Sejarah Ringkas Perkembangan Kerajaan dan Pentadbiran Negeri Kedah Darul Aman.
Pada akhir abad ke-19, sewaktu masih berada di bawah naungan Kerajaan Siam lagi, Kedah sudah pun memperkenalkan dan memperkembangkan sistem pentadbiran yang tersendiri lagi moden. Bermula dengan pemerintahan Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1853-1879), Kedah memasuki era pembangunan dan pemodenan.
Keadaan ini berterusan sehinggalah berlakunya peralihan kuasa naungan terhadap Kedah daripada Siam kepada British pada 15 Julai 1909. Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882-1943) di awal pemerintahannya telah mengadakan lawatan ke beberapa buah negeri seperti Thailand, India, Burma dan Eropah bertujuan untuk meluaskan lagi pengalaman dan pengetahuan baginda dalam membangunkan negeri. Usaha-usaha yang dirintis oleh ayahanda baginda sebelumnya dipesatkan lagi sehingga kejayaannya di bidang pentadbiran menyebabkan baginda pernah digelar “Bapa Kedah Moden”.
Dalam menjayakan pembangunan negeri, baginda dibantu oleh para pemimpin yang berkebolehan termasuk keluarganya sendiri seperti Tunku Abdul Aziz (Raja Muda), Tunku Mahmud, Tunku Ibrahim dan Wan Muhammad Saman. Sejak tahun 1870 lagi iaitu pada zaman Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, Wan Muhammad Saman dilantik sebagai Perdana Menteri. Sejarawan Dato Prof. Khoo Kay Kim pernah menegaskan bahawa “Kedah dapat mengembangkan sistem politik yang lebih tersusun daripada negeri-negeri Melayu Barat (Perak, Selangor dan Negeri Sembilan) sebelum campur tangan Inggeris kerana Kedah sudahpun mempunyai pegawai-pegawai berpengalaman dan dapat memainkan peranan yang berkesan dalam sistem pentadbiran. Kerana itu juga Kedah tidak perlu bergantung kepada begitu ramai Pegawai Inggeris sebagaimana Perak dan Selangor”.
Send an email and you will receive our newsletters.
© 2025 Hak Cipta Pejabat Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.