mszh-CNen

    HOSPITAL SULTANAH MALIHA DINAIK TARAF HOSPITAL PAKAR UTAMA

     

    SULTAN Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah (tiga kiri) dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff (tiga kanan) berangkat mendengar penerangan projek pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi. FOTO Hamzah Osman

     

    LANGKAWI (12 SEPTEMBER 2022) : Hospital Sultanah Maliha (HSM) akan dinaik taraf menjadi hospital pakar utama tiga tahun lagi sekali gus memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pesakit.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata hospital itu memenuhi kriteria dan syarat diperlukan selepas bangunan tambahan bernilai RM515 juta siap sepenuhnya kelak. Beliau berkata, kos pembinaan bangunan itu membabitkan kos RM425 juta, manakala pembelian peralatan lebih RM75 juta dibuat di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

    “HSM juga akan menjadi hospital awam pertama di negara ini memiliki wad kelas ketiga yang dilengkapi pendingin hawa untuk keselesaan pesakit, keluarga yang menemani dan warga kerja hospital.

    “Saya juga akan mohon semua hospital baharu selepas ini, mempunyai wad kelas ketiga dilengkapi kemudahan sama,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan HSM di sini, hari ini. Majlis perasmian disempurnakan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff.

    Turut berangkat Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin. Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

    Mengulas lanjut, Khairy berkata, pembinaan bangunan baharu menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) itu bakal memuatkan 220 katil, sekali gus menjadikan keseluruhan katil hospital itu meningkat kepada 330.

    “Untuk fasa seterusnya, permohonan akan diajukan kepada Kementerian Kewangan bagi mewujudkan Jabatan Forensik, (ketika ini) bila ada kematian di luar hospital, bedah siasat (mayat) terpaksa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

    “Saya juga meluluskan peruntukan mewujudkan ambulans laut dalam tempoh terdekat untuk kemudahan penduduk Pulau Tuba membawa pesakit ke hospital,” katanya.

    Beliau berkata, bagi kes kecemasan pula, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) akan menyediakan perkhidmatan penerbangan ‘Medical Evacuation’ ke tanah besar bagi pesakit di HSM.

    Sumber : Harian Metro

    © 2022 Hak Cipta Pejabat Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

    Please publish modules in offcanvas position.

    Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.

    | Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman |