ALOR SETAR – Pasca pandemik COVID-19, trend dan corak pelancongan telah mengalami perubahan ketara, baik di dalam mahupun di luar negara. Para pelancong kini lebih cenderung memilih destinasi yang menawarkan ketenangan, keselamatan serta aktiviti yang dekat dengan alam semula jadi. Oleh itu, sektor eko-pelancongan (eco-tourism) kini menjadi salah satu daya tarikan utama dalam industri pelancongan.
‎Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata menyedari potensi ini, Kerajaan Negeri Kedah melalui Kedah Tourism Sdn. Bhd. telah melaksanakan beberapa strategi promosi dan pemasaran termasuk Penganjuran FAM Trip (Familiarization Trip). Membawa wakil media, influencer dan penggiat kandungan digital untuk merasai sendiri pengalaman aktiviti eko-pelancongan di pelbagai lokasi menarik di Kedah.
‎“Sehingga bulan Jun 2025, beberapa FAM Trip telah berjaya dilaksanakan melibatkan destinasi seperti Gunung Jerai, Gua Sireh, Sedim dan Pulau Songsong dan beberapa tempat lain di Langkawi. Penganjuran acara berkonsepkan eko-pelancongan antaranya Dam Camp di Tasik Pedu, Larian Magnificient Baling serta Mong Gajah 4×4 juga di Tasik Pedu.
‎“Selain itu kerajaan juga turut serta dalam Pameran Pelancongan Domestik dan Antarabangsa dan membawa pengusaha eko-pelancongan dan wakil destinasi pelancongan untuk menyertai pameran seperti MATTA Fair dan ASEAN Open House Exhbition bagi memperkenalkan produk eko-pelancongan Kedah ke peringkat lebih luas.
‎“Penyediaan pakej menarik melalui platform digital dengan kerjasama kini dijalin antara Kedah Tourism dan Jego Trip bagi membolehkan pakej-pakej itu dijual di platform pelancongan popular di China. Dalam masa sama, Kedah Tourism turut menjalin kerjasama dengan Travel4All dari Indonesia untuk membolehkan pakej-pakej pelancongan dijual melalui platform digital iaitu MampirMalaysia.com. Menggandakan usaha promosi dengan menyediakan pelbagai pakej eko-pelancongan yang eksklusif untuk dijual melalui platform Online Travel Agents (OTA). Kesemua inisiatif ini bertujuan menjadikan Kedah sebagai destinasi utama eko-pelancongan di Malaysia serta meningkatkan kesedaran dan kunjungan pelancong pasca pandemik,” katanya.
‎Beliau berkata demikian ketika menjawap soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Khairul Anuar Ramli dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Yang Ke-15 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
‎Ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Mulut dalam sidang tersebut, ADUN Lunas itu memohon dinyatakan apakah perancangan dan usaha Kerajaan negeri untuk menggalakkan para pengusaha eco-pelancongan di Negeri Kedah untuk memperkenalkan produk eco-pelancongan Kedah ke peringkat nasional dan antarabangsa memandangkan sektor Eco-Pelancongan semakin mendapat tempat di hati pengusaha- pengusaha pelancongan di Malaysia.
‎Dalam perkembangan sama, Salleh berkata selain daripada aktiviti promosi, Kerajaan Negeri juga membaikpulih serta menaiktaraf produk eko-pelancongan yang terdapat di seluruh daerah di Negeri Kedah. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga turut menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan produk eko-pelancongan tersebut sentiasa berada dalam keadaan sedia dikunjungi bagi menjamin keselamatan serta keselesaan pelancong.
‎“Kita yakin dengan usaha yang bersungguh-bersungguh dan berterusan ini mudah-mudahan nama produk-produk eko-pelancongan ini akan meniti di bibir para pelancong yang berkunjung di Rantau ini dan ianya akan menjadikan Negeri Kedah ini sebagai destinasi yang wajib dikunjungi dan dilawati suatu hari nanti,” tambahnya.

Sumber: Warta Kedah