ALOR SETAR (07 Julai 2025) – Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (HMAPK) 2025 bakal menyemarakkan landskap warisan negara dengan tema “Muzium Sebagai Ruang Inklusif, Inovatif dan Interaktif”.

Tema ini menekankan fungsi baharu muzium sebagai institusi dinamik yang bukan sahaja memelihara sejarah dan budaya tetapi turut mendidik dan menghubungkan masyarakat pelbagai lapisan melalui pendekatan moden dan kreatif.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Dato’ Salleh Saidin berkata saya percaya Festival Hari Muzium Antarabangsa 2025 akan menjadi satu platform penting dalam memupuk kecintaan masyarakat terhadap sejarah, warisan dan kebudayaan negeri.

Dengan tema tahun ini “Masa Depan Muzium Dalam Komuniti Yang Berubah Pantas” yang menyentuh aspek keterangkuman dan inovasi dalam penceritaan muzium, kita ingin mengangkat semula muzium sebagai ruang interaktif yang mendidik dan menghubungkan generasi Kedah sendiri yang kaya dengan warisan sejarah dari Tamadun Kedah Tua di Lembah Bujang ke keunikan sawah padi dan kraf rakyat yang mampu menjadi tarikan pelancongan penting bukan sahaja di peringkat nasional malah di peringkat yang lebih tinggi lagi.

‎”Saya menyeru agar semua pihak berganding bahu menjayakan festival ini. Kehadiran rakan strategik dari sektor media, pelancongan dan swasta sangat dihargai dan kami amat mengalu-alukan kerjasama yang akan terus diperkukuh menjelang festival ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pra Pelancaran Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Skyview Revolving Glass Hall, Menara Alor Setar di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Muzium Malaysia, Mohamad Shawali Badi dan Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri.

‎Tahun ini merupakan sambutan kali ke-28 Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan. Muzium Padi, Kedah telah dipilih sebagai tuan rumah rasmi bagi tahun 2025 yang bermula 23 hingga 29 Julai 2025 dimana pemilihan ini bertepatan dengan kekayaan sejarah negeri Kedah yang merangkumi tamadun awal di Lembah Bujang, keunikan sawah padi serta kepelbagaian kraf rakyat yang membentuk identiti kebudayaan tempatan.

Sebagai simbolik pembukaan dan suntikan semangat kepada festival tahun ini, sebuah lagu baharu khas telah turut dilancarkan sempena HMAPK 2025. Lagu ini dihasilkan khusus untuk membangkitkan rasa cinta terhadap warisan serta memperkukuh jalinan emosi antara masyarakat dan institusi muzium.

Sumber Berita : Warta Kedah