PEMERINTAH NEGERI

KDYMM TUANKU SULTAN

BIOGRAFI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA AL-AMINUL KARIM SULTAN SALLEHUDDIN IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH SULTAN KEDAH KE-29

 

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN KEDAH DARUL AMAN
AL-AMINUL KARIM SULTAN SALLEHUDDIN IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH

 

KEPUTERAAN
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah diputerakan pada 30 April 1942 di Alor Setar, Kedah. Baginda merupakan anakanda kesembilan Almarhum Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah ke-27. Paduka bonda Baginda bernama Almarhumah Sultanah Asma binti Almarhum Sultan Sulaiman yang merupakan anakanda Sultan Terengganu, Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.
LATAR PENDIDIKAN
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah dan kemudian meneruskan pengajian Baginda di Kolej Sultan Abdul Hamid. Pengalaman belajar di Kolej Sultan Abdul Hamid, telah memberi pendedahan kepada Kebawah DYMM Sultan Sallehuddin untuk bergaul dengan pelajar-pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kedudukan. Disinilah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti di antaranya permainan ragbi, bolasepak dan di dalam Persatuan Perbahasan. Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang tempoh persekolahan baginda adalah pada tahun 1958, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin telah melibatkan diri dalam aktiviti berakit buluh dari Sungai Sik sehingga ke Sungai Kuala Muda yang memakan masa selama 4 Hari.

 

KELUARGA
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah bertemu jodoh dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha binti Tengku Ariff yang merupakan ahli kerabat DiRaja Negeri Kelantan. Pertemuan ini berlaku semasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin bertugas di Kelantan bersama Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD). Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah melangsungkan perkahwinan pada tanggal 26 November 1965. Hasil daripada perkahwinan tersebut, pasangan DiRaja ini telah dikurniakan 2 orang putera iaitu DYTM Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah yang diputerakan pada 2 Mac 1967 dan YTM Dato’ Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin yang diputerakan pada 27 April 1970. DYTM Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin telah mendirikan rumahtangga dengan DYTM Che Puan Muda Zaheeda binti Mohamad Ariff dan dikurniakan 2 orang cahaya mata terdiri daripada seorang puteri dan seorang putera.

 

KERJAYA
Setelah menamatkan pelajaran di peringkat Senior Cambridge. Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin bekerja sebagai guru sementara di Sekolah Kebangsaan Iskandar, Alor Setar pada tahun 1962. Demi menyahut saranan daripada paduka kekanda Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan minat baginda yang mendalam dalam bidang ketenteraan, Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah memilih untuk menjalani latihan kadet dan telah dihantar ke India untuk menjalani kursus ketenteraan di India Military Academy di Dehra Dun bermula daripada 23 Julai 1962 hingga 30 Jun 1963. Sekembalinya ke tanah air, Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah ditauliahkan dengan pangkat Leftenan pada 12 Febuari 1964 dan ditempatkan di Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Sepanjang perkhidmatan, Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah terlibat dalam pelbagai operasi di sempadan Thailand/Kelantan, Kedah dan Perak.
 
Kemuncak operasi adalah semasa konfrantasi Indonesia terhadap Malaysia dimana Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin bersama batalion mengambil alih tugas di Kalabakan dan sempadan Indonesia/Malaysia seperti di Kampong Mentadah, Simpang Tiga, Apas Balong dan sebagainya. Batalion Ke-2 RAMD kemudiannya telah dipindahkan ke Pengkalan Chepa, Kelantan pada tahun 1965 dan seterusnya ke Kem Sungai Besi pada tahun 1966.
Pada Tahun 1967, batalion Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah ditukarkan ke Sarawak untuk menjalankan operasi di kawasan sempadan Indonesia/Malaysia sehingga tahun 1968. Pada tahun 1969, batalion Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ditempatkan untuk bertugas di Kem Tok Jalai di Kedah. Selain daripada operasi di sempadan, batalion.
 
Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin juga turut menjalankan operasi di Sandakan, Sabah. Semasa peristiwa Mei 1969, batalion Kebawah DYMM Sultan Sallehuddin beroperasi di Pulau Pinang. Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah bersara daripada Perkhidmatan Angkatan Tentera pada tanggal 14 Februari 1974. Semasa dalam tempoh percutian persaraan tersebut, Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah menjalani latihan di Suruhanjaya Serbia (NPC) dan Malaysian Institute of Management (MIM). Selain itu, Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin juga pernah mengikuti kursus di Amerika Syarikat. Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pentadbiran dan perniagaan di mana Kebawah DYMM Tuanku pernah berkhidmat di syarikat pembangunan hartanah, perusahaan perkayuan dan pembinaan.

 

YTM TUNKU TEMENGGONG KEDAH
Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah diisytiharkan sebagai Tunku Temenggong Kedah pada 28 November 1981. Baginda juga telah dilantik sebagai salah seorang Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada 13 Disember 2011 apabila paduka kekanda baginda 
Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memulakan tempoh pemerintahan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-14. Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin diisytihar sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah menggantikan paduka kekanda Baginda Almarhum Dato’ Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar ibni Almarhum Sultan Badlishah yang mangkat pada 21 Mei 2014 dan Baginda memegang jawatan itu sehingga 12 Disember 2016. Jemaah Pemangku Sultan Kedah terbubar secara sendiri apabila Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14.
RAJA MUDA KEDAH 
Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin dimasyhurkan sebagai Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Kedah yang ke-19 pada 15 Disember 2016 sempena keberangkatan pulang Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah setelah tamat tempoh lima tahun penggal pemerintahan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14. Istiadat pemasyhuran telah diadakan dengan penuh istiadat di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah. Baginda menggantikan D.Y.T.M Raja Muda Kedah sebelum ini, Almarhum Tunku Abdul Malik ibni Almarhum Sultan Badlishah yang mangkat pada 29 November 2015 di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

 

SULTAN KEDAH
Pada tanggal 12 September 2017, Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin diisytiharkan sebagai Sultan Kedah ke-29. Perisytiharan dibuat mengikut Perkara 17 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah setelah kemangkatan kakanda baginda, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Anak Bukit pada 11 September 2017. Pengumuman perisytiharan Sultan Kedah yang baharu itu dibuat oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah di Balairung Seri, Istana Anak Bukit. Keputusan melantik baginda sebagai Kebawah DYMM Sultan Kedah yang baharu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja Negeri Kedah.

 

 ANUGERAH BINTANG DAN DARJAH KEBESARAN
1970 - Dianugerahkan Bintang Cemerlang Negeri Kedah (BCK) daripada Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah.
1974 -Menerima Anugerah Kepujian Perutusan Keberanian (KPK) daripada Kerajaan Persekutuan di atas perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia.
1982 -Dianugerahkan Darjah Setia DiRaja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran “Dato” daripada Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah.
1982 -Dianugerahkan Kerabat Bergelar TUNKU LAKSAMANA KEDAH daripada Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah.
1987 -Dianugerahkan Darjah Seri Setia DiRaja Kedah (SSDK) yang membawa gelaran “Dato’ Seri” daripada Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah.
1996 -Dianugerahkan Kerabat Bergelar TUNKU TEMENGGONG KEDAH daripada Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah.
2008 -Dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (SHMS) daripada Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah.
2010 -Dianugerahkan Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran “Tan Sri” daripada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong.
2011 -Dilantik sebagai Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah berikutan pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong - 13 Disember 2011
2012 -Dianugerahkan Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
2014 - Mengambil alih jawatan selaku Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah selepas kemangkatan Almarhum YTM Dato’ Seri Utama Tunku Annuar Alhaj Ibni Almarhum Sultan Badlishah – 21 Mei 2014
2015 - Dimasyhurkan sebagai Pro Canselor 1 Kolej Universiti Insaniah (KUIN) – 7 Mac 2015
2016 -Dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) oleh DYMM Tuanku Sultan Kelantan – 28 November 2016 Dimasyhurkan sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman – 15 Disember 2016
2017 - Dianugerahkan Darjah Kerabat Kedah (D.K) oleh Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah – 15 Januari 2017
Diisytiharkan sebagai Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah Darul Aman pada 12 September 2017
Dianugerahkan Darjah Kerabat Yang Amat Di-Hormati (Al-Yunusi), D.K (Kelantan) oleh YMM Pemangku Raja Kelantan - 30 September 2017
Dianugerahkan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Di-Hormati D.K I (Johor) oleh DYMM Tuanku Sultan Johor - 30 Oktober 2017
Dianugerahkan Darjah Kerabat DiRaja Yang Amat Dihormati Perak (D.K) oleh DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan - 4 Disember 2017
2018 - Dianugerahkan Darjah Kerabat (DK) Yang Amat Dihormati oleh DYMM Sultan Selangor - 25 Januari 2018
 
