Orang teruja menyaksikan aksi pasukan aerobatik pasukan Al-Fursan dari Emiriah Arab Bersatu di Bukit Pemandangan Indah, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
LANGKAWI (20 MEI 2023): Orang ramai mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk membawa keluarga menyaksikan latihan pertunjukan udara sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23), hari ini.
Pekarangan Rumah Kakitangan Malaysia Airport Berhad (MAB) menghala ke Kampung Bohor Chempedak dan Bukit Pemandangan Indah sesak seawal jam 7 pagi, walaupun pertunjukan udara hanya bermula jam 9 pagi.
Latihan sebelah pagi membabitkan pesawat dan jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia, manakala pasukan aerobatik luar negara menggegarkan ruang udara pulau ini mulai jam 12 tengah hari.
Pengunjung tempatan, Rahimi Yusof, 41, berkata beliau dan lima ahli keluarganya tidak pernah melepaskan peluang menyaksikan latihan dan pertunjukan udara bagi menimba pengalaman baru.
“Saya datang awal bersama keluarga untuk mengambil tempat yang strategik supaya tidak terlepas peluang menyaksikan formasi pertunjukan udara membabitkan pasukan aerobatik terhebat di dunia.
“Menonton pasukan aerobatik mengadakan latihan tak perlu bayar apa-apa, jadi eloklah bawa keluarga bersama kerana sekurang-kurangnya mereka turut mendapat pengalaman baru,” katanya.
Kanak-kanak turut tidak ketinggalan menyaksikan pertunjukan udara, walaupun terpaksa berdiri dalam cuaca panas terik dan menggunakan teropong untuk menonton latihan berkenaan.
Antara pasukan aerobatik yang mengadakan latihan pertunjukan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) hari ini, termasuk Jupiter (Indonesia), August 1st (China), Black Eagles (Korea Selatan), Emiriah Arab Bersatu (Al Fursan) dan Russia (Russian Knight).
Pameran LIMA yang kini memasuki edisi ke-16 sejak diperkenalkan pada 1991 dijadual berlangsung selama lima hari bermula Selasa ini.
Sumber : Harian Metro