English Arabic Chinese (Simplified) Indonesian Malay

 

  • KedahApps.png
  • pelepasanAM2017.png
  • Nuzul-AlQuran_2017.jpg
  • Salam-Aidilfitri_2017.jpg

Monarki Negeri Kedah

 

 

Sistem Monarki Negeri Kedah

Kedah Darul Aman

Seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, Negeri Kedah Darul Aman mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan sebagai Ketua Negeri. 

Baginda juga adalah menjadi tumpuan dan lambang taat setia seluruh rakyat Negeri Kedah Darul Aman yang berbilang kaum dan sumber perpaduan rakyat yang berlainan keturunan bangsa, agama, kebudayaan dan adat resam.

 

KUASA DIRAJA

Kedah Darul Aman

Kuasa Memanggil dan Memansuhkan Persidangan Dewan Undangan Negeri

Di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman Baginda Sultan berkuasa memanggil Dewan Negeri untuk bersidang atau pun membubarkan Dewan Negeri. Mengikut Perkara 53 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, Raja Pemerintah hendaklah dari suatu masa ke suatu masa memanggil Dewan Negeri dan tidak boleh dibiar lucut tempohan enam bulan di antara mesyuarat yang lepas di dalam satu persidangan dengan tarikh yang ditetapkan bagi mesyuarat yang pertama di dalam persidangan yang akan datang.

Berdasarkan peruntukan ini, Baginda Sultan hendaklah dari masa kesemasa memanggil Dewan Negeri untuk bersidang tetapi hendaklah tidak membiarkan jangka masa sidang Dewan Negeri yang lalu dengan sidang yang berikut lebih daripada enam bulan.

Baginda Sultan juga berkuasa memberhentikan atau membubarkan Dewan Negeri. Perkara 53 (2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman memberi kuasa kepada Raja Pemerintah untuk menghentikan atau memansuhkan Dewan Negeri.

Kedah Darul Aman

Kuasa Pengampunan

Dalam hal-hal jenayah di Negeri Kedah Darul Aman, apabila segala saluran dan cara keadilan telah habis diikhtiarkan, seseorang yang sudah dihukum masih boleh lagi memohon ampun kepada Baginda Sultan sebagai langkah terakhir. Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman juga memberi kuasa kepada Baginda Sultan untuk mengampun, menangguh atau pun mengurangkan tempohan hukuman penjara bagi sesuatu kesalahan yang telah dihukum oleh Mahkammah.

Mengikut Perkara 42 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, berkuasalah Raja Pemerintah untuk membenar ampun, menangguh atau mengurangkan tempoh bagi sebarang kesalahan yang dilakukan di dalam negeri Kedah Darul Aman (selain daripada daripada apa-apa kesalahan yang telah dibicarakan oleh Mahkamah Tentera) dan sebarang kuasa yang diberikan oleh Undang-Undang Persekutuan atau Undang-Undang Negeri bagi meringankan atau menangguhkan atau menukarkan hukuman bagi mana-mana kesalahan yang dijalankan olehnya.

Mengikut Perkara 42 (2) Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah Darul Aman, kuasa yang tersebut di dalam fasal (1) itu hendaklah dijalankan menurut peraturan serta syarat-syarat yang dipertetapkan di dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Kuasa Baginda Sultan hendaklah dijalankan mengikut nasihat Jemaah Pengampunan yang ditubuhkan bagi sesuatu negeri mengikut Fasal 5. Jemaah Pengampunan yang dutubuhkan bagi sesuatu Negeri hendaklah terdiri daripada Peguam Negara Persekutuan, Menteri Besar dan tidak lebih daripada tiga orang ahli lain yang dilantik oleh Baginda Sultan.

Kedah Darul Aman

Tandatangan dan Pengesahan Rang Undang-Undang

Kedudukan Baginda Sultan sebagai sebahagian daripada Dewan Perundangan Negeri bererti bahawa sesuatu undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Perundangan Negeri tidak menjadi undang-undang sehingga rang undang-undang tersebut mendapat persetujuan daripada Baginda Sultan.

Perkara 60 (1), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, Majlis Undangan Negeri boleh membuat Undang-Undang Negeri di mana ianya hendaklah dijalankan dengan Rencana Undang-Undang yang diluluskan oleh Dewan Negeri dan diperkenankan oleh Raja Pemerintah. Manakala Perkara 60 (3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman juga memperuntukkan bahawa Rencana Undang-Undang hendaklah menjadi undang-undang apakala ianya diperkenankan oleh Raja Pemerintah.

