mszh-CNen

    KEDAH HANTAR 120 TAN BERAS KE PANTAI TIMUR

    TENGKU Sarafudin Badlishah (dua kiri) melepaskan Konvoi Misi Bantuan Banjir CDERT Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) ke Kelantan dan Terengganu.
    FOTO Luqman Hakim Zubir

     

    ALOR SETAR (27 DISEMBER 2022) : Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menghantar 120 tan beras bernilai RM300,000 khusus bagi membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

    Sebanyak empat treler dan kenderaan membawa makanan asas menyertai konvoi khas yang bertolak hari ini, bagi diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

    Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan melakukan pelepasan konvoi terbabit di pekarangan Stadium Darul Aman di sini.

    Turut hadir Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Datuk Syeikh Zakaria Othman.

    Tengku Sarafudin bertitah, semua pihak wajar membantu negeri yang ditimpa musibah seperti banjir atas semangat kenegaraan.

    “Kita tahu banjir di sana teruk, ramai yang dilaporkan terkandas. Jadi pada saya, kita yang duduk di dalam satu negara ini patut tolong-menolong antara satu sama lain tanpa mengira negeri mana yang dilanda banjir atau bencana.

    “Kita harap bantuan ini sedikit-sebanyak dapat membantu meringankan beban ditanggung mangsa banjir untuk mendapatkan keperluan asas, saya juga berharap penduduk di sana mendengar nasihat pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” titah baginda.

    Selain beras, konvoi yang turut diiringi kenderaan pengiring Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut menghantar 24,000 botol kicap sumbangan Syarikat Mudim Zakaria Industries.

    Sementara itu, Zakaria berkata, sebagai sebuah institusi yang menjaga kemaslahatan ummah, LZNK bertanggungjawab merangka bantuan yang boleh disalur bagi membantu mereka yang terjejas ketika banjir.

    “Majlis penyerahan sumbangan beras LZNK akan dibuat secara rasmi di Depot Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Marang di Terengganu, manakala di Kelantan akan ditentukan kemudian oleh Maik.

    “Orang ramai yang ingin turut menyumbang dalam misi bantuan ini, boleh salurkan sumbangan melalui portal Asnaf Care LZNK di pautan http://asnafcare.com.my,” katanya.

    Sumber : Harian Metro

    © 2022 Hak Cipta Pejabat Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

    Please publish modules in offcanvas position.

    Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.

    | Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman |