ALOR SETAR (21 .04.21) – Bazar Ramadan tidak perlu ditutup sebaliknya pengawasan dan prosedur operasi standard (SOP) perlu dipertingkatkan agar ia lebih selamat untuk dikunjungi.Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail berkata, walaupun dalam tempoh seminggu ini pelbagai gambar di bazar Ramadan tular sehingga menimbulkan kebimbangan tercetusnya kluster baharu, namun penilaian harus dibuat dari pelbagai aspek.
Menurutnya, peniaga di bazar Ramadan juga perlu diberikan pertimbangan setelah mereka membuat pelaburan besar bagi perniagaan itu.“Bazar Ramadan adalah tempat peniaga, kebanyakannya golongan B40 mencari rezeki. Ada yang berhutang untuk berniaga termasuk meminjam daripada ah long.”Sekiranya perniagaan mereka tiba-tiba disekat, mereka akan dikejar oleh pemberi pinjaman apatah lagi sejak awal kerajaan Persekutuan membayangkan bazar Ramadan boleh beroperasi,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.Azman berkata, apa yang harus dilakukan adalah mempertingkatkan SOP dengan lebih ketat, bukannya menutup periuk nasi peniaga.“Ada beberapa pihak nyatakan kemungkinan bazar Ramadan ditutup kerana dibimbangi menjadi antara punca gelombang ke-empat pandemik Covid-19.”Saya sokong usaha yang dibuat untuk kekang penyebaran Covid-19 dan turut bimbang kemungkinan kita berdepan gelombang ke-empat. Namun setiap tindakan biarlah rasional dan berdasarkan bukti saintifik,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penambahbaikan perlu dilakukan segera ke atas semua bazar Ramadan di seluruh negara, antaranya memastikan gerai di tempat terbuka dan lapang, susun atur gerai yang betul bagi membolehkan peredaran udara yang baik, penjarakan antara gerai serta pematuhan pengunjung agar tidak bersesak.Pengunjung tidak bersesak-sesak apabila terdapat penjarakan antara gerai.“Kalau perlu, letakkan mesin pembersih udara di tempat-tempat tertentu, termasuk penambahan anggota penguatkuasa.
Sesiapa yang tidak memakai pelitup muka dengan sempurna dan suhu tinggi, jangan benarkan masuk ke kawasan bazar,” katanya.Azman percaya dengan langkah-langkah ketat, bazar Ramadan akan menjadi tempat yang selamat dikunjungi dan tiada keperluan menutup operasi bazar Ramadan.“Berdasarkan data saintifik, Covid-19 tersebar melalui butiran cecair seni (aerosol) yang keluar dari mulut dan hidung pembawa virus, apabila dia bercakap tanpa memakai pelitup muka.”Perpindahan aerosol ini dari individu kepada individu lain kebanyakannya berlaku di tempat tertutup, di mana peredaran udara tidak sempurna seperti dalam bilik atau bangunan sempit,” katanya.Menurutnya, cecair aerosol ini akan terlarut dan hilang apabila udara bergerak seperti di kawasan lapang dan terdedah, meskipun terdapat ramai orang di kawasan tersebut.“Sebagai contoh, kenduri atau makan di tempat terbuka dengan peredaran udara yang baik, walaupun ramai orang tidak membawa kepada peningkatan kes Covid-19.”Sebaliknya berkumpul di tempat tertutup seperti ruang makan kapal persiaran, walaupun tidak ramai orang berisiko kepada penyebaran wabak ini,” katanya.Azman berkata, setakat ini, pengkaji di seluruh dunia turut melaporkan tiada kes Covid-19 tersebar dengan cara lain.