Baginda Sultan memberi persetujuan kepada sesuatu rang undang-undang dengan menandatangan dan mengenakan Mohor Baginda. Apabila sesuatu rang undang-undang menjadi undang-undang setelah diperkenankan oleh Baginda Sultan, undang-undang itu pada biasanya hanya berkuatkuasa apabila ianya disiarkan dalam Warta Kerajaan. Namun begitu, ada kalanya kerana sebab-sebab tertentu, sesuatu rang undang-undang yang telah dipersetujui oleh Baginda Sultan dan diterbitkan dalam Warta kerajaan, dinyatakan bermula kuat kuasa dari satu tarikh yang lampau atau suatu tarikh yang akan datang.

PERLANTIKAN SULTAN KEDAH

Kedah Darul Aman

Perlantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Darul Ehsan

Mengikut Perkara 17, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, Raja hendaklah seorang daripada bangsa Melayu dan berdarah Raja keturunan Pemerintah-Pemerintah Kedah dan laki-laki dan beragama Islam Ahli Sunnah Waljumaah. Perkara 7 (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman pula menetapkan bahawa Takhta dan Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman hendaklah turun temurun terletak kepada putera laki-laki yang tua kepada Almarhum Sultan Badlishah dan lepas daripada itu hendaklah turun temurun kepada zuriat laki-lakinya yang tua sekali daripada sebelah laki-laki yang ada dan hidup pada masa itu.

Perkara 9, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman menetapkan bahawa perlantikan untuk menaiki takhta Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman adalah dipertetapkan oleh Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja. Mengikut Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja hendaklah mengandungi:

a) Menteri Besar yang menjadi Yang DiPertua Majlis itu.
b) Lain-lain ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan
c) Empat orang laki-laki ahli Kerabat Di Raja Negeri Kedah yang diangkatkan oleh Raja Pemerintah menurut timbang tiliknya dengan tauliah dan ditandatangani serta dicap dengan mohor Kerajaan dan dinyatakan di dalam Warta Kerajaan, dan
d) Lima orang ahli laki-laki yang bukan ahli Kerabat Di Raja Negeri Kedah dan tiada kurang daripada seorang daripadanya ialah Yang DiPertua Majlis Ugama Islam Negeri Kedah dan tiada kurang daripada seorang yang lain iaitu seorang yang cukup faham di dalam Undang-Undang Islam yang akan diangkatkan oleh Raja Pemerintah menurut timbang tiliknya dengan tauliah dan ditandatangani serta dicap dengan Mohor Kerajaan dan dinyatakan di dalam Warta Kerajaan.

SALASILAH DULI-DULI YANG MAHA MULIA

 

Salasilah Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Darul Aman (1136-1988)

Negeri Kedah Darul Aman adalah sebuah negeri yang tertua di Malaysia dan juga di Nusantara. Sistem Beraja Negeri Kedah Darul Aman bermula 1200 tahun dahulu dengan tertubuhnya Kerajaan Hindu Buddha. Raja yang pertama disebut sebagai Merong Maha Wangsa. Zaman pengaruh Hindu Buddha ini berakhir pada abad ke 12 dengan kedatangan Islam pada tahun 1136 Masihi dan Keturunan Kesultanan ini telah tidak terputus sehingga ke hari ini dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Haji Abdul Halim Mu'adzam Shah sekarang adalah Sultan yang ke 27 yang memerintah negeri ini.

Salasilah Kesultanan Negeri Kedah Darul Aman sejak daripada tahun 1136 Masihi adalah seperti berikut:

1. Sultan Mudzafar Shah I
1136 - 1179
 
2. Sultan Mu'adzam Shah
1179 - 1201
 
3. Sultan Muhammad Shah
1201 - 1236
 
4. Sultan Mudzaffar Shah II
1236 - 1280
 
5. Sultan Mahmud Shah I
1280 - 1321
 
6. Sultan Ibrahim Shah
1321 - 1373
 
7. Sultan Sulaiman Shah
1373 - 1422
 
8. Sultan Ataulah Muhammad Shah I
1422 - 1472
 
9. Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin I
1472 - 1506
 
10. Sultan Mahmud Shah II
1506 - 1546
 
11. Sultan Mudzaffar Shah III
1546 - 1602
 
12. Sultan Sulaiman Shah II
1602 - 1625
 
13. Sultan Rijaluddin Muhammad Shah
1625 - 1651
 
14. Sultan Muhyiddin Mansur Shah
1651 - 1661
 
15. Sultan Dziaddin Mukarram Shah
1661 - 1687
 
16. Sultan Ataullah Muhammad Shah II
1687 - 1698
 
17. Sultan Abdullah Al-Mu'adzam Shah
1698 - 1706
 
18. Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I
1706 - 1709
 
19. Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin II
1710 - 1778
 
20. Sultan Abdullah Mukarram Shah
1778 - 1797
 
21. Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II
1797 - 1843
 
22. Sultan Zainal Rashid Al-Mu'adzam Shah I
1843 - 1854
 
23. Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah
1854 - 1879
 
24. Sultan Zainal Rashid Mu'adzam Shah II
1879 - 1881
 
25. Sultan Abdul Hamid Halim Shah
1881 - 1943
 
26. Sultan Badlishah
1943 - 1958
 
27. Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah
1958 -          
 

ALAT KEBESARAN DIRAJA

 

Tengkolok Diraja

Tengkolok DiRaja

Tengkolok DiRaja dijalin daripada kain tenunan warna hitam bersulam benang emas. Bentuk ikatan atau solek dinamakan Dendam Tak Sudah. Di sebelah depan tengkolok terdapat ukiran melambangkan padi dan jata negeri Kedah Darul Aman. 

Jata ini diperbuat dengan menggunakan batu zamrud dan 4 biji berlian (perisai), 5 biji berlian (bulan sabit), dan 30 biji berlian (bunga padi). Di sekeliling Jata terdapat 23 lekuk bertatahkan berlian 3 biji lambang matahari dan bintang. Dari lekuk ini terdapat 9 rumpun batang padi bertatah 69 biji batu berlian, setiap ikatan berbentuk bunga lawang.

 

Keris Pendek DiRaja

Keris Pendek DiRaja

Keris ini untuk pemakaian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan merupakan lambang kekuasan Baginda. Pemakaiannya adalah untuk majlis Istiadat DiRaja mengikut ketetapan yang diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.

 

Keris Panjang DiRaja

Keris Panjang DiRaja ialah keris istiadat yang digunakan oleh Dato' Seri Maharaja Lela atau pun Ketua Istiadat semasa melangsungkan sesuatu Adat Istiadat DiRaja.

 

Cogan Agama

Cogam Agama adalah satu lagi lambang kekuasaan Baginda Sultan yang diperbuat daripada perak. Panjangnya 162.66 cm. Ia berupa tongkat berkepala besar dengan berukiran emas dengan perkataan "Allah". Pada kepala cogam terukir kalimah suci, dan pada tongkatnya terukir ayat Al-Quran.

 

 

Cogan Alam

 

Cogan Alam

Alat kebesaran ini diperbuat daripada perak, panjangnya 162.66 cm. Ia berupa satu bulatan tanda alam semesta dan diterapkan dengan lambang 11 buah daerah Negeri Kedah Darul Aman. Di bawahnya tertera bunga padi, lambang Negeri Kedah Darul Aman sebagai Negeri Jelapang Padi serta Pengairan Muda sumber pembekalan air yang mengairi sawah padi. Tongkat pula dihiasi dengan ukiran daun telepok Siam dan bunga orkid Langkawi serta ayat suci Al-Quran.

 

 

Cokmar

Cokmar

Lambang kekuasaan Baginda Sultan ini panjangnya 81.32 cm. Terdapat dua batang cokmar yang diperbuat daripada perak. Ia berupa tongkat berkepalakan kubah yang mempunyai ukiran bunga tanjung kuncup.

 

 

 

Pending DiRaja

Pending DiRaja

Pending DiRaja berbentuk bulat dan bertatahkan 12 biji batu berlian. Di tengahnya diperbuat daripada 'enamel' dan terdapat bintang 8 penjuru bertatahkan 16 biji batu berlian. Di tengahnya terletak sebiji permata berlian. Di kiri kanan terdapat ukiran berbentuk bunga ketola bertatahkan 3 biji permata berlian. Tali pinggangnya diperbuat daripada anyaman emas 112 mayam.

