Antara slogan yang pernah digunakan kerajaan Kedah.
ALOR SETAR 15 JUN - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah mengangkat kembali slogan rasmi yang pernah digunakan kerajaan Pas pada tahun 2008 hingga 2013 sebagai slogan baharu selepas mengambil alih pentadbiran negeri.Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, slogan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ menggantikan slogan ‘Kedah Aman Makmur - Harapan bersama Memakmurkan Kedah’ yang diperkenalkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Menurutnya, penggunaan semula slogan itu bukan disebabkan ketandusan idea sebaliknya ada maksud tersirat selain ingin mengembalikan kegemilangan pentadbiran yang diasaskan bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.“Perubahan slogan itu diputuskan pada mesyuarat Exco 27 Mei lalu tetapi disesuaikan dengan keadaan semasa.
Walaupun komponen parti berbeza tetapi kualiti dan maksudnya tetap 'evergreen',” katanya kepada Sinar Harian hari ini.Muhammad Sanusi berkata, pemilihan slogan itu bertepatan susulan perjuangan lalu masih belum selesai dan akan diteruskan.“Ada banyak perancangan ketika itu (2008-2013) yang belum selesai, sebahagiannya belum mencapai 100 peratus,” katanya.
Menurutnya, slogan itu dinamakan oleh bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Allahyarham Datuk Dr Abdul Isa Ismail untuk Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.“Ia turut mempunyai nilai sentimental kerana pernah dijadikan tajuk manifesto Pilihan Raya Umum 2008 dan diterima oleh semua,” katanya.
SUMBER : SINAR