pertanyaan majlis mesyuarat kerajaan hubungi majlis mesyuarat kerajaan maklumbalas majlis mesyuarat kerajaan peta laman majlis mesyuarat kerajaan
utube majlis mesyuarat kerajaan facebook majlis mesyuarat kerajaan

    KERAJAAN NEGERI BERI PERUNTUKAN RM70 RIBU KEPADA 12 BUAH SJK TAMIL NEGERI KEDAH

     

    ALOR SETAR (28 Oktober 2024) – Hari ini berlangsungnya Majlis Penyerahan Sumbangan Peruntukan SJK Tamil dan Sumbangan & Hamper Sempena Sambutan Deepavali 2024 di Wisma Darul Aman yang dihadiri oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Kedah terpilih serta Wakil-wakil Pengelola Sekolah-sekolah Tamil Negeri Kedah.

    Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata sebanyak 12 buah SJK(T) telah memohon sumbangan peruntukan daripada Kerajaan Negeri dan sebanyak RM70,000 peruntukan telah diluluskan kepada 10 buah SJK(T) yang menerima RM5,000 setiap sekolah dan dua buah SJK(T) menerima RM10,000 setiap sekolah.

    “Sebanyak 1,000 buah hamper turut diberikan kepada 1,000 penerima yang akan menyambut Deepavali tahun ini selain sumbangan RM50 setiap penerima turut diberikan. Walaupun nilainya tidak begitu besar, tetapi sebagai tanda ingat kerajaan kepada masyarakat India yang mendiami negeri tanah bertuah ini untuk kita berkongsi serba sedikit.

    “Penerima-penerima ini juga merupakan mereka yang kurang bernasib baik dan di negeri ini juga terdapat kaum-kaum lain seperti Melayu, Cina dan Siam yang juga kurang bernasib baik. Golongan miskin mungkin mereka yang lahir dan mendapat peluang yang kurang daripada orang lain tetapi pihak kerajaan haruslah melihat serta membantu dan siapa yang turut terlibat membantu sesuai dengan seruan kita ‘Negeri orang miskin berteduh dan orang kaya menabur bakti’.

    “Semua penerima dipilih daripada kalangan warga termiskin yang disenaraikan oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) di kawasan majoriti keturunan India dan penyerahan hamper akan diuruskan oleh PKWR kawasan masing-masing.

    “Kerajaan Negeri juga menyampaikan sumbangan hamper ini melalui beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang terpilih seperti Hindu Sangam dan pertubuhan-pertubuhan kebajikan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Peruntukan SJK Tamil dan Sumbangan & Hamper Sempena Sambutan Deepavali 2024 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

    Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India & Siam dan NGO Negeri, Wong Chia Zhen.

    Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata sebanyak RM130 ribu peruntukan diluluskan untuk sambutan Deepavali yang sama seperti sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri tetapi terdapat tambahan iaitu sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri yang boleh dihadiri oleh semua kaum di negeri ini.

    “Alhamdulillah rezeki negeri ini makin bertambah maka tahun-tahun mendatang kita akan menambah lagi peruntukan-peruntukan ini supaya tiada lagi masyarakat yang terpinggir dan jika masih ada yang terpinggir boleh terus berjumpa saya atau pegawai khas saya yang memegang portfolio masyarakat Cina, India dan Siam.

    “Saya harap Kerajaan Negeri dapat memerintah dengan seadil-adilnya yang menjadi asas kepada pentadbiran di Kedah serta besarlah harapan saya juga kepada masyarakat India di negeri ini agar tiada yang terkilan dan teruslah memberi sokongan supaya usaha kita yang dapat disokong secara bersatu padu daripada masyarakat Kedah ini akan terus memberi semangat kepada kita untuk bekerja dengan lebih baik pada masa yang akan datang,” ujarnya.

    Sumber Berita : Warta Kedah

    © 2024 Hak Cipta Pejabat Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

    Please publish modules in offcanvas position.

    Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.

    | Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman | Portal MyGOVERMENT