ALOR SETAR (30 JUN 2024) – Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman Ke-82 diteruskan hari ini dengan diadakan Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah Serta Bintang-Bintang Kebesaran di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit.
Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah bagi meletakkan Negeri Kedah sebagai destinasi pelancongan unggul dan lebih dikenali di peringkat antarabangsa, Beta menyambut baik inisiatif Kerajaan Beta yang akan melancarkan Tahun Melawat Kedah pada tahun 2025.
“Seiring dengan hasrat ini, Beta berharap agar Jabatan dan Agensi yang berkaitan hendaklah memastikan semua kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan pelancongan berada dalam keadaan lengkap dan sempurna untuk menerima kehadiran para pelancong.
“Bagi memastikan inisiatif kerajaan ini dapat direalisasikan dengan jayanya, aspek kebersihan dan keindahan perlu sentiasa berada pada tahap terbaik serta menjadi agenda penting setiap Pihak Berkuasa Tempatan sepanjang kempen Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025).
“Dalam hal ini, Beta menyokong langkah proaktif yang digerakkan oleh Mamanda Menteri Besar, yang mensasarkan Pulau Langkawi sebagai sebuah pulau pelancongan yang terbersih di dunia manakala Pihak Berkuasa Tempatan lainnya juga perlu memastikan kebersihan dan keindahan persekitarannya dijaga dan dipantau dengan lebih efisyen agar menjadi sebuah bandar bersih,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah Serta Bintang-Bintang Kebesaran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-82 di Istana Anak Bukit di sini, hari ini.
Berangkat hadir sama Sultanah Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin; Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamed Ariff; Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Che Puan Nur Julie Ariff.
Hadir sama Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta isteri; Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor serta isteri; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali serta isteri; Ahli-ahli Parlimen dan ADUN serta Pegawai-pegawai Tertinggi Negeri dan Persekutuan.
Dalam perkembangan sama, Baginda berkata golongan belia adalah khazanah bernilai yang menjadi penyambung warisan kepimpinan negara. Pembangunan belia perlulah sentiasa dititikberatkan sebagai persediaan masa hadapan selari dengan jangkaan negara Malaysia yang sedang menuju sebuah negara tua pada tahun 2030 apabila 15.3 peratus daripada penduduk negara akan berusia melebihi 60 tahun.
“Justeru, Beta menyarankan agar Kerajaan Beta, hendaklah berusaha membangunkan belia negeri Kedah secara holistik yang selari dengan tuntutan agama dan budaya bangsa,” tambah Baginda.
Sumber : Warta Kedah