JITRA – Seramai 120 orang anggota delegasi dari Sadao, Changwat Songkhla, Thailand telah hadir dan menyertai Sukan Sempadan Bilateral Malaysia-Thailand: ‘People to People Connectivity’ Tahun 2025 antara Daerah Kubang Pasu dengan Daerah Sadao, Thailand. Selain menyertai acara sukan yang dipertandingkan, deligasi berkenaan turut diraikan oleh Pejabat Daerah Kubang Pasu serta bertukar-tukar pandangan dalam menjalinkan usahasama dari segi pembangunan ekonomi, pelancongan dan hubungan diplomatik antara kedua-dua daerah.
‎Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berharap kerjasama yang baik antara kedua-dua daerah ini akan terus berjalan dan pihak Kerajaan Negeri Kedah sentiasa mengalu-alukan kunjungan dari rakyat negara jiran terutamanya dari Thailand yang dilihat mampu menghasilkan impak kerjasama yang baik antara kedua-dua negara Malaysia-Thailand samada dari segi ekonomi mahupun sektor pelancongan. Walaupun kegiatan ekonomi yang agak cergas di sempadan negara ini, namun terdapat juga aktiviti penyeludupan yang perlukan kerjasama kedua-dua pihak untuk menanganinya.
‎“Walaupun dari sudut pentadbiran, urusan di sempadan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Namun di pihak Kerajaan Negeri Kedah akan memberikan kerjasama penuh untuk memastikan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang dapat diatasi. Apa yang termampu kita usahakan akan kita lakukan dengan sebaik mungkin terutama dalam memastikan hubungan kekeluargaan antara penduduk di daerah-daerah yang bersempadan seperti Kubang Pasu ini tidak terganggu termasuk daerah-daerah dalam Negara Thailand.
‎“Oleh itu, apa juga halangan atau rintangan yang disebabkan oleh isu-isu pentadbiran perlu diatasi atau setidak-tidaknya diminimumkan bagi memastikan hubungan sosial dan persaudaraan yang telah sedia wujud, tidak terjejas.
‎“Sempena kehadiran delegasi Sadao ke Kubang Pasu hari ini, saya mengambil kesempatan untuk berpesan kepada semua sahabat-sahabat yang juga tetamu kita pada malam ini untuk membantu mempromosikan pelancongan Kedah kepada masyarakat Thailand sempena Tahun Melawat Kedah 2025,” katanya.
‎Beliau berkata demikian dalam ucapan Perasmian Penutup Sukan Sempadan Bilateral Malaysia-Thailand: ‘People to People Connectivity’ Tahun 2025 Antara Daerah Kubang Pasu dan Sadao, Thailand di Padang Bola Sepak, Kompleks Pentadbiran Daerah Kubang Pasu di sini, hari ini.
‎Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pegawai Daerah Kubang Pasu, Dato’ Muhamad Mahazi Ibrahim dan Pegawai Daerah Sadao Thailand, Nattakhon Sainoi.
‎Dalam perkembangan sama, Mahazi dalam ucapan aluannya berharap program sukan seumpama ini akan diteruskan setiap tahun kerana ianya bukan sahaja dapat menjalin kerjasama dari segi kekeluargaan tetapi juga dapat menguruskan jalinan ekonomi, pelancongan dan pentadbiran kedua-dua pihak.
‎“Acara sukan yang telah berlangsung selama satu hari antara kedua-dua daerah tersebut termasuklah sukan sepak takraw, tarik tali, pentanque, chairball dan diakhiri dengan perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan Pilihan Daerah Sadao bertemu pasukan pilihan Daerah Kubang Pasu. Semoga perlawanan pada malam ini bukanlah pengakhiran hubungan sempadan tetapi ianya akan menjadi permulaan yang baik untuk dua negara berjiran ini,” ujarnya.

Sumber: Warta Kedah