SUNGAI PETANI (10 Julai 2025) – Kerajaan Negeri Kedah menzahirkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dan Pearl House Design atas kejayaan usahasama yang telah membangunkan sebanyak 585 unit rumah teres satu setengah tingkat merangkumi 10 fasa pembangunan.

‎Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata projek ini menyumbang secara langsung kepada sasaran Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada rakyat Kedah yang hidup tanpa rumah. Rumah yang selesa dan mampu milik bukan lagi satu impian, tetapi realiti yang sedang kita usahakan.

“Harga rumah dalam projek ini adalah sangat berpatutan, serendah RM199,100 bagi fasa pertama dan 71% daripada pembelinya adalah penduduk Negeri Kedah, menunjukkan sambutan hangat terhadap inisiatif perumahan rakyat.

‎“Kita mahu pembangunan negeri digerakkan oleh anak-anak Kedah sendiri bukan sekadar atas dorongan ekonomi tetapi juga atas dasar kasih dan tanggungjawab terhadap tanah tumpah darah kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penyerahan Kunci Mutiara Bandar Puteri Jaya Fasa 7 di Padang Awam Taman Mutiara, Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani di sini, hari ini.

‎Hadir sama Pegawai Daerah Kuala Muda, Azmin Zainol Abidin; Yang Dipertua MPSPK, Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah; Setiausaha MPSPK, Mohammad Hasbullah Abd. Hadi dan Pengarah Urusan Pearl House Design Sdn. Bhd, Suhaimi Ghazali.

Dalam perkembangan sama, Sanusi turut menekankan bahawa usaha sebegini seiring dengan pelaksanaan agenda pembangunan The Greater Kedah dan Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat secara menyeluruh termasuk penyediaan perumahan berkualiti untuk semua lapisan masyarakat.

“Saya menyeru pembeli rumah agar menjaga harta milik mereka dengan baik dan tidak membiarkan rumah yang dibeli kosong atau terbiar sehingga mengganggu komuniti setempat.

“Besar harapan agar projek pembangunan seperti ini diteruskan, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk menjadikan “Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua” sebagai realiti yang dirasai setiap rakyat,” ujarnya.

Sumber Berita : Warta Kedah