RABU (03.09.2025)
‎ALOR SETAR – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah membantu Institusi-institusi Pendidikan Islam Negeri Kedah terutamanya dari sudut kewangan melalui Program Agihan Wakalah Zakat dan Pemberian Bantuan Operasi kepada Institusi Pendidikan Islam Negeri Kedah Tahun 2025.
‎Melalui program ini, agihan wakalah dan bantuan operasi sejumlah RM1.55 juta telah diberikan kepada 341 Institusi Pendidikan Islam Negeri Kedah. Antara institusi yang terlibat termasuklah 44 Institusi pondok, 46 institusi sekolah agama rakyat rendah, 38 sekolah agama rakyat menengah dan 125 Tahfiz serta 88 institusi di bawah HESA. Jumlah agihan diberikan mengikut jumlah pelajar setiap institusi.
‎Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata zakat ialah instrumen ekonomi yang disyariatkan. Saya galakkan semua penjawat awam termasuk penjawat awam persekutuan dan swasta untuk mengambil langkah membayar zakat melalui potongan pendapatan setiap bulan. Inisiatif ini dapat menambah kutipan zakat, seterusnya dapat menjamin agihan zakat kepada golongan asnaf.
‎”Di negeri Kedah, hasil kutipan zakat daripada 41,300 orang penjawat awam secara potongan gaji pada tahun 2024 mencapai nilai lebih kurang RM49 juta dan daripada nilai tersebut, lebih kurang RM6 juta digunakan untuk agihan wakalah kepada asnaf yang layak.
‎”Agihan ini bukan sahaja diberikan kepada Institusi Pendidikan Islam yang berdaftar, malah juga diberikan kepada institusi-institusi yang tidak berdaftar atau belum berdaftar. Walaupun begitu, jumlah agihan kepada institusi yang belum berdaftar ialah kurang berbanding yang diberikan kepada institusi berdaftar.
‎”Saya menyeru semua institusi pendidikan Islam Kedah yang belum mendaftar supaya mendaftarkan institusi masing-masing dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah bagi membolehkan bantuan disalurkan dengan lebih baik,” katanya.
‎Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Agihan Wakalah Zakat dan Pemberian Bantuan Operasi Institusi Pendidikan Islam Negeri Kedah 2025 di Dewan Insaniah, Mergong di sini, hari ini.
‎Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Zuber Ahmad; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi Dan Penerangan, Dato’ Mohd Azam Abd Samat; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim; Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria Othman; Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JHEAIK, Syeikh Hasbullah Md Mukhtar
‎Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata kita perlu berterima kasih kepada LZNK kerana untuk tahun 2025, LZNK telah memperuntukkan lebih RM30 juta untuk tajaan fakir dan miskin, agihan kepada guru dan kakitangan, agihan kepada guru pondok, dana pengurusan sekolah agama rakyat (SAR) dan sokongan digital serta media. Bagi tahun yang sama, jumlah agihan zakat kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah, khususnya di Jordan, Mesir, Maghribi dan Yaman mencecah RM4.025 juta.
‎”Saya yakin 10 tahun akan datang, institusi-institusi ini akan berganjak ke hadapan dan harapnya lebih ramai ibu bapa akan menghantar anak mereka ke institusi sedemikian untuk menyuburkan proses pendidikan berteraskan Pendidikan Islam,” ujarnya.
‎Selain agihan wakalah dan pemberian bantuan operasi, penyampaian hadiah berbentuk sejumlah wang turut diberikan kepada pelajar Institusi Pendidikan Islam yang menyertai pertandingan video pendek. Pertandingan ini bertujuan mempromosikan institusi pendidikan Islam, seterusnya mengubah persepsi masyarakat yang masih menganggap bahawa Institusi Pendidikan Islam bersifat ketinggalan zaman dari segi gaya pembelajaran serta fasiliti.

 

Sumber: Warta Kedah