ALOR SETAR (10 Jun 2025) – Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah telah menganjurkan satu program Sesi Libat Urus (SLU) bersama Jabatan Kerajaan Zon Utara berkenaan Lantikan Tetap dan Bercarum (LTB) hari ini.

‎Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Sharhida Nazuha Saad berkata Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia sedang mengkaji pelaksanaan kaedah Lantikan Tetap dan Bercarum (LTB) kepada pegawai lantikan baharu dalam perkhidmatan awam bagi memastikan pengurusan kewangan Negara lebih mampan.

“SLU ini merupakan platform strategik yang dilaksanakan oleh pihak JPA bagi mendapatkan pandangan serta input berhubung pelaksanaan dasar LTB. Pendekatan ini bertujuan memastikan dasar baharu iaitu pakej LTB yang bakal digubal bersifat inklusif iaitu terangkum dengan mengambil kira pelbagai perspektif daripada pihak berkepentingan dan meliputi pelbagai aspek manfaat serta kebajikan pegawai awam semasa persaraan.

“SLU ini diadakan bagi merencanakan strategi terbaik dan menepati prinsip tidak kurang baik daripada skim pencen yang sedia ada. Pada 2023 sahaja, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM32 billion bagi faedah persaraan dan dijangka mencecah sebanyak RM46 billion pada 2030, terbukti ianya memberi impak yang cukup besar kepada pengurusan kewangan negara.

“SLU ini melibatkan dua bahagian yang akan diberikan fokus utama iaitu Bahagian pertama, Maklumat Demografi dan Bahagian kedua, Faedah persaraan perkhidmatan awam di bawah skim caruman. Penyertaan Peserta bagi SLU ini adalah melibatkan wakil-wakil penjawat awam daripada Zon Utara iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

“Saya berharap melalui wahana secara SLU ini dapat membuka ruang kepada semua peserta untuk berkongsi pandangan, idea dan rasa berkaitan pelaksanaan cadangan pakej Dasar Baru LTB dan sumbangan input- input yang diperolehi melalui SLU ini dapat membantu memberi impak yang besar dalam merangka kaedah pakej LTB yang cukup ramuannya, komprehensif dan relevan untuk dilaksanakan. Semoga segala usaha kita diberkati dan memberi manfaat yang berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya sempena majlis Sesi Libat Urus (SLU) SSPA Fasa 2, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia Dengan Kerjasama Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Berkenaan Lantikan Tetap Dan Bercarum (LTB) di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Dasar JPA, Datin Dr. Nor Mazny Abdul Majid; Timbalan Pengarah, Bahagian Perkhidmatan Kanan JPA, Mohd Asri Mohamed Ali dan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Perkhidmatan) BPSM, Mohd Tarmizi Saad.

Sesi Libat Urus ini turut disertai oleh 500 penjawat awam dari Negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang serta pegawai-pegawai di Jabatan perkhidmatan Awam Malaysia dan panel SLU jemputan terdiri dari Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Mohamad Ribwan Abas, Panel 1 dan Pengurus Dana Ekuiti Antarabangsa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Mohd Farizal Haron selaku Panel 2, manakala Ketua Penolong Pengarah Unit Pengurusan Penyampaian JPA, Dr. Nuryusnita Yusoff bertindak sebagai Moderator.

Sumber Berita : Warta Kedah