PENGLIBATAN DALAM INSTITUSI,PERTUBUHAN, PERSATUAN DAN SYARIKAT
- Yang di-Pertua, Majlis Agama Negeri Kedah Darul Aman
- Presiden Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah Darul Aman
- Pro Canselor 1, Kolej Universiti Insaniah (KUIN)
- Penasihat II, Persatuan Bekas Pelajar-Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHOCA)
- Penaung Pertubuhan Pembangunan Anak-Anak Yatim Bekas Perajurit Malaysia Daerah Kulim
- Penaung Pusat Pengajian Islam Darussilihin Bukit Tembaga, Kuala Nerang, Kedah Darul Aman
 - Penasihat Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Malaysia (JAKPAW) Negeri Kedah Darul Aman
 - Ahli Kehormat Persatuan Bekas Tentera Malaysia Bahagian Negeri Kedah Darul Aman

 

KEGIATAN / KEGEMARAN
Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin seorang yang mempunyai perwatakan yang mesra namun tegas di dalam membuat keputusan dan sangat mementingkan penampilan diri. Latihan dan pengalaman ketenteraan yang dilalui telah mewarnai watak dan keperibadian baginda yang sangat mementingkan masa. Berdasarkan kriteria tersebut, Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah dilantik sebagai Kolonel Kehormat di dalam Askar Wataniah Negeri Kedah (JAKPAW).
 
Pada tahun 2007, Baginda telah diberi penghormatan menjawat jawatan sebagai Bridgider Jeneral dan seterusnya menjadi Penasihat kepada Rejimen Askar Melayu DiRaja. Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin amat berminat dan bergiat aktif di dalam bidang sukan dan gemar beriadah seperti bermain golf. Baginda juga mengikut jejak Almarhum ayahanda baginda yang gemar memelihara haiwan. Baginda memelihara pelbagai spesies kucing yang dipelihara sendiri oleh baginda. Pada masa lapang Kebawah DYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin gemar bersiar-siar dan melancong bersama anakanda dan cucunda.
 
SUMBER : Pejabat KDYMM Tuanku Sultan Kedah

 

KDYMM TUNKU SULTANAH

BIODATA KDYMM TUANKU SULTANAH
 
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTANAH MALIHA BINTI ALMARHUM TENGKU ARIFF
SULTANAH NEGERI KEDAH DARUL AMAN
 
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha binti Almarhum Tengku Ariff, Sultanah Negeri Kedah Darul Aman diputerakan pada 13 April 1949 di Kota Bharu, Kelantan. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah merupakan anakanda ketiga daripada tujuh adik-beradik hasil perkahwinan YTM Tengku Sri Jaya DiRaja Tengku Ariff bin Tengku Long Abdul Rahman dengan Cik Puan Rokiah Sulaiman.
 
Paduka Ayahanda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah merupakan anakanda saudara kepada Almarhum Sultan Yahya Petra, Sultan Negeri Kelantan Yang Ke-27. Semasa kecil Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah telah dibesarkan dalam perkarangan Istana dan Kerabat DiRaja dengan penuh kasih sayang dan adat istiadat.
 
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah mendapat pendidikan awal di Sekolah Saint Marry, Sentul dan seterusnya Sekolah Rendah dan Menengah Assunta, Petaling Jaya. Ketika itu Paduka Ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah berkhidmat di KLM, Syarikat Penerbangan Belanda.
 
Pada tahun 1960, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah sekeluarga berangkat pulang dan bersemayam di Kota Bharu, Kelantan kerana pada ketika itu Paduka Ayahanda telah diperkenankan untuk bertugas sebagai Juruiring kepada Almarhum Sultan Yahya Petra Sultan Negeri Kelantan.
 
Sekembalinya ke Kota Bharu, Kelantan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Sultanah Zainab Kota Bharu. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah sangat aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti di peringkat sekolah seperti sukan hoki dan mengambil bahagian dalam Persatuan Perbahasan di sekolah. Kepetahan bertutur di dalam Bahasa Inggeris memberi peluang kepada Kebawab Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah untuk mewakili sekolah dalam pertandingan debat. Selain itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah juga merupakan Ketua Kelas dan Pengawas Sekolah.
 
