pertanyaan majlis mesyuarat kerajaan hubungi majlis mesyuarat kerajaan maklumbalas majlis mesyuarat kerajaan peta laman majlis mesyuarat kerajaan
utube majlis mesyuarat kerajaan facebook majlis mesyuarat kerajaan

    SELURUH ASPEK KEPENTINGAN NEGERI HARUS DIPERKASAKAN BAGI MENCAPAI THE GREATER KEDAH - SULTAN KEDAH

    ISNIN (04.03.2024)
    ALOR SETAR - Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 telah disempurnakan oleh Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dengan penuh istiadat dan keberkatan.
     
    Tuanku Sultan bertitah, di atas bahu ahli-ahli Yang Berhormat sekalian diletakkan harapan besar untuk membela, membangun dan menjaga hak negeri. Sebagai titah diraja sulung untuk penggal pemerintahan Kerajaan Negeri yang baharu, maka Beta selaku Raja Pemerintah bertanggungjawab meletakkan batu asas di tempat yang betul.
     
    "Peranan hakiki ahli-ahli Yang Berhormat di dalam Dewan ini adalah sebagai penggubal undang-undang. Kuasa Dewan ini dalam menggubal undang-undang adalah meliputi perkara yang termaktub dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan. Sebagai tambahan menurut Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan, Dewan ini juga berkuasa untuk menggubal undang-undang bagi segala perkara yang tidak dinyatakan secara satu persatu di bawah mana-mana senarai dalam Jadual Kesembilan. Oleh yang demikian, asas ini perlu difahami oleh ahli-ahli Yang Berhormat, agar tidak menyimpang dari matlamat asal.
     
    "Untuk menjadi seorang penggubal undang-undang yang berwibawa, ahli-ahli Yang Berhormat harus turun padang menyelami masalah rakyat dan terbuka mendengar pandangan semua pihak. Sebagaimana yang pernah dinasihatkan oleh Baron De Montesquieu, seorang ahli falsafah demokrasi berbangsa Perancis; “To become truly great, one has to stand with people, not above them”.
     
    "Tiada satu kerajaan yang terlepas dari cabaran, konflik dan rintangan. Mengenang kembali 15 tahun pemerintahan Paduka Ayahanda Almarhum Sultan Badlishah sebagai raja pemerintah, negeri berhadapan desakan politik dan ancaman keselamatan yang berat. Dari penjajahan Jepun, ancaman komunis hingga paksaan menerima Malayan Union. Namun, dengan ketegasan Almarhum Paduka Ayahanda, kesepakatan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dan kebersamaan Rakyat, Negeri Kedah kekal berdiri hingga ke hari ini.
    "Beta percaya pengalaman yang ditempuh telah membina kekuatan dan membuka mata kita untuk bersatu mempertahankan hak-hak negeri. Fasa menentang penjajah luar sudah berlalu, kini adalah fasa negeri untuk berdikari dan bersedia ke arah berkemampuan mengharungi apa jua keadaan politik dan iklim ekonomi yang menimpa. Oleh yang demikian, seluruh aspek berkepentingan kepada negeri meliputi pembangunan ekonomi, sosial, hasil bumi, kekuatan fiskal, tadbir urus, perundangan dan kehakiman negeri, serta kerjasama strategik dan perancangan geopolitik, harus diperkasakan.
     
    "Sebagai asas perancangan, Pelan Pembangunan Kedah 2035 (KEDAH2035) yang sedang dilaksanakan harus diteruskan. Ciri dinamik yang diterapkan dalam KEDAH2035, perlu diguna untuk disesuaikan dengan keperluan pembangunan baharu ke arah mencapai The Greater Kedah. Bagi menjayakan agenda yang dirancang, penjawat awam harus berfikiran positif dan progressif, bukan terlalu selesa dengan amalan kelaziman," kata Baginda.
     
    Baginda bertitah demikian sempena Majlis Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
     
    Berangkat hadir sama Sultanah Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin; Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff; Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff.
    Dalam perkembangan sama, Baginda berkata matlamat penubuhan negara persekutuan, selain bagi membolehkan negeri-negeri secara bersama mengharungi cabaran geopolitik, adalah untuk membangunkan ekonomi melalui prinsip perkongsian sumber secara adil. Bagi memastikan Persekutuan Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berfungsi dengan baik, perbezaan politik perlu diraikan. Manakala, perseteruan politik perlu dihadkan.
     
    "Oleh yang demikian, suara negeri khususnya dalam aspek pembangunan perlu didengari di peringkat persekutuan. Saluran kerjasama dua hala antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu diwujudkan agar peranan negeri dalam arus pembangunan nasional dapat diberi perhatian. Beta percaya dengan kematangan Menteri Besar serta kewibawaan Perdana Menteri perkara ini dapat dilaksanakan. Tanpa kesepakatan antara Negeri dan Persekutuan, Malaysia tidak ubah seperti “House of Cards”, nampak gah, namun goyah.
     
    "Bagi membolehkan Negeri Kedah memainkan peranan yang lebih penting dalam ekonomi, cadangan projek strategik dan berimpak tinggi negeri perlu diberi perhatian dan sokongan. Selain daripada Projek Impak Tinggi yang dirangka di bawah KEDAH2035, Beta difahamkan terdapat beberapa projek strategik yang dicadangkan oleh pihak swasta. Dengan kemampuan fiskal dan kewangan negeri dan negara yang terhad, kaedah pembiayaan secara Private Finance Initiative (PFI) adalah kaedah terbaik untuk dilaksanakan.
    "Antara projek infrastruktur bersifat strategik yang dicadangkan adalah Projek Pembangunan Hub Hidrokarbon Pulau Bunting di Yan, Kedah Aerocity di Kuala Muda serta Pelabuhan Laut Dalam di Sanglang, Kedah. Dalam konteks pembangunan pihak swasta, peranan kerajaan adalah sebagai pemudah cara agar perancangan pembangunan yang bakal dilaksanakan membawa manfaat kepada negeri dan rakyat," ujar Baginda.
    © 2024 Hak Cipta Pejabat Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

    Please publish modules in offcanvas position.

    Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.

    | Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman | Portal MyGOVERMENT