ALOR SETAR – Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah hari ini telah berkenan
‎berangkat menyempurnakan Majlis Haflu Takrim Al Mutafawwiqin 2025‎di Dewan Insaniah, Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman.
‎Majlis tahunan ini dianjurkan oleh Lembaga Maktab Mahmud Negeri Kedah bagi mengiktiraf kecemerlangan akademik, kokurikulum, kepimpinan dan sahsiah pelajar serta pencapaian sekolah di bawah kelolaan Lembaga Maktab Mahmud.
‎Baginda dalam titahnya menzahirkan ucapan tahniah dan syabas‎ kepada semua pelajar yang menerima anugerah pada hari ini. Usaha gigih dan dedikasi anda dalam menuntut ilmu‎telah mencapai kejayaan dan membuahkan hasil yang membanggakan.
‎”Pencapaian anda bukan sahaja membanggakan diri sendiri dan keluarga tetapi juga mengharumkan nama baik sekolah, institusi dan Negeri Kedah. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk‎terus berusaha dan mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
‎”Beta mengucapkan setinggi tinggi penghargaan atas‎bimbingan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada ibu bapa serta guru-guru dalam mendidik anak-anak dan pelajar-pelajar. Peranan anda amat penting dalam membentuk generasi muda yang berkualiti dan berakhlak mulia.
‎”Walaubagaimanapun, Beta ingin mengingatkan bahawa tanggungjawab pendidikan tidak akan lengkap dan sempurna jika sepenuh tanggungjawab diletakkan‎kepada sekolah dan guru. Ibu bapa, keluarga, masyarakat dan pelbagai institusi lain perlu bersama-sama bertanggungjawab‎mengembleng tenaga bagi membantu melengkapkan tugas guru dan tugas sekolah.
‎”Jadilah insan yang berilmu, berketrampilan serta sentiasa bersedia untuk berbakti kepada agama bangsa dan negara. Marilah kita membina budaya kasih sayang, hormat menghormati dan menolak segala bentuk perbuatan dan amalan yang tidak berakhlak seperti membuli samada secara fizikal atau emosi yang membawakemudaratan dan masalah kepada semua pihak. Semoga semua pelajar akan terus cemerlang
‎dengan akhlak yang mulia di masa hadapan,” titah Baginda.
‎Baginda bertitah demikian dalam ucapannya sempena Majlis Haflu Takrim Al Mutafawwiqin Lembaga Maktab Mahmud Negeri Kedah Darul Aman di Dewan Insaniah, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di sini, hari ini.
‎Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr Syeikh Fadzil Awang; Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abd Rahman Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri merangkap Pengerusi Lembaga Maktab Mahmud, Dato’ Mohd Azam Abd Samat dan Setiausaha Lembaga Maktab Mahmud, Jusrianuar Jamarudin.
‎Seramai lebih 140 penerima anugerah diraikan meliputi pelbagai kategori antaranya‎Anugerah Tokoh, Anugerah Peperiksaan Dalaman (Kendalian Lembaga Maktab Mahmud), Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Awam dan Anugerah Sekolah Terbaik (Gred Purata Sekolah).
‎Haflu Takrim Al Mutafawwiqin adalah penjenamaan semula Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Lembaga Maktab Mahmud. Ia bertujuan memperkukuh penghargaan kepada pelajar dan guru cemerlang serta menjadi platform motivasi kepada seluruh warga pendidikan di bawah pentadbiran Lembaga Maktab Mahmud Negeri Kedah.