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah dilamar oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin lbni Almarhum Sultan Badlishah di usia 17 tahun dan telah melangsungkan perkahwinan pada 26 November 1965 dengan penuh adat istiadat perkahwinan Melayu. Ketika itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan bertugas sebagai Pegawai Tentera di Kem Batalion 2 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) Pengkalan Chepa, Kelantan.
 
Setelah berkahwin, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah telah berpindah mengikut Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan ke Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, ke Kem Tambun, Ipoh, Perak dan selepas itu ke Kem Kepala Batas, Alor Setar, Kedah. 
 
Sebagai isteri kepada seorang perajurit dan Ketua Platun, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah turut melaksanakan tanggungjawab dengan membimbing dan menerajui isteri­ isteri perajurit yang lain dengan bergiat aktif di dalam aktiviti Badan Kebajikan Isteri-Isteri Angkatan Tentera.
 
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah telah dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah lbni Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah Darul Aman yang diputerakan pada 2 Mac 1967 dan Yang Teramat Mulia Dato' Tunku Shazuddin Ariff lbni Sultan Sallehuddin, Tunku Laksamana Kedah yang diputerakan pada 27 April 1970.
 
Pada tahun 1973, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah telah memulakan kerjaya dengan berkhidmat di sebuah syarikat perkapalan. Kemudian pada tahun 1975 sehingga tahun 1994, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah berkhidmat di Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS). Setelah menamatkan perkhidmatan di MAS, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah dilantik sebagai penasihat dan konsultan di dalam Syarikat lnbaz dan Seri Libana yang diterajui oleh paduka anakanda sehingga sekarang.
 
Walaupun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah seorang yang sangat fokus dan komited dalam bidang kerjaya, namun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah sentiasa memberi sokongan penuh kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dalam apa jua penglibatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.
 
 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah juga sangat mengambil berat akan pendidikan anakanda-anakanda sehingga kedua-duanya telah berjaya dalam pendidikan masing­ masing. Putera sulung, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafuddin Badlishah adalah lulusan Undang-Undang (LL.B), Brunei University, England pada tahun 1990 dan Inner Temple England pada tahun 1992. Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafuddin Badlishah telah mendirikan rumah tangga dengan Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda binti Mohamad Ariff, Raja Puan Muda Kedah Darul Aman dan dikurniakan dua orang cahaya mata. Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda juga berkelulusan dalam bidang Perundangan (LLB) dari Cardiff Law School, Londan pada tahun 1993, dan LLM (Commercial Law) dari University of Bristol, London pada tabun 1994. Manakala anakanda kedua, Yang Teramat Mulia Dato' Tunku Shazuddin Ariff, adalah kelulusan Bachelor of Arts daripada Kansas Wesleyan University, USA. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah sangat rapat dengan anakanda-anakanda dan cucunda-cucunda. Selain itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah juga amat mengambil berat terhadap pengurusan dan penjagaan akan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.
 
Antara hobi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah ialah memelihara kucing. Sifat keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah terhadap haiwan amat terserlah kerana semua kucing peliharaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah adalah kucing yang tidak bertuan. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah sendiri yang akan menjaga dan memelihara kucing-kucing tersebut.
 
Selain arif dalam. kerja-kerja menjahit, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah juga pandai memasak, khasnya masakan Pantai Timur.Di samping itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah juga sukakan alam semulajadi yang bersih, segar dan nyaman. Hal ini diterjemahkan melalui seni taman dan lanskap di sekeliling kediaman Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah.
 
Selain itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah juga gemar melancong ke luar negara bagi melihat keindahan serta kehidupan masyarakat antarabangsa. Kebawah Duli Yang Maha Mulia sekeluarga telah menjelajah ke negara-negara luar seperti benua Eropah, Amerika, Asia dan Australia. Pengalaman yang diperolehi telah meluaskan pandangan Kebawah Dull Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah dalam pelbagai perkara terutama yang berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar serta bangunan dan artifak bersejarah.
 
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah amat prihatin kepada pendidikan rakyat di Negeri Kedah terutama dalam pendidikan Bahasa Inggeris. Atas keperihatinan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah telah perkenan untuk dilantik sebagai Penaung kepada program Computer And English Literacy (COMEL), yang merupakan satu program pembelajaran dan pengajaran dalam Bahasa Inggeris untuk para pelajar di peringkat sekolah rendah bagi memberi pendedahan awal kepada mereka dalam menguasai Bahasa Inggeris. Program ini adalah usahasama yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Kedah bersama Universiti Kebangsaan Malaysia.
 
Di atas sumbangan dan jasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah kepada Negeri Kedah Darul Aman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah telah dikurniakan Darjah Kebesaran seperti berikut :-
Tahun 2001 - Darjah Dato' Seri DiRaja Kedah (D.S.D.K.)
Tahun 2011 - Darjah Seri Setia DiRaja Kedah Yang Amat Dihormati (S.S.D.K.)
Tahun 2017 - Darjah Seri Setia Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Yang Amat Dihormati (S.H.M.S.)
Tahun 2018 - Darjah Kerabat Kedah (D.K.)
 
SUMBER : Pejabat KDYMM Tuanku Sultan Kedah

 

RAJA MUDA

DULI YANG TERAMAT MULIA TENGKU SARAFUDIN BADLISHAH IBNI SULTAN SALLEHUDDIN
RAJA MUDA KEDAH KE-20

 

KEPUTERAAN
Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah diputerakan pada 2 Mac 1967 di Alor Setar, Kedah. Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah merupakan anakanda pertama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman yang ke-29. Paduka bonda Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah, bernama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Bt Tengku Ariff yang merupakan Kerabat DiRaja Negeri Kelantan Darul Naim.
 
PENDIDIKAN
1990 – 1991 : Holborn College, London United Kingdom
1988 – 1990 : Brunel University, Uxbridge Middlesex United Kingdom, Bachelor of Laws (Hons)
1987 – 1988 : Kolej Damansara Utama, Petaling Jaya Selangor
1985 – 1986 : SEA Park Secondary School, Petaling Jaya Selangor
1980 – 1985 : Royal Military College, Sungai Besi, Kuala Lumpur

 

KELUARGA
Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin telah bertemu jodoh dengan Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff. Pertemuan tersebut berlaku ketika Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah sedang berkhidmat di Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia pada Tahun 1999. Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff dilahirkan pada 19 Oktober 1971 di Ipoh, Perak Darul Ridzuan. Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda merupakan lulusan Ijazah Undang - Undang (Kepujiaan) daripada University of Wale, College of Cardiff dan seterusnya mendapat Ijazah Sarjana (Undang-Undang Komersial) daripada University of Bristol. Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda telah mendapat Certificate in Legal Practice (Hons) daripada Legal Qualifying Board of Malaysia dan telah diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara Malaysia pada Tahun 1996.
 
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah telah melangsungkan perkahwinan bersama Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff pada tanggal 27 Februari 2003. Hasil daripada perkahwinan tersebut, pasangan DiRaja ini telah dikurniakan 2 orang cahaya mata iaitu YM Tunku Zara Bahiyah binti Dato’ Seri Utama Tengku Sarafudin Badlishah yang diputerakan pada 4 April 2004 dan YM Tunku Sulaiman Badlishah bin Dato’ Seri Utama Tengku Sarafudin Badlishah yang diputerakan pada 18 Disember 2007.
 
Kini, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin telah dilantik sebagai Pengerusi, di Thong Guan Industries Berhad dan sebagai Rakan Kongsi, di Kamil Hashim Raj & Lim Advocates & Solicitors. Manakala Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff ketika ini, sedang berkhidmat di Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sebagai Ketua Bahagian Perundangan dan Kesetiausahaan Syarikat. Selain itu, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda juga turut menjalankan tugas sebagai Ketua Bahagian Perundangan dan Kesetiausahaan Syarikat di Kumpulan Darul Ehsan Berhad.
 
