

YAN (03 Mei 2025) – Industri tanaman mempelam Harumanis bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan para pengusaha Harumanis malahan ianya juga memberi sumbangan terhadap industri pelancongan Negeri Kedah khususnya pada musim mempelam yang kebiasaannya berbuah pada bulan April hingga Jun. Oleh itu, semua jabatan terutamanya yang berada di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan hendaklah bekerja secara berpasukan bagi mempertingkatkan pengeluaran dan kualiti mempelam Harumanis supaya dapat membantu para pengusaha dalam menghadapi isu, cabaran dan kehendak industri tanaman Harumanis pada masa kini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan Dan Pengangkutan Negeri, Dzowahir Abd Ghani berkata bagi memastikan kejayaan industri ini, tindakan dalam aktiviti saluran pemasaran dan juga promosi perlu turut diperkemaskan. Kerajaan Negeri sentiasa berusaha menerokai pasaran-pasaran baru dan memperluaskan saluran promosi melalui kaedah media masa yang terkini.
“Saya percaya dengan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki oleh setiap jabatan atau agensi, ianya akan dapat dimanfaatkan dengan optimum dan memberi impak kepada para pengusaha Harumanis.
“Mempelam Harumanis ini telah mencetuskan fenomena yang luar biasa. Ianya mempunyai potensi yang besar kerana permintaan melebih penawaran di pasaran. Orang sanggup membayar dengan harga yang tinggi untuk mendapatkan produk yang berkualiti. Kita perlu mengambil peluang ini untuk memperluaskan kawasan penanaman mempelam Harumanis.
“Dengan faktor cuaca dan persekitaran serta pengurusan yang baik, kita mampu menjana pendapatan sehingga RM20 ribu untuk satu relong tanah. Sehingga tahun 2025, keluasan kawasan penanaman Harumanis adalah seluas 109.24 hektar dan keluasan berhasil adalah sebanyak 72.76 hektar. Dari kawasan tersebut pengeluaran hasil dijangka sebanyak 232 metrik tan dengan nilai pengeluaran sebanyak RM4.64 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Fiesta Mempelam Kedah 2025 (FMK 2025) di Pusat Mempelam Kedah (PMK), Mukim Sala di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Abdul Ghafar Saad; ADUN Derga, Muhamad Amri Wahab; Timbalan Pengarah Pertanian Negeri Kedah (Operasi), Nor Azera Abu Bakar dan Pegawai Agama Daerah Yan, Syeikh Mohd Ikmal Hafif Azmi.
Dalam perkembangan sama, Dzowahir juga berkata Pelan Pembangunan Pertanian dan Perladangan KEDAH 2035 dalam gagasan The Greater Kedah meletakkan sasaran menjadikan pertanian sebagai sektor yang stabil, relevan dan berinovasi yang menjadi ‘katalis’ kepada revolusi dan kesejahteraan sosioekonomi rakyat mencakupi pemerkasaan sekuriti dan nutrisi makanan.
“Saya ucapkan tahniah kepada Jabatan Pertanian Negeri Kedah yang telah berjaya menganjurkan program Feista Mempelam Kedah (FMK-2025) yang menjadi platform dan penanda aras kepada pengusaha dalam menerokai peluang untuk mengkomersilkan Mempelam Harumanis D’Aman ini di peringkat yang lebih tinggi. Ini adalah satu cara yang dapat membantu para pengusaha untuk memenuhi kehendak dan keperluan pasaran pada masa kini di samping mempromosikan produk yang berkualiti.
“Saya berharap penganjuran FMK-2025 pada tahun ini akan menjadi pemangkin kepada peningkatan ekonomi, khususnya dalam menambah pendapatan pengusaha dan penjual buah mempelam di Negeri Kedah khasnya. Dengan slogan “Jom Makan Mempelam Kedah” saya percaya program ini akan menarik perhatian penggemar mempelam dari seluruh negeri atau negara untuk berbelanja dan menikmati nimat kelazatan buah mempelam khususnya mempelam Harumanis di Negeri Kedah,” ujarnya.
Sumber Berita : Warta Kedah