ALOR SETAR (29.01.2026) – Program 1 Bulan 1 Sukan merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Kedah dalam usaha menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat secara berterusan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata program ini sebenarnya lahir daripada satu hasrat yang mudah, iaitu untuk mengajak rakyat Kedah supaya bergerak lebih aktif dan tidak terlalu terikat dengan gaya hidup yang pasif.
“Dalam kehidupan seharian hari ini, ramai antara kita sibuk dengan kerja, urusan keluarga dan komitmen harian sehingga kesihatan sering diketepikan. Apabila kesihatan terjejas, barulah kita sedar betapa pentingnya nikmat sihat itu.
”Program ini diadakan bukan untuk membebankan sesiapa, tetapi untuk memberi ruang dan peluang kepada rakyat mencuba pelbagai jenis sukan mengikut kemampuan masing-masing.
“Melalui konsep 1 Bulan 1 Sukan, rakyat Kedah boleh mencuba pelbagai aktiviti sukan secara santai dan berperingkat.
Tidak perlu bermula dengan yang berat, memadai dengan langkah kecil yang konsisten. Apa yang penting ialah kita mula bergerak dan menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan.
”Selain itu, program ini juga memberi ruang kepada rakyat untuk berkumpul, berinteraksi dan mengeratkan hubungan sesama komuniti. Melalui aktiviti sukan, kita dapat memupuk semangat kebersamaan, saling mengenali dan membina perpaduan dalam suasana yang sihat dan positif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Program 1 Bulan 1 Sukan Peringkat Negeri Kedah Tahun 2026 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup dan Belia & Sukan Negeri, Muhammad Radhi Mat Din; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa dan ADUN Gurun merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Negeri Kedah, Baddrol Bakhtiar.
Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata program ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk kakitangan kerajaan, pelajar, pekerja sektor awam dan swasta, serta masyarakat di bandar dan luar bandar.
”Sehubungan itu, pelaksanaan Program 1 Bulan 1 Sukan ini adalah pada setiap hari Khamis minggu keempat bagi setiap bulan. Penetapan ini bertujuan memastikan pelaksanaan yang konsisten dan mudah diikuti oleh rakyat, supaya penyertaan dapat dilakukan secara berterusan sepanjang tahun.
”Saya ingin mengajak semua ppiha termasuk PBT, agensi kerajaan dan pengusaha premis sukan supaya bersama-sama menyokong program ini dengan mempertimbangkan untuk mengurangkan caj sewaan atau beri diskaun khas pada hari Khamis minggu keempat setiap bulan.
“Dengan cara ini, lebih ramai rakyat dapat bersukan tanpa terbeban dan kita semua dapat sama-sama membudayakan gaya hidup sihat di Kedah. Sokongan daripada semua pihak akan membuatkan program ini lebih seronok, mudah diikuti dan bermanfaat untuk semua,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah