
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perumahan telah giat menjalankan operasi pemutihan di skim Program Perumahan Rakyat (PPR) sewa transit, untuk memberi peluang kepada penghuni sedia ada atau yang baharu dapat menyewa rumah di PPR tersebut. Pada bulan Jun yang lalu, seramai 668 penghuni telah diberi peluang untuk menyewa di PPR di Daerah Kuala Muda.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Kesihatan Negeri, Mej (B) Mansor Zakaria berkata Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah membina Projek Perumahan Rakyat di Negeri Kedah dan telah melakukan pengisian sehingga sekarang secara berperingkat.
“Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan juga melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, merancang untuk memilih projek perumahan di Negeri ini untuk dijadikan Projek Perumahan Residensi Rakyat tahun 2025. Bagi RMK seterusnya, satu projek pembinaan perumahan rakyat yang baharu juga telah dirancang di salah sebuah daerah di Negeri Kedah di samping pembinaan rumah-rumah PRIMA juga merupakan salah satu inisiatif yang dilakukan untuk menambahkan pembinaan rumah supaya orang ramai dapat memliki rumah.
“Perancangan pembinaan rumah Desa Sejahtera di setiap daerah Negeri Kedah oleh Kerajaan Negeri dirancang dengan menyediakan tapak dan juga infra asas kepada golongan yang tidak mampu memiliki rumah tetapi perlu melepasi syarat-syarat yang dikenakan sebelum mereka layak untuk mendapatkan tanah ini.
“Kerajaan Negeri akan memperkenalkan dasar perumahan Negeri Kedah yang baharu dan lebih praktikal dengan harga levi juga dikurangkan dengan mengambil kira kesesuaian keadaan semasa. Syarat minimum gaji untuk pembelian rumah juga telah dilonggarkan agar lebih ramai layak membeli rumah kerana sejajar dengan pemberian gaji minimum agar peluang untuk membeli rumah lebih tinggi.
”Dengan adanya dasar yang lebih praktikal, kerajaan mengharapkan agar pemaju mampu dan boleh membina rumah di tapak sedia ada dan tapak-tapak baharu yang akan dibuka untuk pembangunan perumahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawap soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, Bau Wong A/L Bau Ek dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Yang Ke-15 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Bau Wong, dalam sesi Pertanyaan Mulut ingin mendapat penjelasan dari pihak kerajaan mengenai langkah-langkah dan usaha-usaha kerajaan bagi menampung keperluan penduduk yang kurang mampu agar dapat membeli rumah sendiri memandangkan penambahan penduduk dan keperluan tempat tinggal begitu penting dan akhir-akhir ini ramai mencari rumah-rumah untuk disewa.
Dalam perkembangan sama, Mansor berkata kerajaan juga memperkenalkan sistem permohonan secara atas talian yang dikenali sebagai iHOME. Sistem ini adalah untuk semua penjualan rumah mampu milik di Negeri Kedah. Sistem ini lebih efisyen kepada pemohon kerana rumah yang dipamerkan di dalam sistem ini, memang telah ada di pasaran dan peluang untuk membeli atau memiliki rumah mampu milik lebih telus dan terbuka.
“Selain itu, Kediaman SPNB juga merupakan satu inisiatif bagi menampung keperluan penduduk di Negeri Kedah. Ia adalah projek pembangunan perumahan bercampur di atas tanah kerajaan melalui agensi Persekutuan, Negeri dan swasta yang terbuka kepada semua golongan terutamanya kepada golongan B40 dan M40 dengan kebanyakannya harga jualan tidak melebihi RM300,000.
“Pameran Hartanah Malaysia (Mapex) telah dianjurkan setiap tahun bagi menyediakan platform untuk peneraju industri, pelabur dan pembeli rumah meneroka projek-projek perumahan baru. Hal ini menjadi saluran pantas kepada pengunjung yang berkehendak membeli rumah untuk mendapatkan maklumat dan info dengan lebih efisien.
“Turut diperkenalkan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi membantu golongan yang mempunyai kesukaran kewangan dalam urusan pembelian rumah. Skim ini membolehkan pemohon mendapatkan pembiayaan hingga RM500,000 tanpa deposit dengan tempoh bayaran semula sehingga 35 tahun dan syarat kelulusan kredit yang fleksibel,” ujarnya.