ALOR SETAR (08.06.2021) Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Dewan Al Farabi, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kedah di sini akan mula menerima pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat mulai Selasa.Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, dewan berkenaan mampu memuatkan seramai 40 pesakit warga emas dalam satu-satu masa.Katanya, pembukaan PKRC itu bagi mengurangkan penggunaan katil di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini selain memberi keselesaan kepada pesakit warga emas yang ditempatkan di dua PKRC sedia ada di Kulim dan Sungai Petani.”PKRC Dewan Al Farabi dilengkapi pelbagai peralatan perubatan termasuk tabung oksigen, mesin pengimbas X-Ray bergerak dan makmal selain menempatkan pakar perubatan bagi memberikan rawatan yang sewajarnya kepada pesakit.”Kita akan melakukan pemilihan untuk menentukan pesakit kategori tiga dan empat di HSB yang akan ditempatkan di PKRC Dewan Al Farabi bagi mengosongkan katil di wad hospital itu,” katanya ketika sidang akhbar pada Isnin.Beliau sebelum itu mengiringi Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor melawat PKRC Dewan Al Farabi.
Menurutnya, setakat ini PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sungai Petani dan ILKKM Kulim mencatatkan penggunaan katil kira-kira 60 peratus atau 320 katil berbanding kapasiti keseluruhan 500 katil.”Sebuah lagi PKRC akan dibuka di negeri ini iaitu Dewan Wawasan di Jitra yang masih lagi melalui proses baik pulih yang dijangka selesai kira-kira sebulan setengah lagi.”Apabila siap nanti dewan ini akan mampu memuatkan lebih banyak katil bagi menampung peningkatan pesakit Covid-19 di negeri ini,” katanya.