PENGALAMAN KERJAYA
Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin mempunyai pengalaman yang luas dalam pelbagai bidang kerjaya seperti berikut :-
 
Mac 2015 – Nov 2017 : Asiamet (M) Sdn Bhd / Asia Metropolitan University (Director dan Board of Governors)
Tahun 2014 – Julai 2016 : Haisan Resources Berhad (Chairman)
Tahun 1999 – Tahun 2010 : Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (Director of Legal & Secretarial Department)
Tahun 1997 - Tahun 1999 : Pesaka Jardine Fleming Sdn Bhd (Company Secretary & Compliance Officer)
Tahun 1994 – Tahun 1997 : Sime Darby Berhad, Kuala Lumpur  (Industrial Relations Executive)
Tahun 1994 : Shearn Delamore & Co., Kuala Lumpur (Pupil in Chambers)
Tahun 1992 – Tahun 1994 : Sime Darby Berhad, Kuala Lumpur (Management Executive)
Corporate Affairs & Planning Department and Legal Department

 

KELAYAKAN
Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin mempunyai kelayakan seperti berikut :-
1994 : Advocate and Solicitor, High Court of Malaya
1992 : Barrister at Law (Inner Temple), United Kingdom
1990 : Bachelor of Laws (Hons), Brunel University, United Kingdom
 
ANUGERAH BINTANG DAN DARJAH KEBESARAN
Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin telah dianugerahkan darjah kebesaran dan gelaran seperti berikut :-
November 2017 - Dianugerahkan Darjah Utama Seri Mahawangsa Yang Amat DiHormati (DMK) yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama daripada Kebawah DYMM Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman.
Januari 2017 - Dianugerahkan Kerabat Bergelar, Tunku Laksamana Kedah daripada Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah
Tahun 2007 - Dianugerahkan Darjah Setia DiRaja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Dato’ daripada Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah

 

KEGIATAN KEGEMARAN / MINAT / HOBI
Membaca
Bermain Golf
Aktiviti Explorasi
SUMBER : Pejabat KDYMM Tuanku Sultan Kedah

 

TUNKU BENDAHARA

YANG TERAMAT MULIA DATO’ SERI DIRAJA TAN SRI TUNKU ABDUL HAMID THANI
IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH
 
Nama    : Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah, SHMS., SSDK., PSM., DSDK., Tunku Bendahara Kedah
Alamat   : 94 Jalan Leong Yew Koh, Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tarikh Lahir   : 18 Jun 1951
Tempat Lahir  : Terengganu
Status   : Berkahwin
 
Perkahwinan
Bilangan Anak : 3 orang (Lelaki)
Pasangan  : Yang Amat Berbahagia, Datin Seri DiRaja Puan Sri Dato' Nora Binti Abdullah, DSDK., SMS., SDK., Toh Puan Bendahara Kedah.
 
Pengalaman
Executive Chairman, THB Bina Maju Sdn Bhd Construction (Construction)
Executive Chairman, THB Development Sdn Bhd (Contruction & Development)
Executive Chairman, THB Maintenance Sdn Bhd (Road Maintenance)
Executive Chairman, Armada Energy Service Sdn Bhd (O & G)
Executive Chairman, Citaglobal Sdn Bhd (Contruction)
Executive Chairman, Jerai Gemilang Sdn Bhd (Contruction)
SUMBER : Pejabat KDYMM Tuanku Sultan Kedah

TUNKU TEMENGGONG

 
TUNKU TEMENGGONG
YANG TERAMAT MULIA DATO’ SERI DIRAJA TAN SRI TUNKU PUTERI INTAN SAFINAZ BINTI ALMARHUM SULTAN ABDUL HALIM MU’ADZAM SHAH DKH., DKYR., SHMS., SSDK., PSM., PAT., JP., HON.PHD.(UUM), HON.PHD.(KUIN),

 

Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dilahirkan pada 22 julai 1966 di Alor Setar, Kedah. Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan SafinaZ adalah anak bongsu daripada tiga adik-beradik.
 
PENDIDIKAN
Selepas menghadiri sekolah rendah di St Nicholas Convent, Alor Star dan pendidikan menengah di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz meneruskan pendidikan menengah di Cheltenham Ladies College, Gloucestershire, United Kingdom. Yang Teramat Mulia memperolehi ijazah dalam bidang Politik dari Universiti Sussex pada tahun 1987.
 