 

 

Gendik DiRaja

Permukaan depan berbentuk lambang Negeri Kedah bertatahkan berlian dan tepinya berlambangkan bentuk padi yang ditanam permata berlian di dalamnya. Sementara di atas lambang Negeri Kedah terdapat lambang pokok yang mana di atasnya terdapat sebiji permata berlian yang terbesar sebagai tunggak di dalam bentuk mahkota.

Pokok yang di atas lambang tersebut berpecah lima cabang bunga dengan sekuntum bunga terbesar dan dikelilingi empat kuntum bunga di tepinya. Di sebelah tepi kiri dan kanannya berbentuk pokok yang berdaun panjang. Selain daripada itu terdapat 12 kuntum bunga kesemuanya. Di sini juga terdapat sebatang pohon menjadi sebagai penyambung antara lambang Negeri Kedah dan juga Mohor tersebut. Kuntum-kuntum bunga tersebut bertatah berlian yang sederhana besarnya, sementara di mohornya lebih kecil sedikit. Di daun-daun yang berlipat ditanam dengan batu permata berbentuk petak empat segi.

Pada peringkat ketiga pula terdapat pokok yang lebih kecil di mana terdapat satu bintang bercabang lima bersama bulan sabit yang melambangkan keislaman di negeri ini. Pohon tersebut berbunga berlian sebanyak lima kuntum.

Pada peringkat akhir bentuk gendik ini dibuat berbentuk daun panjang yang terdiri daripada 4 helai daun berbentuk menurun iaitu 3 helai daun panjang dan satu helai daun kecil. Pada daun yang awal ditatah berlian yang berpetak empat segi sementara tiga lagi terdapat berlian yang biasa. Di dalam empat helai daun yang akhir ini disulam dengan 6 kuntum bunga berlian yang kecil.

Bentuk gendik permaisuri ini diperbuat daripada emas putih yang berkualiti 22k dengan kerja tangan yang halus. Keseluruhan berat gendik ini dianggarkan 205.15 gram. Batu-batu berlian pula adalah daripada batu berlian berkualiti kelas 'A' dan yang terpilih iaitu tidak ada satu pun yang cacat. Semua batu berlian terdiri daripada kelas warna yang sama, sama ada bentuk bulat ataupun yang empat segi. Di kalangan orang tempatan, berlian jenis ini dikenali juga sebagai 'berlian air biru' (blue diamond). Berlian kelas ini adalah terbaik di dunia.

 

Payung ubur-ubur

Payung ubur-ubur

Payung sebanyak 12 kaki diperbuat daripada kain berwarna kuning DiRaja dengan benang berambu. Kemuncaknya dipasangkan lambang Negeri Kedah yang diperbuat daripada perak.

 

 

 

Tombak, Lembing dan Pedang

Tombak, Lembing dan Pedang

Dua belas bilah alat senjata Melayu bagi tiap-tiap satu jenis yang juga menjadi sebahagian daripada alat kebesaran DiRaja.

 

 

 

 

Nobat DiRaja

Nobat DiRaja

Nobat ialah alat permainan muzik atau orkestra DiRaja yang mengandungi satu Gendang, satu Nafiri, dua Gendang Nobat, satu Serunai dan satu Gong. Nobat DiRaja Negeri Kedah adalah yang tertua di negara ini dan dimainkan di istiadat-istiadat rasmi sejak turun temurun seperti Istiadat Pertabalan DiRaja, Istiadat Perkahwinan DiRaja, Istiadat Permakaman DiRaja dan sebagainya. Pemain-pemain Nobat dipilih mengikut keturunan. Nobat hanya dimainkan apabila diperintahkan oleh Baginda Sultan dan untuk Istiadat tertentu sahaja.

 

 

 

Singgahsana

Singgahsana

Singgahsana mengikut adat istiadat adalah merupakan tempat bersemayam DiRaja yang melambangkan takhta Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman. Singgahsana yang terdapat di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit telah dibina pada tahun 1986 dan ianya melambangkan kekayaan warisan kebudayaan Negeri Kedah Darul Aman. Di sebelah atas bahagian belakangnya terletak jata Negeri Kedah Darul Aman yang bersalut dengan emas dan didukungi bahagian bawahnya dengan ukiran corak 'Bunga Setar'. Di bahagian bawah pula, jalur ukiran "Bunga Padi' yang menyemarakkan lambang kebesaran Singgahsana. Di sebelah kiri dan kanan serta di tengah-tengah bahagian belakangnya dihiasi pula dengan ukiran bintang emas yang melambangkan kebesaran Islam. Manakala alas tilamnya berlapik kulit berwarna ungu DiRaja.

