Sejarah pembentukan Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman bermula sejak 101 tahun yang lalu apabila Pengisytiharan Diraja Penubuhan Majlis Negeri (State Council) diluluskan pada 10 Jamadilawal 1322 bersamaan 23 Julai 1905 bertampat di Balai Besar Negeri, Alor Star. Pada 1 Jamadilakhir 1322 bersamaan 3 Ogos 1905, Majlis Negeri mula bersidang. Kelahirannya adalah seiring dengan penubuhan Pejabat Setiausaha Kerajaan (Oktober 1905). Che Mohd. Arifin bin Mohd. Arshad adalah merupakan Setiausaha Kerajaan Negeri yang pertama (1905 – 1922) dan beliau juga bertindak sebagai Setiausaha Sultan sebelum itu.
Bagindan Sultan Abdul Hamid telah melantik adindanya Tunku Abdul Aziz selaku Presiden Majlis Negeri yang pertama. Ahli-ahli lainnya ialah Mohd. Arifin bin Mohd. Arshad, Syed Abdullah Al-Mahdali (Pegawai Perbendaharaan), Haji Muhammad (Hakim Besar), W.J.F. Williamson ( Penasihat Kewangan) dan Tunku Ibrahim Ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah selaku Setiausaha Presiden Majlis Negeri. Setelah berlakunya peralihan naungan daripada Kerajaan Siam kepada Kerajaan Inggeris (1909), kedudukan Ahli-Ahli Majlis Negeri semakin bertambah bilangannya dengan bertambahnya jabatan-jabatan penting. Ahli Majlis Negeri dalam tahun 1912 ialah Tunku Mahmud (Presiden), Tunku Ibrahim, Syed Hassan Shahabuddin (Hakim Besar), W.G. Maxwell (Penasihat Inggeris), Mohd. Arifin bin Mohd. Arshad (Setiausaha Kerajaan), Che Mohd Sherif bin Osman (Setiausaha Majlis Negeri) dan G.Gorman (Jurutera).
Sehingga tahun 1942, peranan Presiden Majlis Negeri dianggap penting kerana tokoh yang dilantik ke jawatan ini banyak mencorakkan kerubahan politik, pentadbiran, sosial dan agama di Negeri Kedah. Tokoh-tokoh yang pernah menyandang jawatan ini ialah:-
Tunku Abdul Aziz Ibni Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah 1905 – 1907Tunku Mahmud Ibni Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah 1907 – 1914Tunku Ibrahim Ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah 1934 – 1937Tunku Mahmud Ibni Sultan Abdul Halim Shah 1937 – 1942
Send an email and you will receive our newsletters.
© 2025 Hak Cipta Pejabat Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.