KERJAYA
Selepas menamatkan pengajian, Yang Teramat Mulia kembali ke Malaysia dan menyertai Sime Darby Berhad di Kuala Lumpur dan bertugas dalam bahagian komunikasi, perhubungan industri dan perancangan korporat. Selepas bekerja dalam kumpulan Sime Darby selama enam tahun, Yang Teramat Mulia meninggalkan syarikat itu untuk menumpukan perhatian beliau pada pengusahaan inisiatif berasaskan komuniti terutamanya di Kedah.
  Yang Teramat Mulia bersama-sama dengan beberapa sukarelawan lain membentuk yayasan amal pada tahun 1996 iaitu Yayasan Sultanah        Bahiyah sempena nama arwah ibunda Yang Teramat Mulia iaitu Duli Yang Maha Mulia Tuanku Bahiyah ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.    Yang Teramat Mulia telah dilantik sebagai Pengerusi yayasan tersebut

 Yayasan Sultanah Bahiyah mengutamakan bidang pendidikan dimana yayasan Sultanah Bahiyah menjalankan kelas tambahan secara      percuma  hujung minggu kepada 2500 pelajar di 24 kawasan pedalaman. Yang Teramat Mulia juga merupakan seorang sukarelawan untuk       Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia, sebuah pertubuhan kebajikan yang diasaskan oleh mendiang neneknya, Yang Teramat Mulia   Tunku Puan Besar Kurshiah binti Tunku Besar Burhanuddin, pada tahun 1960. Beliau memegang jawatan Timbalan Pengerusi II dan     merupakan ahli jawatankuasa eksekutif di ibu pejabat utama di Kuala Lumpur.

Pada 10 Oktober 2010, Yang Teramat Mulia dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong yang ke-13, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin, kemudian Canselor UPNM.
 
Yang Teramat Mulia juga telah dilantik dan berfungsi sebagai Pro-Canselor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) oleh Canselor Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus. Yang Teramat Mulia juga telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Sosial Pengurusan Kerja) atas sumbangan cemerlang beliau dalam bidang kerja sosial dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 31 Oktober 2010, dan kemudian dilantik sebagai Canselor UUM.
 
Yang Teramat Mulia berkhidmat sebagai Canselor UUM bermula 1 Ogos 2014 sehingga 15 Disember 2016. Pada 5 Oktober 2011, Yang Teramat Mulia telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Komuniti) dari Kolej Universiti INSANIAH (KUIN) oleh Canselor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah. Teramat Mulia juga telah dilantik sebagai Royal Felo Institut Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) oleh Canselor DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada tahun 2007.
 
Apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah waktu ketika itu, Almarhum Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah dilantik untuk berkhidmat sebagai Agong atau 'Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong ke-14 pada bulan Disember 2011, Yang Teramat Mulia telah dilantik sebagai Ahli Majlis Kedah.
 
 KETENTERAAN
Yang Teramat Mulia telah ditauliahkan sebagai Amirul 513 Rejimen Askar Wataniah di Kedah pada 1 November 2007 dan berpangkat Brigadier General. Beliau adalah wanita pertama dari rumah diraja di Malaysia yang akan dipilih untuk jawatan tersebut. Pada  11 November 2010, Yang Teramat Mulia telah dianugerahkan pingat "Pahlawan Angkatan Tentera" (PAT) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke-13, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin.
Selain itu, Yang Teramat Mulia telah dianugerahkan Kehormat Maroon Beret dan kekal satu-satunya perempuan yang menerima anugerah kehormat itu oleh Angkatan Tentera Diraja Malaysia pada 31 Oktober 2011 di Markas 10 Briged Para, Kem Terendak Melaka.
 
 ANUGERAH BINTANG DAN DARJAH KEBESARAN
Yang Teramat Mulia  telah dianugerahkan "Darjah Seri Setia DiRaja Kedah" (S.S.D.K) pada tahun 1998. Beliau juga telah dianugerahkan "Darjah Kerabat Yam Tuan Raden" (D.K.Y.R) oleh Yang DiPertuan Sultan Negeri Sembilan pada tahun 2005.
Semasa perayaan untuk Jubli Emas KDYMM, bagi meraikan 50 Tahun Pemerintahan Sultan Kedah, Yang Maha Mulia telah dianugerahkan "Darjah Kerabat Halimi"  (D.K.H) pada Julai 2008.
 
Beliau juga telah dianugerahkan "Darjah Seri Setia Sultan Abdul Halim Mu"Adzam Shah Yang Amat DiHormati "(S.H.M.S) pada 12 Disember 2011 yang membawa gelaran "Dato Seri DiRaja".
 
Yang Teramat Mulia juga telah dikurniakan anugerah "Orang Besar Empat" yang membawa gelaran "Tunku Panglima Besar" oleh KDYMM Sultan Kedah pada ketika itu, Almarhum Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
 
Pada 2 Jun 2012, Yang Maha Mulia Her telah dianugerahkan anugerah "Panglima Setia Mahkota" (PSM) yang membawa gelaran "Tan Sri" oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14 sempena sambutan ulang tahun Baginda.
 
