PEDU (02 Mei 2025) – Festival Perkhemahan dan Kebudayaan DAMCAMP 2025 merupakan satu inisiatif yang cukup bermakna bukan sahaja kepada pencinta alam dan budaya, malah kepada seluruh komuniti Padang Terap.

Pegawai Daerah Padang Terap, Sharifah Norulasyikhah Syed Mohamad berkata gabungan tenaga antara kerajaan dan komuniti seperti inilah yang kita harapkan iaitu bersatu untuk memulihara dan memartabatkan khazanah daerah kita.

“Program seperti ini bukanlah sekadar sebuah perkhemahan atau persembahan kebudayaan, tetapi ia adalah pernyataan cinta kita kepada bumi dan juga kepada warisan budaya yang membentuk jati diri masyarakat.

“Tasik Pedu ini bukan sekadar tasik biasa. Ia adalah khazanah semula jadi yang menjadi nadi kepada ekosistem, sumber rezeki kepada komuniti tempatan dan ruang rekreasi kepada semua. Warga Padang Terap amat bertuah kerana mempunyai khazanah alam yang begini cantik maka wajarlah kita menjadi penjaga yang bertanggungjawab.

“Justeru, setiap peserta DAMCAMP ini bukan sahaja hadir untuk healing dan berseronok, tapi juga perlu memikul satu tanggungjawab penting iaitu menjaga bumi, menyemai budaya dan memupuk nilai murni dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Festival Perkhemahan dan Kebudayaan DAMCAMP 2025 di Tasik Pedu di sini, hari ini.

Hadir sama ADUN Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir mewakili EXCO Pelancongan Negeri Kedah; Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid; Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Padang Terap, Azwan Azri Akashah John dan Pengerusi Pertubuhan Muda Sukarelawan Ashabul Al Kahfi, Ahmad Syairozi Atiqullah Ghazali.

Dalam perkembangan sama, Norulasyikhah berkata saya cukup teruja dengan pengisian DAMCAMP 2025 dari pengisian kebudayaan, persembahan seni, sukan lasak, program kesedaran alam sekitar sehinggalah aktiviti komuniti. Ia bukan sahaja menyatukan pelbagai kelompok masyarakat, malah memperkukuh jalinan antara jabatan kerajaan, NGO dan rakyat.

“Inilah roh sebenar pembangunan. Apabila agensi dan komuniti bekerjasama, saling hormat dan bergerak seiring, maka hasilnya bukan saja program yang berjaya tetapi juga masyarakat yang lebih kuat dan berdaya tahan.

“Selaku Pegawai Daerah Padang Terap merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Padang Terap, saya berasa amat bersyukur kerana mempunyai sebuah pasukan yang begitu komited dalam menjayakan matlamat pembangunan yang mampan di Daerah Padang Terap ini, khususnya dalam mempertingkatkan sektor eko pelancongan yang ada di sini.

“Dari segi perancangan dan pelaksanaan, pelbagai projek sedang dan akan dilaksanakan. Antaranya Projek Peningkatan Kemudahan Pelancongan Mong Gajah dan Gunung Kerengga. Selain itu, di kawasan tapak DAMCAMP ini juga akan kita bangunkan infra yang bersesuaian untuk kemudahan warga tempatan dan pelancong yang hadir ke sini. Tasik Pedu yang pernah masyhur suatu ketika dahulu akan kembali menjadi satu tempat tarikan pelancong yang penting di negeri dan negara ini.

“Selain itu, DAMCAMP ini adalah program penting yang telah dicatatkan di dalam kalendar Tahun Melawat Kedah 2025. Dengan tema “Experience Kedah”, diharapkan semua yang hadir di dalam festival ini sama ada dari dalam atau luar negara dapat merasai pengalaman manis untuk dibawa pulang nanti,” ujarnya.

Sumber Berita : Warta Kedah