ALOR SETAR (21.02.2026) – Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah mencemar duli berangkat hadir ke Majlis Kurniaan Keluarga DiRaja Sultan Kedah dan Majlis Berbuka Puasa Bersama KDYMM Tuanku Sultan Kedah Tahun 2026 di Balai Santapan Besar, Istana Anak Bukit di sini, hari ini.
Dalam majlis tersebut, Baginda Tuanku Sultan bersama Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin secara simbolik telah perkenan mengurniakan kotak kurniaan berupa barangan makanan kepada para penerima yang telah dikenal pasti serta kepada Pegawai Daerah.
Secara keseluruhan, sebanyak 1,200 kotak kurniaan melibatkan 12 daerah di negeri Kedah akan disalurkan melalui Pejabat Daerah masing-masing mulai 22 Februari 2026 untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
Majlis ini mencerminkan keprihatinan serta komitmen berterusan Institusi DiRaja Kedah dalam menyantuni rakyat, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Baginda turut perkenan berbuka puasa serta Solat Maghrib, Solat Isyak seterusnya Solat Terawih berjemaah di Balairung Seri, Istana Anak Bukit yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Zahir, Syeikh Mohd Naim Ahmad.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman serta para jemputan kenamaan.
Sumber : Warta Kedah