkualiti dan sesuai untuk digunakan bagi mengadakan kejohanan seperti Cub Prix," katanya.

Pembinaan Litar Kedah itu dijangka menjadi platform sukan permotoran yang lebih selamat dan mengekang perlumbaan jalanan yang dianjurkan secara tidak sah.

UP

| Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman |

Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.