Pada bulan Januari 2017, selepas Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong tamat pemerintahan dalam tempoh 5 tahun, Yang Teramat Mulia telah dikurniakan gelaran "Tunku Temenggong Kedah" oleh Sultan Kedah.
HOBI DAN MINAT
Sukan golf
Sukan Pelayaran: Beliau adalah Naib Laksana Muda (Commodore) daripada Royal Langkawi Yacht Club di Pulau Langkawi,
Membaca buku, mendengar muzik, dan memiliki koleksi kecil lukisan dan arca Malaysia
 
SUMBER : Pejabat KDYMM Tuanku Sultan Kedah

TUNKU LAKSAMANA

YANG TERAMAT MULIA DATO’ SERI DIRAJA TUNKU SHAZUDDIN ARIFF IBNI SULTAN SALLEHUDDIN
TUNKU LAKSAMANA KEDAH
KEPUTERAAN
Yang Teramat Mulia Dato' Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin telah diputerakan pada 27 April 1970 di Alor Setar, Kedah. Yang Teramat Mulia Dato' Seri Diraja Tunku merupakan anakanda kedua Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah yang ke-29. Paduka bonda Yang Teramat Mulia Dato' Seri Diraja Tunku, bernama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha binti Tengku Ariff yang merupakan Kerabat DiRaja Negeri Kelantan Darul Naim.
 
PENDIDIKAN
Yang Teramat Mulia Dato' Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin telah mendapat pendidikan seperti berikut :-
Tahun 1990 - Tahun 1994 : Kansas Wesleyan University, United State of America- Design and Marketing
Tahun 1989 – Tahun 1990 : KDU University College
Tahun 1982 – Tahun 1987 : Sekolah Menengah Bukit Bintang
Tahun 1977 – Tahun 1982 : Sekolah Rendah Sri Petaling
KELUARGA
Yang Teramat Mulia Dato' Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin, kini masih belum mendirikan rumahtangga.
PENGALAMAN KERJAYA
Setelah menamatkan pengajian di Kansas Wesleyan University, Yang Teramat Mulia Dato' Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin telah berkhidmat di beberapa syarikat di Los Angeles, United State of America.
 
Sekembali ke Malaysia, Yang Teramat Mulia Dato' Seri Diraja Tunku memulakan kerjaya bersama Johan Design Associates selama lima tahun. Yang Teramat Mulia Dato' Seri Diraja Tunku telah ditugaskan untuk menguruskan pelbagai projek untuk beberapa syarikat terkemuka seperti Petronas F1, Malaysia Airlines, RHB Bank, Northport dan pelbagai Kementerian di Malaysia. Yang Teramat Mulia Dato' Seri Diraja Tunku meneruskan kerjaya dalam industri yang sama dengan syarikat – syarikat terkemuka yang lain seperti di Hewlett Packard, Data One dan Keppel Group of Singapore sehingga tahun 2001.
 
Pada tahun 2002, Yang Teramat Mulia Dato' Seri Diraja Tunku menceburi bidang perniagaan reka bentuk, dengan menubuhkan Syarikat Rethink Sdn Bhd yang mempunyai kepakaran dalam bidang Branding & Graphic Design dan Syarikat Reka 3 Sdn Bhd yang mempunyai kepakaran dalam bidang Interior Design. Pada masa yang sama, Yang Teramat Mulia Dato' Seri Diraja Tunku juga merupakan Pengarah Urusan Seri Libana Sdn Bhd
 
ANUGERAH BINTANG DAN DARJAH KEBESARAN
Yang Teramat Mulia Dato’ Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin telah dianugerahkan anugerah darjah kebesaran
2014 - Dianugerahkan Darjah Setia DiRaja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Dato’ daripada Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah
2019 - Dianugerahkan Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin (SSSK) yang membawa gelaran Dato' Seri Diraja
KEGIATAN KEGEMARAN / MINAT / HOBI
Kegiatan kegemaran, minat dan hobi Yang Teramat Mulia Dato' Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin di masa lapang adalah seperti berikut :-
  1. Menonton Wayang
  2. Aktiviti Lasak
 SUMBER : Pejabat KDYMM Tuanku Sultan Kedah