YAN – (13 DISEMBER 2021) Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji menasihatkan orang ramai agar tidak menyerbu kaunter bayaran memandangkan tawaran pengurangan saman trafik sehingga 80 peratus dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.
Beliau berkata, jumlah kaunter di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan akan dibuka seperti sebelum ini iaitu tiga kaunter semakan dan dua kaunter bayaran.Katanya, lanjutan tempoh tawaran itu membantu mengurangkan kesesakan yang berlaku di semua lokasi bayaran saman.”Di IPD Yan setakat ini, keadaan masih terkawal dengan 11 kekuatan penugasan iaitu seorang pegawai, enam anggota dan empat pegawai awam.”Cuma kita harap orang ramai tidak berpusu- pusu untuk melunaskan bayaran saman masing-masing kerana kita masih ada tempoh yang agak panjang untuk berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di IPD Yan di sini pada Ahad.
Menurutnya, bermula Khamis sehingga jam 1 petang pada Ahad, pihaknya berjaya mengutip bayaran kompaun sebanyak RM362,130 dengan jumlah 7,660 keping saman.
“Setakat ini, tiada rekod individu membayar saman dalam jumlah yang besar mencecah ribuan ringgit, kebanyakan yang datang melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju,” katanya.
Shahnaz menambah, pihaknya sentiasa mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) di samping keselesaan orang ramai yang terpaksa menunggu giliran masing- masing.