pertanyaan majlis mesyuarat kerajaan hubungi majlis mesyuarat kerajaan maklumbalas majlis mesyuarat kerajaan peta laman majlis mesyuarat kerajaan
utube majlis mesyuarat kerajaan facebook majlis mesyuarat kerajaan

    PEMULIHARAAN KHAZANAH ALAM SEMULAJADI DAPAT MEMASTIKAN KELESTARIAN ALAM SEKITAR KEKAL TERPELIHARA

    LANGKAWI (21 Oktober 2024) – Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamed Ariff bercemar duli hadir ke Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 Peringkat Kebangsaan di Hotel Park Royal, Langkawi.

    Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria mewakili Menteri Besar Kedah berkata Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM3.5 juta untuk program-program melibatkan pengurusan sumber hutan, pembangunan dan pemuliharaan hutan simpan, operasi risikan dan penguatkuasaan.

    “Kerajaan Negeri juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas penyaluran peruntukkan sebanyak RM10.473 juta kepada Kerajaan Negeri untuk pengurusan sumber hutan dan pemuliharaan hutan simpan.

    “Inisiatif ini diambil sebagai langkah serius untuk mengekang kemusnahan yang telah berlaku, terutamanya dalam sektor pertanian dan perhutanan. Kerajaan Negeri juga akan menambah bilangan taman awam, memulihkan sungai-sungai yang tercemar serta meningkatkan kawasan perlindungan laut di Langkawi.

    “Selain itu, pemuliharaan khazanah alam semulajadi menjadi agenda utama Kerajaan Negeri bagi memastikan kelestarian alam sekitar kekal terpelihara. Beberapa inisiatif dan sasaran telah ditetapkan bagi maksud tersebut antaranya bagi negeri Kedah telah ditanam pokok sebanyak 2.808 juta pokok berbanding sasaran hanya 1.125 juta dalam tempoh 2021-2025 selain menetapkan sasaran untuk Jerai Geopark memdapatkan pengiktirafan UNESCO sepertimana Pulau Langkawi menjelang tahun 2035 dan menjadikan Langkawi sebagai Pulau Rendah Karbon menjelang 2035 disamping mensasarkan Pulau Langkawi sebagai sebuah pulau pelancongan yang terbersih di dunia.

    “Kerajaan Negeri juga dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah sedang dalam proses Pemutihan Industri bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Agensi Teknikal untuk membanteras kilang-kilang haram yang beroperasi di negeri Kedah. Proses pemutihan ini turut melibatkan kerjasama daripada jabatan lain antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen dalam pelaksanaan Ops Gempur kepada kilang-kilang haram ini.

    Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 Peringkat Kebangsaan di Hotel Park Royal, Langkawi di sini, hari ini.

    Hadir sama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Noryahati Awang dan Ketua Pengarah Alam Sekitar, Dato’ Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.

    Dalam perkembangan sama, Munir berkata pada kesempatan ini, Patik turut menjunjung kasih atas keprihatinan Tuanku berdua terhadap kelestarian alam di bumi Kedah ini terutamanya terhadap Hutan Simpan Ulu Muda yang merupakan kawasan sumber tadahan air yang penting untuk kegunaan beberapa negeri di utara Malaysia dan juga destinasi pelancongan yang terkenal.

    “Tuanku juga pernah bertitah agar Geopark di Pulau Langkawi ini perlu dipelihara kerana ianya merupakan sumber warisan alam, pembangunan pelancongan untuk merangsang aktiviti ekonomi masyarakat dan memperkasa sosio ekonomi untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat setempat.

    “Kerajaan Negeri akan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memastikan warisan bumi ini akan teguh terpelihara dan lestari,” ujarnya.

    Sumber Berita : Warta Kedah

    © 2024 Hak Cipta Pejabat Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

    Please publish modules in offcanvas position.

    Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.

    | Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman | Portal MyGOVERMENT