ALOR SETAR (13 JUN 2024) – Bidang sains, teknologi dan inovasi merupakan tiang utama yang menyokong kemajuan ekonomi, sosial, dan budaya dalam masyarakat Kedah. Teknologi baharu khususnya, memainkan peranan penting dalam membentuk landskap ekonomi Kedah dengan pelaburan yang tepat dalam bidang ini, kita mampu menggalakkan keusahawanan tempatan, menarik pelaburan asing dan mengukuhkan kedudukan Kedah dalam arena global.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri, Dzowahir Ab Ghani berkata Industri 4.0 membawa bersama pelbagai penemuan teknologi baharu yang kompleks seperti automasi, Internet of Things (IoT), big data, kecerdasan buatan atau AI dan penggunaan robotik. Transformasi ini membuka peluang baru bagi Kedah dalam meningkatkan kecekapan pengeluaran dan merangka strategi baru dalam memenuhi tuntutan pasaran global yang berubah dengan cepat.
“Namun, kejayaan dalam bidang ini tidak akan dicapai tanpa sokongan sepenuhnya daripada semua pihak. Kita perlu menyediakan infrastruktur yang sesuai, peluang pendidikan dan latihan, serta persekitaran yang kondusif bagi para penyelidik, usahawan dan pelajar Kedah untuk berkembang dan berkarya.
“Dalam konteks ini, sungguhpun sektor pembuatan dan perkhidmatan merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kedah, sektor pertanian juga memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negeri ini. Kerajaan Negeri menyambut baik sokongan dari pihak kerajaan dan swasta yang menerokai peluang memodenisasikan sektor pertanian sebagai usaha untuk membangunkan sektor ini secara lestari. Bagi meningkatkan produktiviti hasil tanaman, ternakan dan perikanan yang berkualiti serta jaminan sekuriti makanan dalam negeri, penekanan terhadap automasi dan penggunaan teknologi moden seperti internet of things (IOT) perlu dipertingkatkan dan seterusnya menjadi amalan peladang, penternak dan nelayan.
“Kerajaan Negeri berharap dalam masa beberapa tahun akan datang, negeri Kedah dapat menjadi negeri yang berdaya maju dalam pembangunan sektor pertanian. Ini termasuklah mencapai 100% tahap sara diri (self sufficiency level) dalam komoditi pertanian melalui pendekatan dan polisi agromakanan yang bersifat marketdriven.
“Oleh itu, negeri ini menyambut baik penghasilan benih mutan NMR152 oleh Agensi Nuklear Malaysia yang dapat membantu dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan asas iaitu beras dan perkembangan sektor ini sekaligus dapat mengawal harga bekalan makanan bagi manfaat rakyat di Malaysia.
“Dalam hubungan ini, kita hendaklah memberi perhatian kepada bekalan makanan tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada import. Rakyat Kedah perlu dibimbing dan diberi galakan untuk menceburi industri pertanian sebagai petani moden dan berteknologi, sekaligus menjadikannya sebagai satu sumber pendapatan yang mampan dan kukuh serta menguntungkan,” katanya.
Beliau berkata demikian di dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Program Promosi Bersasar (Technology Preview & Showcase, TPS) Siri 2 dan Pelancaran Galeri Padi Nuklear Negeri Kedah di Muzium Padi di sini, hari ini. Berangkat hadir sama Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin. Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi, Dato’ Ts. Dr. Aminuddin Hassim; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Rosli Darmawan; Pegawai Daerah Kota Setar, Hakim Ariff Md Noor dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri.
Dalam perkembangan sama, Dzowahir berkata Program Promosi Bersasar (Technology Preview & Showcase – TPS) adalah program dwi tahunan yang telah dikendalikan oleh Agensi Nuklear Malaysia. Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk menemukan para pegawai penyelidik ataupun pereka cipta Agensi Nuklear Malaysia dengan pihak industri dan pemegang taruh bagi memperkenalkan perkhidmatan dan produk-produk yang dihasilkan melalui pembangunan dan teknologi serta khidmat dan teknologi yang ada di Agensi Nuklear Malaysia.
“Melalui Galeri Padi Nuklear yang akan dilancarkan pada hari ini juga, pihak Kerajaan Negeri dan rakyat dapat melihat perkembangan teknologi nuklear dalam penghasilan baka padi yang baik yang mampu menyokong keterjaminan makanan negara. Penganjuran program seumpama ini dapat mengeratkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Negeri selain memberi peluang kepada penyelidik tempatan negeri untuk berkongsi kepakaran dan ilmu dengan lain-lain pakar serta penyelidik.
“Negeri Kedah turut menyokong Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang telah dilancarkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang pada 20 September 2023 yang lepas dengan dasar agenda negara mengarus perdanakan penggunaan teknologi nuklear secara aman ke arah mempertingkatkan daya saing industri, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memulihara sumber asli dan alam sekitar,” ujarnya.
Raja Muda Kedah turut berkenan merasmikan program ini seterusnya diiring melihat dengan lebih dekat Galeri Padi Nuklear di Muzium Padi Negeri Kedah.
Sumber : Warta Kedah