mszh-CNen

    Ban pecah: 13,350 hektar sawah padi terjejas, beri kesan keselamatan makanan - MB Kedah

     

    ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan kelewatan membaik pulih runtuhan ban kanan Terusan Tengah, Struktur Alor Limpah di Sungai Santap, Pelubang akan memberi kesan besar kepada sektor keselamatan makanan negara.
     
    Menurut beliau, sekiranya kerosakan yang berlaku itu dibiarkan dalam tempoh melebihi dua minggu, ia akan menjejaskan kawasan tanaman sawah padi seluas 47,000 relong atau 13,350 hektar yang menghasilkan lebih 65,000 tan padi.
     
    Jelasnya, situasi yang berlaku ketika ini menyebabkan air tidak dapat disalirkan ke kawasan-kawasan sawah padi yang tertentu terutama ketika musim menanam. Sehubungan itu, Sanusi mengharapkan agar Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi perhatian sewajarnya terhadap situasi yang berlaku di Kedah ketika ini.
     
    "Saya mohon untuk diberi perhatian juga oleh MAFI dan MKN, kerana penyusutan paras air di terusan tengah selagi kita tak perbaiki ban yang runtuh itu, ia akan menjejaskan 47,000 relong atau 13,350 hektar sawah padi melibatkan 40,000 petani, dan melibatkan berpuluh ribu tan hasil padi," katanya.
     
    Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusilan Mesyuarat Mingguan EXCO Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, pada Rabu.
     
    Semalam, Sanusi memaklumkan bahawa kerja-kerja untuk membaik pulih ban kanan Terusan Tengah yang runtuh di Struktur Alor Limpah, Sungai Santap, Pelubang pada Isnin dianggarkan akan menelan kos sekitar RM1.5 juta sehingga RM1.8 juta.
     
    Terdahulu, ban kanan Terusan Tengah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang runtuh di Struktur Alor Limpah, Sungai Santap, Pelubang petang Isnin telah menyebabkan berlakunya masalah gangguan bekalan air di beberapa kawasan khususnya Kota Setar dan Pokok Sena.
     
    Sementara itu, katanya sebanyak 38,500 akaun pengguna melibatkan kawasan Pokok Sena, Pendang, dan Guar Cempedak masih terkesan dengan gangguan bekalan air susulan kejadian berkenaan.
     
    Katanya, hampir keseluruhan kawasan Pokok Sena masih terjejas dengan gangguan bekalan air melibatkan 13,500 akaun pengguna susulan Loji Rawatan Air (LRA) Pokok Sena masih belum dapat beroperasi sepenuhnya.
    © 2020 Hak Cipta Pejabat Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

    Please publish modules in offcanvas position.

    Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.

    | Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman |