pertanyaan majlis mesyuarat kerajaan hubungi majlis mesyuarat kerajaan maklumbalas majlis mesyuarat kerajaan peta laman majlis mesyuarat kerajaan
utube majlis mesyuarat kerajaan facebook majlis mesyuarat kerajaan

    CADANGAN PELABUHAN SANGLANG MAMPU LONJAK KDNK NEGERI KEDAH

     

    ALOR SETAR (25 November 2024) – Cadangan Pelabuhan Sanglang merupakan projek berimpak tinggi yang akan dibangunkan di Daerah Kubang Pasu, Kedah dan telah disenaraikan sebagai salah satu projek keutamaan Kerajaan Negeri yang akan memacu pertumbuhan ekonomi dalam usaha mencapai “The Greater Kedah” menjelang tahun 2050.

    Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata cadangan pelabuhan ini akan dibangunkan melalui inisiatif pihak swasta dengan pembangunan sebuah pelabuhan kargo “landbridge” yang berfungsi sebagai jalan pintas antara Laut Andaman dan Gulf of Thailand yang akan memanfaatkan kedua-dua negara memandangkan gerbang terminalnya adalah antara di Malaysia (Sanglang) dan Thailand (Songkhla).

    “Selain itu, cadangan pelabuhan ini akan menjadi “feeder port” bagi melengkapi keperluan kapasiti Pelabuhan Pulau Pinang pada masa kini. Pelabuhan Sanglang juga akan berfungsi sebagai hab tenaga baharu berasaskan ammonia dan hidrogen.

    “Dalam pada itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi di bahagian Pantai Barat Daerah Kubang Pasu yang kini didominasi oleh aktiviti pertanian dan perikanan. Status terkini, pihak syarikat serta perunding yang dilantik kini sedang memperhalusi cadangan pelabuhan ini termasuk lokasi serta aktiviti “hinterland” dan hiliran yang sesuai.

    “Pihak syarikat telahpun mengemukakan cadangan pelabuhan ini kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan kini sedang ditambahbaik berdasarkan maklumbalas yang diterima daripada pihak Kementerian,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan ADUN Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkenaan status agenda pembangunan jeti pelabuhan laut dalam Kuala Sanglang sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Yang Ke-15 (Mesyuarat Bajet) di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

    Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah (BPEN) telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan mesyuarat teknikal bagi memperhalusi kesesuaian lokasi tapak dan bentuk pembangunan projek yang dicadangkan oleh pihak syarikat dan dijangka akan dimuktamadkan pada akhir tahun 2024.

    “Melihatkan kepada manfaat ekonomi yang bakal dinikmati khususnya dari segi peluang pekerjaan dan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Kedah serta Malaysia, Kerajaan Negeri komited untuk merealisasikan projek ini melalui kuasa negeri yang diperuntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya urusan berkaitan tanah.

    “Pada masa yang sama, adalah diharapkan cadangan pelabuhan ini mendapat sokongan serta kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan kerana manfaatnya yang besar kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara,” ujarnya.

    Sumber Berita : Warta Kedah

    © 2024 Hak Cipta Pejabat Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

    Please publish modules in offcanvas position.

    Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.

    | Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman | Portal MyGOVERMENT