English Arabic Chinese (Simplified) Indonesian Malay

 

  • Nuzul-AlQuran_2017.jpg
  • pelepasanAM2017.png
  • KedahApps.png
  • Salam-Aidilfitri_2017.jpg

PENDIDIKAN DI KEDAH

Kolej Universiti Islam Negeri Kedah

Kolej Universiti INSANIAH (KUIN) merupakan sebuah universiti milik penuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dan berdaftar di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia KPT/JPS/DFT/US/K03.

Kolej Universiti INSANIAH yang ketika dahulu dikenali sebagai Institut Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman. Kerajaan negeri Kedah telah bersungguh-sungguh untuk mewujudkan sebuah pusat pengajian tinggi Islam di negeri ini yang bersesuaian dengan status sebuah negeri yang ulung dalam sejarah perkembangan ilmuan Islam suatu ketika dahulu.

Objektif awal penubuhan Institut Agama Islam Negeri kedah Darul Aman adalah untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional Islam yang mampu memimpin masyarakat serta mengembang ilmu pengetahuan Islam. Di samping itu bagi menampung pelajar lepasan sekolah agama melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Penubuhan Institut Islam Negeri kedah Darul Aman ini juga demi mengembalikan semula tradisi pengajian Islam yang sebenar untuk kebaikan agama, bangsa dan negara. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Negeri Kedah Darul Aman telah memperkenankan Enakmen Jamiah Islam Negeri Kedah Darul Aman yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada 7 Disember 1994 di bawah Enakmen Bilangan 4 Tahun 1995.

Dengan tertubuhnya, Institut Agama Islam Negeri kedah Darul Aman ini, maka tercatatlah suatu sejarah baru bagi Negeri Kedah yang mewujudkan sebuah pusat pengajian tinggi Islam yang tulen dan bertaraf Universiti. Ini adalah sangat bersesuaian bagi sebuah Negeri yang mempunyai banyak pusat pengajian Islam sejak zaman berzaman lagi.

Antara tujuan utama penubuhan Institut Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman ialah untuk mempertingkatkan mutu pengajian Islam dan bahasa Arab bagi menghasilkan generasi alim ulama, bijak pandai, intelek Islam dan para ilmuan yang berwibawa, berkemampuan, beriman dan menyahut keperluan hal ehwal Islam dari semasa ke semasa.

Pada peringkat awal penubuhan, Institut Agama Islam Negeri kedah Darul Aman telah menjalankan program pengajian berkembar peringkat Universiti dengan Universiti Al-Azhar, Mesir yang menganugerahkan Ijazah, Diploma dan Sijil. Jamiah Islam Negeri kedah Darul Aman menubuhkan tiga jurusan iaitu, Jurusan Syariah, Jurusan Usuluddin dan Jurusan Bahasa Arab.

Tahun akademik bermula pada 2 Januari 1996. Bahasa Arab merupakan bahasa pengantar, manakala bahasa Inggeris ialah matapelajaran wajib. Institut Agama Islam Negeri kedah Darul Aman menggunakan sistem penggal bagi bersesuaian dengan sistem yang dijalankan di Universiti Al-Azhar. Bagi menjaga mutu akademik Jamiah Islam Negeri kedah Darul Aman, tenaga akademik dipilih dalam kalangan para ilmuan yang berwibawa berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah atau yang setaraf dengannya.

Sejajar dengan perubahan demi perubahan, maka Institut Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman Institut Agama Negeri Kedah Darul Aman (INSANIAH) telah dinaikkan taraf sebagai Kolej Universiti pada 15 Mei 2006.

KUIN mensasarkan menjadi pusat ilmu yang bertaraf antarabangsa dalam usaha melahirkan graduan yang mampu menguasai ilmu di dalam bidang profesional dan agama ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat.

Untuk maklumat lanjut, bolehlah ke http://www.kuin.edu.my/v3e/

Politeknik Sultan Abdul Halim Muazam Shah


Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS) terletak di Bandar Darulaman, Jitra, lebih kurang 25 kilometer dari Alor Setar, ibu negeri Kedah. POLIMAS ditubuhkan dalam bulan Februari 1984. Pada masa itu, ia dikenali sebagai Politeknik Alor Setar dan ia menumpangkan bangunan asrama Sekolah Menengah Teknik Alor Setar.

Kumpulan pertama pelajar, lebih kurang 120 orang telah diterima belajar bagi sesi Julai 1984. POLIMAS berhasrat melatih pelajar-pelajar lepasan SPM dan SPMV bagi melahirkan tenaga kerja professional dalam bidang kejuruteraan dan perdagangan.

Kampusnya terletak di kawasan seluas 28 hektar dalam daerah Kubang Pasu. Ia mula digunakan pada 14 Mac 1987 dan telah dibuka secara rasminya oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 23 Mac 1989. Semenjak dari tarikh ini lahirlah nama Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, sempena nama baginda.

POLIMAS telah berkembang menjadi institusi pendidikan dan latihan teknikal yang mantap. Enrolmen pelajar telah meningkat kepada hampir 6000 orang dengan bilangan staf mencapai 600 orang.

Pengetua pertama ialah En. Abdul Aziz bin Hasbullah (kini bersara) yang telah menerajui POLIMAS selama tiga tahun. Pengetua POLIMAS yang ke-2 ialah Tuan Haji Imran bin Idris yang telah membangunkan institusi ini selama 12 tahun sehingga menjadi institusi yang terkemuka di Malaysia. Pengetua ke-3 POLIMAS ialah Ir. Gan Chee Kuan (kini bersara) telah banyak berjasa dalam memajukan POLIMAS selama 5 tahun. Pengarah POLIMAS yang ke-4 ialah Dr Khair bin Mohamad Yusof manakala Pengarah ke-5 adalah En. Mohd. Hashim bin Buyong yang telah bersara pada Julai 2007.

Kemudian, POLIMAS diterajui oleh Pengarah ke-6 iaitu En. Mohd Gomenon bin Su,juga telah bersara pada Mei 2008. Kemudian, POLIMAS diterajui oleh En. Md Noor B. Baharom dan kemudian diganti oleh En. Md. Nor B. Yusof selaku Pengarah POLIMAS ke-8. Maklumat lanjut mengenai politeknik ini boleh didapati dengan melayari http://www.polimas.edu.my

Politeknik Sultanah Bahiyah

 

 

Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) yang sebelum ini lebih dikenali sebagai Politeknik Kulim (PKU) telah memulakan operasinya pada 1 Mac 2002 di kampus sementara yang berpusat di Politeknik Seberang Perai. Setelah setahun beroperasi, PTSB yang merupakan Politeknik yang ke-16 di Malaysia, akhirnya telah berpindah ke kampus tetap pada 3 Mac 2003, yang terletak di Taman Teknologi Tinggi Kulim atau lebih dikenali sebagai Kulim Hi-Tech Park. Tanggal 9 Jun 2003, PTSB beroperasi sepenuhnya dengan pengambilan pertamanya seramai 507 orang pelajar.Kampus PTSB yang dibangunkan dengan kos RM 153 juta ringgit ini mempunyai keluasan kira-kira 100 ekar dan merupakan Politeknik yang kedua di negeri Kedah Darul Aman selepas Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS). Lokasinya yang strategik iaitu kira-kira 5 kilometer dari Bandar Kulim serta berdekatan dengan kawasan perindustrian tersohor, Kulim Hi-Tech Park, dilihat mampu menjana graduan dan tenaga kerja yang berkualiti sebagai modal insan bagi memenuhi keperluan pembangunan Negara.

Tanggal 27 Mac 2007, PTSB sekali lagi melakarkan kenangan manis apabila DYMM Sultan Kedah telah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah.

Kini PTSB mempunyai 6 Jabatan Akademik bagi proses pengajaran dan pembelajaran. Jabatan-jabatan tersebut adalah:

  • Jabatan Kejuruteraan Awam
  • Jabatan Kejuruteraan Elektrik
  • Jabatan Kejuruteraan Mekanikal
  • Jabatan Perdagangan
  • Jabatan Matematik, Sains dan Komputer
  • Jabatan Pengajian Am

Pelbagai kursus yang meliputi keperluan sektor awam dan swasta telah ditawarkan yang terdiri daripada kursus di peringkat Diploma dan Sijil. Di samping itu, PTSB terus menyediakan kemudahan pembelajaran sepanjang hayat melalui Kursus Secara Sambilan yang boleh diikuti oleh golongan mereka yang telah bekerja. Maklumat lanjut mengenai politeknik ini bolehlah melayari http://www.ptsb.edu.my

Universiti Utara Malaysia

 

Universiti Utara Malaysia (UUM) merupakan universiti yang keenam ditubuhkan di Malaysia. Ia ditubuhkan secara rasmi pada 16 Februari 1984 di bawah Perintah (Perbadanan) Universiti Utara Malaysia. Cogan kata UUM ialah "Ilmu, Budi, Bakti".

Hasrat untuk mewujudkan universiti keenam di Malaysia timbul berikutan bertambahnya permintaan terhadap pendidikan tinggi dan kurangnya tempat di lima universiti tempatan yang sedia ada. Pada bulan Ogos 1983, kerajaan mengarahkan Kementerian Pendidikan supaya menjalankan kajian kemungkinan dan menyediakan satu kertas kerja ke atas projek universiti keenam ini. Pada 19 Oktober 1983, Kabinet menelitinya dan meluluskan penubuhannya.

Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah dilantik sebagai Canselor. Naib Canselor UUM yang pertama ialah Prof. Tan Sri Dato' Awang Had Salleh.

Pejabat sementara Universiti Utara Malaysia ditempatkan di sebuah bangunan di bandar Jitra sehingga Kampus Darulaman disiapkan. Pembinaan kampus sementara berharga RM96 juta di kawasan seluas 25 hektar di Bandar Darulaman, Jitra bermula pada Januari 1984. Dalam tempoh enam bulan fasa pertama siap dan seramai 295 orang pelajar perintis memulakan pengajian pada 7 Julai 1984. Fasa II dan III pada tahun 1987. Konvokesyen pertama, kedua dan ketiga diadakan di Kampus Darulaman.

Pembinaan kampus tetap di Sintok pula bermula pada 8 Januari 1989. Kampus Sintok mula beroperasi pada 15 September 1990, dan perpindahan sepenuhnya ke Kampus Sintok berjaya dicapai pada 1 Januari 1991. Kampus Sintok yang berharga RM580 juta ini siap sepenuhnya pada 1993.

Pada masa ini, UUM mempunyai 13 buah fakulti, dua institut dan 15 kolej kediaman pelajar. Satu keunikan universiti ini adalah kebanyakan kemudahan yang terdapat di situ terbuka kepada orang ramai. Untuk maklumat lanjut bolehlah lawati http://www.uum.edu.my

UP

| Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman |

Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.