ALOR SETAR (27.01.2026) – Prestasi kutipan zakat bagi tahun 2025, jumlah kutipan keseluruhan zakat dan lain-lain hasil adalah sebanyak RM322.86 juta, iaitu peningkatan RM18.05 juta atau 5.92% berbanding tahun 2024, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan bagi tahun 2025 iaitu RM318.88 juta.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali berkata sepanjang tahun 2025, seramai 187,160 orang pembayar zakat direkodkan, termasuk 42,174 pembayar baharu. Dari segi kaedah pembayaran, 87.34% kutipan diterima secara tanpa tunai (cashless), mencerminkan keberkesanan inisiatif pendigitalan yang dilaksanakan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah.
“Bagi prestasi agihan pula, LZNK telah mengagihkan sebanyak RM346.14 juta kepada lapan golongan asnaf. Jumlah agihan ini melebihi kutipan zakat tahun semasa, dengan lebihan sebanyak RM23.3 juta menggunakan baki dana zakat tahun-tahun terdahulu. Agihan dilaksanakan melalui pelbagai skim merangkumi agihan kewangan, pendidikan, makanan, perumahan, kesihatan dan keperluan asas asnaf di seluruh Negeri Kedah.
“LZNK turut mengumumkan ketetapan kadar zakat fitrah bagi tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi untuk Negeri Kedah Darul Aman. Dengan limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah, kadar zakat fitrah ditetapkan seperti RM9.00 bagi beras tempatan, RM15.00 bagi beras import dan seumpamanya serta RM23.00 bagi beras basmathi dan seumpamanya.
“Umat Islam digalakkan menunaikan zakat fitrah mengikut jenis beras yang menjadi makanan harian masing-masing. Bagi tahun 2026, LZNK mensasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM13.5 juta. Zakat fitrah ini akan diagihkan kepada kira-kira 27,300 orang asnaf dalam kalangan fakir, miskin, muallaf dan fisabilillah, dan pelaksanaannya akan dibuat sebelum Hari Raya Aidilfitri.
”Bagi memudahkan urusan pembayaran, LZNK menyediakan 23 saluran pembayaran zakat fitrah, termasuk portal dan aplikasi rasmi LZNK, perbankan internet, e-wallet serta platform digital lain. Seramai 2,788 ejen amil dan 183 agensi dilantik turut menggunakan kaedah digital seperti QR Code dan sistem MyAmil. Resit pembayaran akan diberikan secara digital, manakala kaedah kutipan kupon manual masih disediakan melalui ejen amil terpilih sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media sempena Pengumuman Prestasi Kutipan Zakat 2025 serta Ketetapan Kadar Zakat Fitrah 1447H/2025M Bagi Negeri Kedah Darul Aman di Dewan Insaniah, Kompleks Lembaga Zakat Negeri Kedah di sini, hari ini.
Hadir sama Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Seri Setia Diraja, Dato’ Paduka Bakar Din; Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria Othman; Penasihat Undang-undang Negeri Kedah, Saifulrijal Azhari dan Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Dato’ Dr. Abd. Ghani @ Zulkifli Zainuddin.
Dalam majlis berasingan, Perjumpaan Pengerusi Bersama Pegawai LZNK 2026, Norizan berkata prestasi kutipan zakat tahun 2025 merupakan kutipan tertinggi sepanjang penubuhan LZNK.
”Tahniah diucapkan kepada semua kakitangan LZNK yang bertungkus-lumus memainkan peranan masing-masing sehingga kejayaan kutipan tertinggi ini dicapai selain penggunaan aplikasi yang memudahkan pembayaran zakat oleh orang ramai,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah