PEKAN KUALA KEDAH DILANDA AIR PASANG BESAR

Print

Anggota APM Kota Setar melakukan pemantauan di Pekan Kuala Kedah yang dinaiki air akibat air pasang besar yang melanda tengah malam tadi. FOTO IHSAN APM

 

ALOR SETAR (24 NOVEMBER 2022) : Kejadian air pasang besar yang berlaku di Kuala Kedah, hari ini, menyebabkan air laut mencecah 2.95 meter (m) dan menenggelamkan beberapa kawasan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, air pasang besar yang berlaku pada 12.40 tengah malam tadi itu menyebabkan air laut melepasi ramalan iaitu 2.9 m.

Beliau berkata, antara kawasan yang dinaiki air adalah Terminal Feri Kuala Kedah, Taman Seri Putra, Pasar Kota Marina dan Pekan Kuala Kedah. “Pemantauan dilakukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Setar di sekitar kawasan itu antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi.

“Berlaku limpahan air di Pekan Kuala Kedah, Pasar Kota Marina, kesan dari air pasang besar, selain terdapat sedikit kenaikan paras air di Terminal Feri Kuala Kedah dan Taman Seri Putra Kuala Kedah.

“Bagaimanapun, tiada rumah dan premis perniagaan yang terjejas dan keadaan adalah terkawal serta tidak menjejaskan aktiviti setempat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Norlizawati berkata, ketika kejadian air pasang besar, tiada angin serta hujan.

Bagaimanapun, pihaknya menasihatkan penduduk di kawasan pesisir pantai di Kuala Kedah supaya berhati-hati selain mengambil melangkah persediaan berikutan air pasang besar dijangka berlaku awal pagi esok dan Sabtu ini.

Media semalam melaporkan air pasang besar diramalkan berlaku di dua daerah di negeri ini iaitu di Kota Setar dan Kuala Muda selama tiga hari bermula hari ini sehingga Sabtu ini.

Sumber : Harian Metro