pertanyaan majlis mesyuarat kerajaan hubungi majlis mesyuarat kerajaan maklumbalas majlis mesyuarat kerajaan peta laman majlis mesyuarat kerajaan
utube majlis mesyuarat kerajaan facebook majlis mesyuarat kerajaan

    KPKT WUJUDKAN 32 PUSAT KITAR SEMULA PANDU LALU

     

    PUSAT Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) di Perlis. FOTO Bernama.

     

     

    ALOR SETAR (6 MAC 2023) : Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) berjaya mewujudkan 32 Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) di tujuh negeri yang menerima pakai Akta 672, dalam tempoh 100 hari pertama pembentukan Kerajaan Perpaduan.

    Menterinya Nga Kor Ming dalam satu kenyataan hari ini berkata, tujuh negeri itu ialah Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dengan Kedah mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 11 DTRC.

    “Inisiatif penyediaan DTRC adalah seiring dengan hala tuju Dasar Kebersihan Negara iaitu menyediakan tempat pengumpulan barangan kitar semula di kawasan perumahan, perindustrian, komersial dan institusi, dengan menyasarkan penambahan dua peratus bilangan kemudahan pengurusan sisa kitar semula setiap tahun bagi meningkatkan kecekapan dan pengurusan sisa pepejal,” katanya.

    Terdahulu, Nga melawat DTRC di Pasar Awam Kelibang, Kuah di Langkawi hari ini. DTRC itu berjaya mengumpulkan kira-kira 50 tan barangan kitar semula sejak dibuka pada November lepas.

    DTRC merupakan inisiatif berkonsepkan mesra pengguna yang memudahkan masyarakat menghantar sisa kitar semula yang telah diasingkan, di samping dapat menggalakkan orang ramai membudayakan amalan kitar semula bagi menyumbang kepada peningkatan kadar kitar semula kebangsaan sebanyak 40 peratus menjelang 2025.

    Nga berkata, pembinaan DTRC adalah seiring dengan konsep ‘Waste to Gold’ yang membolehkan komuniti menjana pendapatan sampingan daripada aktiviti kitar semula, selain menyokong transformasi ekonomi linear kepada ekonomi kitaran dalam pengurusan sisa pepejal yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber baharu dalam menghasilkan produk.

    Beliau berkata, KPKT melalui SWCorp berhasrat untuk terus menambahkan bilangan DTRC dari semasa ke semasa bagi merancakkan aktiviti kitar semula sekali gus akan menyumbang kepada peningkatan kadar kitar semula kebangsaan.

    “Kewujudan DTRC akan mendorong peningkatan permintaan dan nilai pasaran barangan kitar semula. Ini secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan industri kitar semula di Malaysia,” katanya.

    Dalam pada itu, Nga turut menyempurnakan majlis penyerahan surat tawaran menduduki Program Perumahan Rakyat (PPR) di Langkawi hari ini, dengan seramai 867 pemohon PPR berjaya memperoleh surat tawaran menduduki itu yang melibatkan PPR Anggerik Lestari (PPR Kuah) dan PPR Indera Mahsuri (PPR Ulu Melaka).

    Nga berkata, semua pemohon yang berjaya itu ditawarkan pemilikan rumah secara Skim Sewa-untuk-Milik yang menawarkan sewaan PPR untuk tempoh antara lima tahun hingga 20 tahun.

    “Tawaran untuk memiliki akan diberikan setiap lima tahun dengan membuat baki bayaran penuh dan penyewa konsisten dalam membuat pembayaran sewaan serta bayaran penyelenggaraan. Kadar bayaran sewa adalah RM225 sebulan dan tambahan RM140 untuk kos penyelenggaraan. Jumlah bayaran adalah sebanyak RM365 sebulan,” katanya.

    Beliau berkata, dengan bayaran sewa sebanyak RM225 sebulan untuk tempoh 20 tahun (maksimum) itu, ia menjadikan harga rumah dibayar setiap pemilik hanya RM54,000 berbanding kos pembinaan rumah yang dianggarkan RM250,000.

    Projek PPR Kuah membabitkan pembinaan sebanyak 500 unit rumah bernilai keseluruhan RM138,365,000, manakala PPR Ulu Melaka pula 500 unit rumah keseluruhannya bernilai RM125,500,000 dengan dilengkapi lima unit rumah Orang Kurang Upaya (OKU) untuk setiap projek.

    Sumber : Harian Metro

    © 2024 Hak Cipta Pejabat Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

    Please publish modules in offcanvas position.

    Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.

    | Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman | Portal MyGOVERMENT