 

 

Baju Sikap

Baju Sikap

Baju Sikap adalah sebahagian daripada pakaian rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan yang dipakai untuk Istiadat-Istiadat Rasmi Negeri seperti Istiadat Menyembah Tahniah Serta Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Menyambut Ulangtahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Baju Sikap telah dipakai sejak dua abad yang lalu di kalangan keluarga DiRaja Kedah. AlMarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah telah memakai Baju Sikap semasa menghadiri Istiadat Pertabalan King George V di London pada tahun 1910.

Baju ini dikatakan berasal dari masyarakat Jawa atau Aceh yang kemudiannya diubahsuai mengikut citarasa masyarakat di sini. Paling mudah Baju Sikap diperkatkan sebagai sehelai jaket pendek, berbelah di hadapan dan berkolar tinggi. Jika dilihat dengan teliti, Baju Sikap sememangnya salah satu pakaian asas Melayu yang unik dan boleh dibanggakan. Penampilannya dengan 'sut lima' lengkap tidak ada tolok bandingnya hingga ke hari ini. Pemakainya kelihatan hebat dengan tenggolok, seluar, sampin dan bengkung serta berkeris.

Sikap bermaksud peribadi, pemakainya dianggap sebagai seorang yang bersedia dan tegas. Oleh itu, di Negeri Kedah Darul Aman pada masa dahulu dianggap sebagai pakaian lengkap rasmi atau full formal dress.

 

 

ADAT ISTIADAT DIRAJA

Mengenai Pertabalan

Perkara 1 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman memperuntukkan bahawa "Tiada seorang akan diangkat naik takhta dan Kerajaan Negeri Kedah melainkan angkatannya itu telah dipertetapkan oleh Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja".

Perkara 23, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman memperuntukkan bahawa "Raja hendaklah ditabalkan mengikut adat istiadat Negeri Kedah Darul Aman"

Perkara 33(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman juga memperuntukkan bahawa "Jika ia suka boleh Raja itu dari suatu masa ke suatu masa buat Peraturan habuan Balai Penghadapan dan Istananya dan habuan mengangkat pegawai-pegawai balai penghadapan dan istananya dan habuan mengaturkan segala adat istiadat dan habuan menyempurnakan pekerjaan pegawai-pegawai balai penghadapan dan istana Raja itu dan orang-orang yang menanggung pekerjaan adat istiadat tatkala membuat itu hendaklah diambil timbang dengan halusi di atas adat istiadat Negeri ini jika ada.

Di dalam usaha untuk mengemaskinikan Peraturan Istiadat Pertabalan Sultan Negeri Kedah Darul Aman supaya seiringan dengan perkembangan semasa, pada tahun 1976 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan telah perkenan melantik sebuah Jawatankuasa untuk membuat Peraturan-Peraturan Berkenaan Adat Istiadat Pertabalan DiRaja Negeri Kedah Darul Aman.

Peraturan Istiadat Pertabalan di Negeri Kedah Darul Aman adalah merupakan warisan daripada adat istiadat yang telah disempurnakan dalam zaman pemerintahan Sultan Rijaluddin ibni Sultan Sulaiman (1625 hingga 1651 Masihi), Sultan Negeri Kedah yang bersemayam di Naga, Daerah Kubang Pasu. Peraturan ini telah menetapkan Gerak Kerja Adat Istiadat Pertabalan Sultan Negeri Kedah Darul Aman seperti di seksyen setereusnya:Penetapan Hari Pertabalan dan Perlantikan JawatankuasaKeberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Dan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Ke Balai PertabalanMenerima Tabik Kehormatan dan Pemeriksaan Barisan Kehormatan dan Istiadat Pertabalan.

 

Penetapan Hari Pertabalan dan Perlantikan Jawatankuasa

Menteri Besar setelah berunding dengan Majlis Mesyuarat Kerajaan hendaklah menetapkan Hari Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Sultan. Kemudian Menteri Besar hendaklah mempersembah maklum keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan untuk diperkenankan cadangan itu.

Apabila cadangan tersebut telah diperkenankan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan akan memaklumkan melalui surat kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Tuan-Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Negeri Kedah Darul Aman akan ditabalkan.

Dalam masa yang sama, Menteri Besar hendaklah memaklumkan melalui surat kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia mengenai cadangan hendak menabalkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Negeri Kedah Darul Aman.

Di samping itu, Menteri Besar hendaklah melantik Jawatankuasa Kerja Pertabalan yang beliau sendiri menjadi pengerusinya. Jawatankuasa Kerja ini berkuasa melantik beberapa Jawatankuasa Kecil dan menetapkan rojokan penentuan untuk setiap Jawatankuasa.

 

Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Dan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Ke Balai Pertabalan

Pada waktu yang dipertetapkan, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah berangkat dari istana ke Balai Pertabalan dengan diringi oleh Pengiring-Pengiring DiRaja.

Sebelum keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah, kumpulan "Perarakan Pertabalan" mengambil tempat tidak berapa jauh daripada Balai Pertabalan. Perarakan Pertabalan diketuai oleh Seri Maharaja Lela yang membawa sebilah keris panjang dan dipayungi dengan payung warna merah berubor-ubor.

Perarakan Pertabalan mengandungi pegawai-pegawai yang membawa:

a) Cogam Agama 1
  b) Cogam Alam 1
  c) Cokmar 2
  d) Pedang 12
  e) Tombak Berambu 12
  f) Lembing 12
  g) Payung Ubor-Ubor (warna kuning) 16
  h) Tunggul-Tunggul Merawat (warna kekuningan merah dan hijau) 24

Pembawa Cogan Alam dan Cogan Agama hendaklah daripada Dato'-Dato' Bergelar memakai pakaian istiadat dan berkeris. Perarakan Pertabalan akan mengiringi dengan mendahului Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah untuk bergerak ke Balai Tabalan.

Menerima Tabik Kehormatan dan Pemeriksaan Barisan Kehormatan

Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan isteri menyambut keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah di hadapan Balai Tabalan. Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan berangkat ke pentas khas untuk menerima tabik kehormatan dan seterusnya memeriksa barisan kehormatan. Selepas memeriksa barisan kehormatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah terus berangkat ke Balairong Seri.

Istiadat Pertabalan

Tiupan nafiri akan menandakan isyarat keberangkatan masuk Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah ke Balai Rong Seri. Keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia didahului oleh Seri Maharaja Lela. Duli-Duli Yang Maha Mulia dikapit oleh pegawai-pegawai yang membawa Cogam Agama dan Cogam Alam dan di belakang pula ialah pegawai-pegawai yang membawa Cokmar dan Pedang. Di belakang Duli-Duli Yang Maha Mulia ialah Juru Iring dan Dang Perwara.

Selawat akan dilafazkan sebaik sahaja tiupan nafiri berakhir. Nobat pula akan dipalu lagu "Raja Berangkat" apabila selawat selesai dilafazkan. Duli-Duli Yang Maha Mulia berangkat naik bersemayam di atas Singgahsana.

Istiadat Petabalan dimulakan dengan Seri Maharaja Lela mengadap memohon limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan untuk memulakan istiadat. Pegawai-pegawai membawa masuk alatan-alatan pertabalan dan meletakkannya di atas meja khas berhadapan Astaka. Alatan-Alatan Pertabalan adalah seperti berikut:

a) Puan Sireh.
  b) Keris Kebesaran.
  c) Surat Perisytiharan Pertabalan.
  d) Surat Titah DiRaja.
  e) Benian.
  f) Kendi.
  g) Embat-embat.
  h) Bekas Perasap.

Setelah Alatan-Alatan Pertabalan diletakkan mengikut tertib, aktiviti-aktiviti istiadat berikut menyusul kemudian:

a) Yang DiPertua Majlis Agama Islam melafazkan ayat-ayat suci Al-Quran.
  b) Yang Amat Berhormat Menteri Besar membaca Surat Pengisytiharan Pertabalan.
  c) Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan membaca Surat Titah DiRaja.
  d) Seri Maharaja Lela mengadap mengangkat sembah dengan lafaz:
  "Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik pohon diampun"
"Patik mempersembahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Keris Kebesaran Negeri ini sebagai lambang kebesaran, kedaulatan dan kekuasaan Duli Yang Maha Mulia"
"Ampun Tuanku."
  e) Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan menerima Keris Kebesaran Negeri dan menghunusnya, kemudian disarungkan semula.
  f) Hadirin sekalian bangun berdiri dan seterusnya Seri Maharaja Lela menyebut "Daulat Tuanku" tiga kali berturut-turut dengan diikuti oleh para hadirin.
  g) Nobat dipalu lagu "Raja Bertabal". Meriam ditembak sebanyak 21 das bermula daripada seruan "Daulat Tuanku" yang pertama dan payung ubor-ubor dikembangkan.
  h) Selesai lagu nobat "Raja Bertabal", lagu "Allah Selamat Sultan" dinyanyikan oleh kumpulan koir.
  i) Yang Amat Berhormat Menteri Besar mempersembahkan ucapan "Surat Ucapan Taat Setia" dan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.
  j) Yang DiPertua Majlis Agama Islam dengan diapit oleh Kadi Besar dan Imam Besar Masjid Zahir melafazkan doa selamat.
  k) Seri Maharaja Lela mengadap memohon limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan untuk menamatkan Istiadat.
  l) Nobat dipalu lagu Raja Berangkat" dan Duli-Duli Yang Maha Mulia berangkat turun dari Singgahsana meninggalkan majlis dengan diringi pengiring-pengiring DiRaja mengikut tertib dan disusuli oleh Wakil Raja-Raja dan Ketua-Ketua Negeri yang lain.
  m) Istiadat Pertabalan tamat.

 

Istiadat Perkahwinan Diraja

Peraturan Istiadat Perkahwinan DiRaja Negeri Kedah Darul Aman adalah warisan daripada istiadat yang diamalkan sejak zaman berzaman. Upacara-upacara ini diadakan dalam suasana gilang gemilang dan melibatkan perbagai tahap istiadat. Tahap-tahap istiadat yang hendak dijalankan perlulah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Istiadat-istiadat yang berlangsung dalam Istiadat Perkahwinan adalah seperti berikut:

      Istiadat Merisik
      Istiadat Meminang
      Istiadat Meletak Kerja
      Istiadat Berinai
      Istiadat Menerima Hantaran
      Istiadat Bersanding/Merenjis
      Istiadat Bersiram

Tahap pertama merupakan istiadat merisik dengan disusuli Istiadat Meminang. Setelah selesai Istiadat Meminang dan setelah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah, Istiadat Meletak Kerja disempurnakan. Dalam Istiadat ini, warkah peminangan dan segala hantaran dipersembahkan. Istiadat Meletak Kerja berikutnya didahului dengan paluan Nobat dan tembakan meriam sembilan das. Istiadat Berandam dilangsungkan selepas Istiadat Meletak Kerja dan dijalankan oleh Mak Andam dengan menggunakan peralatan istiadat yang diwarisi sejak dahulu. Pengantin Puteri ditepung tawar dan disintuk limau sebelum dimandikan.

Istiadat Berinai Kecil dilangsungkan selepas Istiadat Berandam. Istiadat Berinai Kecil hanya melibatkan kaum wanita sahaja. Kerja memetik inai di tambak inai disempurnakan oleh pawai perermpuan dengan iringan muzik tradisional. Tahap seterusnya merupakan Istiadat Hantaran dan Penerimaan Mas Kahwin serta Akad Nikah. Tempatnya berlangsung di Dewan Penghadapan.

Istiadat Berinai Besar diadakan pada sebelah malam pada hari yang sama dengan Istiadat Penerimaan Mas Kahwin dan Akad Nikah. Dalam Istiadat Berinai Besar, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan ahli-ahli Kerabat DiRaja yang kanan merenjis dan menepung tawar Pengantin DiRaja Putera. Manakala Pengantin DiRaja Puteri pula direnjis dan ditepung tawar oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah dan ahli-ahli Kerabat DiRaja yang lain.

