ALOR SETAR (20 Mac 2025) – Umat Islam di negeri ini diseru agar lebih berwaspada dengan ajaran songsang yang akan memecahbelahkan perpaduan masyarakat dan menyimpang dari akidah Islam. Kita tidak boleh sekali-kali mengatakan kepercayaan mengikut agama lain sebagai benar walaupun pada asasnya, agama-agama lain juga mendidik penganutnya melakukan perkara-perkara yang baik mengikut hukum moral. Walaubagaimanapun dari segi akidah, hanya Islam yang benar. Itu keyakinan kita dan ini bukanlah bermakna kita menghina agama lain serta tidak timbul isu penghinaan agama dalam konteks ini kerana kita berpegang atas ajaran agama kita.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata pegangan kita sebagai orang Islam adalah berdasarkan wahyu Allah SWT yang diturunkan melalui Nabi SAW. Dalam hal ini, kita tidak boleh berpegang pada logik akal atau pertimbangan hati namun itu bukanlah bermakna kita menghina pegangan agama lain. Kita tidak boleh menggadai akidah demi untuk menjaga hati kawan-kawan yang bukan Islam tetapi untuk mengatakan “agama saya betul, agama kamu juga betul” itu memang tidak boleh.

“Walaupun mungkin nampak diri kita sendiri seperti tidak akan terjejas dengan perkara-perkara yang seperti ini tetapi jangan seperti kata orang putih “take thing for granted” dan jangan ambil mudah.

“Perbezaan berkaitan agama kini hanya dianggap perbezaan budaya. Sebab itulah pada zaman ini kita dapat melihat anak-anak orang Islam yang bertudung, tanpa segan silu mengikut ritual agama lain. Puncanya adalah kerana kejahilan dan pengaruh normalisasi secara halus. Inilah bahaya Pluralisme agama yang sedang melanda dunia. Semua orang dipengaruhi untuk terima bahawa ajaran semua agama adalah sama membawa kebaikan dan keadilan kepada semua manusia.

“Kita bukan anti perpaduan tetapi ini bukanlah perpaduan yang dibenarkan oleh Islam. Ada banyak hadis, peristiwa yang menunjukkan Nabi SAW sangat mementingkan keadilan, keharmonian dan kerukunnan hidup dalam masyarakat bercampur Islam dengan bukan Islam. Malah kata Nabi SAW, Baginda sendiri akan menjadi pembela bagi orang bukan Islam yang dizalimi dan dinafikan hak mereka di atas perkara yang mereka berhak.

“Dalam konteks masyarakat majmuk di Negeri Kedah, kita tidak pernah meminggirkan masyarakat bukan Islam. Sebab itu tema “Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua” kita jadikan dasar pentadbiran Kerajaan Negeri yang menunjukkan komitmen kita untuk membawa kesejahteraan kepada semua warga Kedah tanpa mengira kaum, agama atau apa jua perbezaan latar belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Pegawai Kerajaan Negeri (KCS), Pegawai Agama, Penghulu Mukim, Pegawai Persekutuan dan Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Zubir Ahmad; Mufi Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang, Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abdul Rahman Abdullah dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.

Dalam perkembangan sama, Sanusi juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh semua pentadbiran Kerajaan Negeri, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Pegawai Agama, Penghulu-penghulu dan pihak media kepada kepimpinannya serta seluruh anggota Exco Kerajaan Negeri selama ini.

“Ucapan tahniah atas sekian banyak kejayaan yang telah dicapai dalam tempoh lima tahun ini, terutama sekali dari segi pelaburan masuk yang begitu mengkagumkan. Selain agensi-agensi Kerajaan Negeri, terima kasih juga kepada agensi Persekutuan terutama MIDA yang banyak membantu. Antara kejayaan signifikan yang kita capai bersama-sama dalam tempoh empat tahun ini ialah pelaburan yang begitu tinggi secara konsisten yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

“Dalam tempoh empat tahun berturut-turut sejak 2021, tahun kita bermulanya Pelan Pembangunan Kedah 2035 kita tidak pernah gagal melepasi sasaran pelaburan tahunan 10 bilion ringgit. Pada tahun 2021 kita capai 68.3 bilion ringgit nilai Pelaburan diluluskan. Tahun 2022, 13.1 bilion ringgit, 28.7 bilion ringgit pada tahun 2023 dan pada tahun lalu, 45.8 bilion ringgit.

“Alhamdulillah, pencapaian luar biasa ini telah meletakkan Negeri Kedah dalam peta pelaburan utama negara. Semoga kerjasama ini akan lebih dipereratkan pada masa akan datang dan mudah-mudahan lebih banyak kejayaan kita capai demi kesejahteraan rakyat Negeri Kedah Darul Aman ini,” ujarnya.

Sumber Berita : Warta Kedah

.