HASIL KEDAH BAGI 2019 LEBIHI SASARAN : MUKHRIZ

 

Mukhriz (tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

 

 

ALOR SETAR 30 JAN - Kerajaan Negeri Kedah mengutip RM726.89 juta hasil negeri bagi 2019, mencatatkan lebihan sasaran hasil bagi tahun lepas, iaitu sebanyak RM710 juta.Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, lebihan itu termasuk penerimaan khas daripada kerajaan Pusat berjumlah RM200 juta, selain hasil tanah yang merupakan penyumbang terbesar kepada hasil negeri untuk 2019.Menurutnya, prestasi kutipan hasil negeri itu menunjukkan peningkatan biarpun pihaknya mengambil keputusan drastik untuk tidak lagi menjalankan aktiviti pembalakan di Ulu Muda, demi kelestarian alam sekitar.

 

“Sebenarnya keputusan menghentikan aktiviti pembalakan menyebabkan hasil hutan di Kedah menurun tidak kurang RM50 juta berbanding 2018. Namun secara keseluruhan, kita masih berjaya meningkatkan kutipan hasil kepada RM726.89 juta berbanding sasaran RM710 juta,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.Mukhriz berkata, hanya RM150 juta pemberian khas kerajaan Pusat dimasukkan sebagai hasil negeri, manakala RM50 juta lagi dimasukkan dalam akaun amanah kerajaan negeri.

 

“Kutipan hasil ini melepasi (pendapatan) 2018 iaitu sebanyak RM559.12 juta. Jika ditolak penerimaan khas daripada Kerajaan Pusat pun, hasil bagi 2019 masih mengatasi hasil pada 2018, iaitu peningkatan sebanyak RM17.27 juta,” katanya.Menurutnya, hasil tanah merupakan penyumbang terbesar sebanyak RM361.89 juta, diikuti hasil daerah (RM21.32 juta), hasil hutan (RM18.36 juta) dan hasil pelbagai berjumlah RM325.32 juta yang turut merangkumi pemberian kerajaan Persekutuan (RM150 juta).“Di sebalik kejayaan meningkatkan kutipan hasil, kerajaan negeri turut berjaya mengurangkan belanja mengurus yang hanya berjumlah RM559.62 juta pada 2019 berbanding RM608.51 juta pada 2018.

 

Ini bermakna amalan perbelanjaan berhemah yang kita laksanakan membantu kita untuk penjimatan RM48.89 juta," katanya.Mukhriz berkata, namun kerajaan negeri tidak lokek untuk berbelanja bagi aspek pembangunan untuk rakyat, antaranya pembangunan prasarana jalan dan bangunan, pengairan dan saliran, senggaraan hutan, projek pembangunan agro serta prasarana sosio ekonomi luar bandar.

 

“Prestasi perbelanjaan pembangunan pada 2019 berjumlah RM161.8 juta berbanding RM127.9 juta pada 2019. Berlaku pertambahan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM33.9 juta," katanya.Menurutnya, pada masa sama sebanyak RM214.3 juta daripada peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan raya Malaysia (Marris) dibelanjakan untuk menyenggara jalan di seluruh negeri, meliputi jalan kampung oleh Pejabat Daerah, jalan negeri oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), jalan pertanian oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta jalan bandaran oleh pihak berkuasa tempatan.

 

“Pada 2019, jalan didaftarkan dengan Marris meningkat kepada 15,091 kilometer. Pada 2019 kerajaan negeri ambil inisiatif lakukan dua kerja undi bagi projek jalan bawah RM150,000 dengan 719 projek diagihkan kepada kontraktor G1 bernilai RM57.78 juta,” katanya.Menurutnya, bagi 2020, pihaknya bercadang melakukan tiga kali kerja undi dengan memperbanyakkan lagi skop kerja terlibat.