Kemuncak Istiadat Perkahwinan ialah Istiadat Persandingan yang berlangsung serentak dengan Majlis Santapan Malam. Kedua-dua pasangan mempelai bersanding di atas peterana, dan kemudiannya dibawa pula ke Geta Kirana. Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan dan Permaisuri-Permaisuri negeri-negeri turut merenjis dan menepung tawar kedua pasangan mempelai.

Selang beberapa hari diadakan pula Istiadat Berlimau yang berlangsung di panca persada. Kedua-dua mempelai dirinig ke panca persada dengan iringan paluan Nobat. Istiadat Menyambut menjadi istiadat yang terakhir di dalam Istiadat Perkahwinan DiRaja. Istiadat ini diadakan di Dewan Penghadapan dengan dihadiri oleh Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Sultanah, kaum Kerabat, pembesar-pembesar negeri serta dif-dif jemputan.

DARJAH PENGURNIAAN NEGERI

Mengenai Famili Darjah Pengurniaan

Anugerah kebesaran Negeri Kedah Darul Aman boleh dibahagikan mengikut famili dan kumpulan. Mengikut famili, terdapat empat jenis iaitu Darjah Yang Maha Mulia Seri Mahkota,Darjah Yang Mulia Setia DiRajaDarjah Yang Mulia Seri Setia Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Darjah Kebesaran Gemilang Seri Mahkota Kedah.

Darjah Yang Mulia Seri Mahkota

Darjah Yang Mulia Seri Mahkota telah dizahirkan pada 29 Februari 1964. Terdapat empat pangkat di bawah famili darjah kebesaran ini dan senarai keutamaan darjah kebesaran mengikut kedudukan dalai kumpulan adalah seperti berikut:

Darjah Kebesaran Gelaran
1.  Seri Paduka Mahkota Kedah (S.P.M.K.) Lelaki - Dato' Seri
Isteri - Toh Puan 
2.  Dato' Paduka Mahkota Kedah (D.P.M.K)   Lelaki - Dato'
Isteri - Datin
3.  Seri Mahkota Kedah (S.M.K.) Lelaki
  Perempuan
4.  Ahli Mahkota Kedah (A.M.K.)  

 

Darjah Yang Mulia Setia Diraja

Darjah Yang Mulia Setia DiRaja telah dizahirkan pada 29 Februari 1964.. Terdapat tiga pangkat di bawah famili darjah kebesaran ini dan senarai keutamaan darjah kebesaran mengikut kedudukan dalam kumpulan adalah seperti berikut:

Darjah Gelaran
1.  Seri Setia DiRaja Kedah (S.S.D.K.) Lelaki - Dato' Seri
Isteri - Datin Seri 
2.  Dato' Setia Di Raja Kedah (D.S.D.K.)   Lelaki - Dato'
  Isteri - Datin
3.  Setia Di Raja Kedah (S.D.K.) Lelaki
Perempuan

Darjah Yang Mulia Seri Setia Sultan Abdul Halim Muadzam Shah

Darjah Yang Mulia Seri Setia Sultan Abdul Halim Muadzam Shah telah dizahirkan pada 15 Julai 1983 Terdapat tiga pangkat di bawah famili darjah kebesaran ini dan senarai keutamaan darjah kebesaran mengikut kedudukan dalam kumpulan adalah seperti berikut:

Darjah Gelaran
1.  Seri Paduka Seri Setia Sultan 
     Abdul Halim Muadzam Shah (D.H.M.S.)
Lelaki - Dato' Paduka
Isteri - Datin Paduka
2.  Setia Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (S.M.S.) Lelaki
Perempuan
3.  Bintang Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (B.M.S.)    

Darjah Kebesaran Gemilang Seri Mahkota Kedah

Darjah Kebesaran Gemilang Seri Mahkota Kedah telah dizahirkan pada bulan Januari tahun 2001. Terdapat tiga pangkat di bawah famili darjah kebesaran ini dan senarai keutamaan darjah kebesaran mengikut kedudukan dalam kumpulan adalah seperti berikut:

Darjah Gelaran
1.  Darjah Kebesaran Gemilang Seri Mahkota Kedah  
     Yang Amat Dihormati (D.G.M.K.)
Lelaki - Dato' Wira
Isteri - Datin Wira 
2.  Gemilang Seri Mahkota Kedah
     Yang Amat Dihormati (G.M.K.)
 
3.  Ahli Gemilang Mahkota Kedah (A.G.K.)  

 

UP

| Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman |

Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.