ALOR SETAR (24.02.2026) – Ramadan bukan sekadar bulan ibadah yang hadir dan pergi dalam pusingan waktu. Ramadan adalah gelombang cahaya Ilahi yang datang menyucikan jiwa, menjentik hati yang lalai dan membangunkan insan daripada kelekaan duniawi.

‎Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata apabila menyebut Ramadan Infiniti, kita sedang berbicara tentang roh Ramadan yang melangkaui sempadan masa. Ia bukan hanya 30 hari menahan lapar dan dahaga, tetapi tempoh 30 hari untuk mendidik jiwa bagi memastikan penghayatan taqwa, istiqamah dan keinsafan dapat memandu kehidupan kita pada bulan-bulan yang lain juga.

“Dalam keadaan berlapar dahaga sebagai puasa fizikal mendidik nafsu, menghayati nilai-nilai Ramadan diharapkan mampu mendidik kita menundukkan kezaliman dalam diri. Ramadan melatih kita menahan diri daripada yang segala yang dihalalkan untuk kita pada siang hari bulan yang lain untuk diri kita menjadi tegar meninggalkan yang haram.

“Amal Tanpa Henti, mengangkat satu hakikat besar bahawa kebaikan tidak mengenal musim. Ramadan mengajar kita bahawa setiap saat adalah peluang menanam pahala. Setiap senyuman adalah sedekah dan setiap kesulitan yang kita mudahkan untuk orang lain adalah jambatan menuju rahmat Allah.

“Inilah falsafah amal tanpa henti yang konsisten dalam kebaikan, berterusan dalam keikhlasan, istiqamah dalam pengabdian. Amal bukan hanya di sejadah tetapi juga di pejabat, di jalan raya, di rumah, dalam keputusan, dalam kata-kata atau dalam layanan sesama manusia.

‎”Seterusnya, Jiwa Terinspirasi adalah jiwa yang disinari kesedaran Ilahi. Jiwa yang tidak lagi hanyut dalam kelalaian, tetapi bangkit dengan kefahaman tentang tujuan hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Program Tanwir Ramadan Tahun 2026H/1447H Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah “Ramadan Infiniti: Amal Tanpa Henti, Jiwa Terinspirasi” di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Hadir sama isteri kepada Menteri Besar Kedah, Tok Puan Jusmalailani Jusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Sharhida Nazuha Saad.

Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata Ramadan melembutkan hati yang keras. Ramadan membuka pintu taubat seluas langit dan bumi serta meniup roh harapan kepada insan yang hampir tenggelam dalam dosa.

‎”Dalam kita menghayati tema Tanwir Ramadan pada tahun ini, Penjawat Awam memikul peranan yang amat besar. Ramadan bukan sekadar meningkatkan ibadah peribadi, tetapi mesti diterjemahkan dalam etika kerja dan tanggungjawab pentadbiran.

“Ramadan sepatutnya menjadikan Penjawat Awam lebih telus dalam tindakan, lebih jujur dalam urusan, lebih lembut dalam layanan dan lebih takut untuk mengkhianati amanah. Jika Ramadan benar-benar meresap ke dalam jiwa Penjawat Awam, maka lahirlah pentadbiran yang bukan sahaja cekap, tetapi berjiwa, berintegriti dan berteraskan nilai ihsan,” ujarnya.

Program Tanwir Ramadan ini akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini 24 Februari 2026 hingga 26 Februari 2026 (Khamis) yang boleh dilayari oleh orang ramai di Facebook Kerajaan Negeri Kedah atau Warta Kedah.

‎Program Tanwir Ramadan hari ini turut diisi dengan Bacaan Ayat Suci Al-Quran oleh Mohd Anas Firdaus Abdul Mokhti iaitu pelajar dari Maahad Tahfiz Sains Darul Aman, Deklamasi Puisi Artistik “Air Mata Munafik” oleh Mohd Fitri Dato’ Che Jamil dari Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Kedah, Persembahan Istimewa Lagu-lagu Kerohanian oleh Ts. Dr. Fitri Haris (UNIC), Persembahan Dai’e Cilik (Amalan Sunnah Di Bulan Ramadan) oleh Muhammad Muhammad Firdaus dari Maktab Mahmud Alor Setar, Persembahan Monolog (Subuh Terakhir) oleh Shahida Shukor dari Persatuan Teater Alor Setar dan Sesi Perkongsian Ilmu (Ramadan Infiniti: Amal Tanpa Henti, Jiwa Terinspirasi) oleh Ustaz Jafri Abu Bakar @ Mahmud.

Sumber : Warta Kedah